Serunding Ikan Versi Cocos
3:29 PTG
Macam-macam jenis serunding dalam dunia masakan Melayu!
Dah namanya pun rumpun Melayu, sudah tentulah terdapat pelbagai versi dari segi bahan dan cara olahannya.
Emak Bonda kita buat dengan caranya yang tersendiri.
Emak mertua kita pun ada resepinya yang tersendiri juga.
Kalau berkunjung ke kampung MIL, selalu Amie perhatikan MIL menyediakan bahan untuk serunding ikan. Katanya ada orang tempah kerak.
Kerak?
Ha.... kalau nak tahu kerak merupakan salah satu makanan tradisional masyarakat Melayu Cocos.
Bukan sebarangan kerak, seperti kerak nasi yang tertinggal di dasar periuk!
Ini kerak buatan sendiri.
Amie pernah melihat sendiri MIL menyiapkan tempahan kerak.
Adeeehhhh..... tak sanggup rasanya melihat MIL menjaga api di bawah kuali menunggu kerak menjadi garing!
Sekarang, kalau nak makan kerak bolehlah beli di pasar. Carilah gerai orang Melayu Cocos. Nasib menyebelahi anda, adalah bungkusan kerak di situ bersama dengan serundingnya sekali.
Sebelum berkahwin dengan Encik Suami, pernah Amie bertanya kepada salah seorang rakan Melayu Cocos. Amie tanya apa makanan tradisonal orang Melayu Cocos.
Selamba saja dia jawab : Kerak.
Amie sangka kawan tu main-main!
Rupanya memang betul, kerak merupakan salah satu makanan tradisi mereka.
Dan sewaktu hayat MIL dan FIL masih ada, mereka selalu bercerita tentang barang-barang persiapan untuk dibawa membelah Lautan Hindi dari Pulau Cocos. Antaranya, termasuklah kerak!
Eh! Asyik cerita tentang kerak, macamlah kita pandai masak kerak!
Mari kita cerita tentang Serunding Ikan Versi Cocos.
Apa kaitannya dengan kerak?
Kerak lagi!
Kerak dimakan dengan serunding!
Oooooh....begitu ya!
Seingat Amie, MIL suka gunakan isi ikan buntut kuning (itu panggilan MIL untuk ikan di bawah ini), dan kadang-kadang MIL campurkan dengan isi ikan tenggiri. Tapi kebiasaannya, memang MIL akan gunakan isi ikan buntut kuning sepenuhnya. Katanya isi ikan ini banyak, lembut dan sedap.
Terbayang-bayang di ruang mata melihat MIL tumbuk isi ikan buntut kuning @ sulig @ tauhu @ taufu @ Jepun, sambil sesekali menarik keluar tulang-tulangnya yang halus. Kemudian dengan sabarnya menunggu serunding di kuali menjadi garing menggunakan api dapur paling kecil supaya serunding tidak hangus!
Wokey!
Di bawah ini Amie kongsikan resepi Serunding Ikan Versi Cocos seperti yang pernah MIL buat, dan bila ingat-ingat lupa bahannya, Amie telefon kakak ipar untuk mendapat kepastian.
Bahan-bahan:
1 kg ikan buntut kuning @ sulig
1 kg kelapa parut
4 sudu besar rempah kari
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 biji limau nipis
5 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
4 sudu besar cili kering kisar
3/4 cawan minyak
garam / perasa pilihan secukupnya
Jika kelapa parut agak kasar, bolehlah tumbuk dalam lesung supaya lebih halus.
Untuk lebih lanjut proses merebus ikan, bolehlah lihat DI SINI.
Satu lagi bahan yang wajib MIL gunakan ialah jus limau nipis. MIL tidak gunakan asam jawa atau asam keping. Kalau tidak ada limau nipis (bagi kita) bolehlah gunakan asam jawa.
Mari kita lihat cara penyediaannya di bawah ini.
1. Tumbuk isi ikan bersama bawang putih dan bawang merah. Ketepikan.
2. Tumbuk kelapa parut - jangan sampai lumat / hancur. Ketepikan.
3. Ambil sebuah bekas dan masukkan kelapa serta isi ikan tadi.
4. Masukkan serbuk kari, rempah ketumbar, serbuk kunyit, cili kisar, garam / perasa pilihan dan jus limau nipis.
5. Gaul sebati.
Isi ikan dan kelapa serta rempah-rempahan yang sudah digaul sebati.
7. Masukkan bahan yang sudah digaul sebati ke dalam kuali.
8. Gunakan api kecil sepanjang proses memasak serunding sehinggalah serunding menjadi kering.
Diremang-remang senja, siaplah Serunding Ikan Versi Cocos.
Kata Encik Suami, memang rasanya seperti serunding orang Cocos.
Kita tak puas hati, dan hantar sedikit ke kampung supaya kakak ipar boleh beri komen.
Kata kakak ipar : Cukup rasa, semua ada. Macam arwah emak bikin.
Oh! Terima kasih. Lain kali bolehlah buat lagi!
Encik Suami tidak sabar untuk menikmati serunding ikan dengan kerak! Inilah rupa kerak yang lebih moden. Kami beli kerak ini di pasar tani.Barangkali dipanggang di dalam ketuhar, kata Encik Suami. Memang benruk dan rasanya sedikit berbeza dengan kerak 'dulu-dulu' tapi sekurang-kurangnya ada juga yang berusaha untuk mengekalkan kudap-kudapan tradisi ini.
Kerak dan serunding ikan dalam kenangan!
Sekian.
Cerita tentang serunding ikan dan kerak.
1 comments
saya pernah makan kerak nasi yang di jemur dan digoreng rangup lepas tu di tumbuk... tak tahu itu masakan dari mana
BalasPadam