Barobbo' @ Bubur Jagung Masakan Tradisi Masyarakat Bugis
8:25 PTG
Selepas azan Zohor, tiba-tiba langit mendung. Hujan mencurah-curah sehingga tempias masuk ikut jendela dapur. Ruang rumah menjadi gelap. Alhamdulillah! Panas yang berpanjangan dibasahi hujan di tengahari.
Amie sedang masak bubur jagung @ barobbo' di dapur. Ketika bahan masakan sedang mendidih, aromanya terperap di segenap ruang dapur. Sudah tentulah perut menjadi lapar disebabkan cuaca yang sejuk ketika itu, ditambah pula dengan semerbaknya barobbo' yang sedang dimasak!
Ada beberapa entri resipi Barobbo' @ Bubur Jagung, masakan tradisi masyarakat Bugis di dapur maya ini. Boleh klik di sini untuk lanjut : Bubur Jagung @ Barobbo.
Biasanya kalau ke pasar tani atau ke gerai di taman perumahan kami memang ada peniaga bubur jagung @ barobbo ini. Dan sudah semestinya barobbo' ini ada dijual di bazar Ramadhan. Kena terima hakikat, tiada bazar Ramadhan untuk bulan puasa pada tahun ini. Nampaknya kalau teringin makan otak-otak, ayam percik, sate, gado-gado, kuih itu dan kuih ini kenalah rajin usahakan sendiri.
Bahan-bahan:
1 cawan beras - cuci bersih
700 gram daging ayam - potong kecil-kecil
5 biji jagung - hiris-hiris
5 batang kacang panjang - potong 3 cm
3/4 cawan udang kering
300 ml cawan pati santan
1 sudu besar lada putih - tumbuk
garam & perasa pilihan
air secukupnya
Bahan tumbuk / kisar:
4 cm halia
7 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
Bahan pelengkap:
hirisan daun sup
bawang goreng
sambal / cili padi
limau kasturi
Cara:
1. Didihkan air secukupnya di dalam periuk.
2. Masukkan beras, bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering.
3. Masukkan daging ayam dan jagung. Biarkan masak bersama beras sehingga beras menjadi bubur.
4. Masukkan kacang panjang, lada putih, garam dan perasa pilihan.
5. Akhir sekali tuangkan santan.
6. Apabila bubur mula mendidih sekali lagi, kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
7. Hidangkan ketika masih panas bersama hirisan daun sup, bawang goreng, limau kasturi dan sambal cili padi..
Dalam resipi sebelum ini Amie tambahkan sayur cekur manis, tapi kali ini hanya ada kacang panjang saja. Ikutkan resepi asal yang Amie pelajari, memang ada sayur cekur manis. Dan satu lagi, kalau jiran Amie hulurkan barobbo' pasti disertakan sekali dengan pegedil jagung. Memang sedaplah kalau makan hasil air tangan orang lain...ahaks! Pegedil jagung yang dimakan bersama barobbo' memang sangat sedap! Cuma kali ini Amie tak buat.
Inilah teman-teman pelengkap barobbo' . Sambal cili padi itu nampak ringkas saja. Oleh kerana selalu makan pelbagai hasil air tangan pembuat barobbo' jadi macam-macamlah pula jenis sambalnya! Kalau beli di pasar tani, beginilah rupa sambal untuk barobbo'. Kalau makan di rumah ipar, isterinya yang berketurunan Bugis sediakan sambal yang berbeza pula!
Encik Suami makan dua mangkuk barobbo' tapi katanya tak kenyang lagi! Firdaus pula hanya mencari ayam dalam barobbo'! Setakat ini, belum pernah terdengar anak-anak dan Encik Suami kata barobbo' ini tak sedap melainkan sedap!
Jemput !
3 comments
Teringat jagung dlm peti, beli sebab nak buat brobok belum kesampaian lagi, puasa nie boleh lah buat brobok sebagai pengganti bubur lambuk...
BalasPadamPertama kali tengok bubur jagung semeriah ini. Belum pernah makan lagi bugis style ni. sangat unik.
BalasPadamNasa Mulia,
BalasPadamIni yang seronoknya dunia masakan, tak dapat masak satu menu, ada menu pilihan lain pula.
Azhafizah,
pertama kali saya makan barobbo' terus jatuh cinta dan sampai sekarang suka gunakan resepi yang mula2 sekali dapat