Kangkung Tumis Belacan dengan Udang
11:08 PG
Hari ini merupakan hari pertama umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Moga ibadat di bulan mulia ini akan mendapat keberkatan dari-Nya. In shaa Allah.
Selamat menyambut Ramadhan Kareem, dan selamat berpuasa selama sebulan.
Pagi ini Amie ingin kongsikan resipi masakan yang memang sudah tidak asing lagi iaitu kangkung tumis belacan. Ini bukanlah lauk sahur kami malam tadi, tetapi masakan sebelum ini yang sedang menunggu giliran untuk dipaparkan.
Tumisan sayur kangkung ini nampak agak berminyak, jadi bolehlah kurangkan penggunaan minyak sewaktu menumis. Amie tunggu tumisan menjadi pecah minyak, jadi kalau gunakan sedikit minyak tumisan terlalu kering pula.
Bahan-bahan:
15 batang kangkung - pisahkan batang dan daun
10 ekor udang basah - bersihkan
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm belacan
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan api sederhana hingga terbit minyak.
2. Kemudian masukkan udang dan batang kangkung, masak sehingga udang berubah warna.
3. Masukkan daun kangkung dan tutup kuali selama 1 minit.
4. Buka penutup kuali, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Tujuan tutup kuali selama satu minit ialah untuk menjadikan warna daun kangkung menjadi cantik dan kelihatan terang.
Kangkung Tumis Belacan dengan Udang siap untuk dihidangkan.
0 comments