Sup Kaki Ayam Aneka Campuran
6:23 PTG
Selamat petang semua.
Petang ini nak kongsikan resipi sup kaki ayam.
Sebelum itu, kita fahami dahulu apa maksud sup. Kamus Dewan definisikan sup sebagai masakan daging, sayur dan sebagainya yang banyak kuahnya dan dibuat dengan menggunakan ramuan-ramuan tertentu.
Wikipedia pula kata,
Sup adalah makanan cecair, secara amnya disaji panas (tetapi boleh juga disaji dingin atau sejuk), yang dibuat dengan menggabungkan bahan-bahan seperti daging dan sayuran dengan stok, jus, air, atau cecair yang lain. Sup panas dicirikan dengan mendidihkan bahan-bahan pepejal di dalam cecair di dalam periuk sehingga rasanya diekstrak, membentuk air rebusan atau kaldu.
Secara tradisinya, sup dikelaskan kepada dua kumpulan utama: sup jernih atau cair dan sup pekat. Klasifikasi Perancis bagi sup cair adalah kaldu dan consommé. Sup pekat dikelaskan bergantung kepada jenis ejen penebalan digunakan: puri adalah sup sayur dipekatkan dengan kanji; bisk diperbuat daripada puri kerang atau sayur-sayuran dipekatkan dengan krim; sup krim dipekatkan dengan sos béchamel; dan veloutés dipekatkan dengan telur, mentega, dan krim. Bahan-bahan lain yang biasa digunakan untuk memekatkan sup dan kaldu termasuk telur, nasi, lentil, tepung dan gandum; banyak sup popular juga menggunakan lobak merah dan kentang.
Sup adalah serupa dengan stew, dan dalam beberapa kes mungkin tiada perbezaan yang jelas antara kedua-duanya. Walau bagaimanapun, sup umumnya mempunyai cecair yang lebih daripada stew.
Jadi, macam-macam jenis sup ada dalam dunia masakan. Lain dapur, mungkin lain resipi supnya. Lain orang, lain citarasanya. Sup kaki ayam Amie kali ini, ikut gaya masakan kakak ipar Amie. Suami kakak ipar Amie keturunan Cina, jadi hari-hari mesti ada hidangan sup. Jadi, kalau buat rumah terbuka pun, sup mesti ada! Supnya pula, ringkas saja. Tak perlu rempah itu dan rempah ini. Lada putih pun tak perlu masukkan. Salah satunya, kalau kakak ipar buat sup kaki ayam, dia akan tambah white fungus, cendawan kering shiitake, lobak merah dan juga kurma merah.
Ini Sup Kaki Ayam Aneka Campuran, hidangan tengahari kami sekeluarga.
Kita lihat resipinya di sini. Biasanya Amie gunakan bawang besar, tapi bawang besar tidak ada, jadi Amie gantikan dengan bawang merah sahaja. Bawang merah dan bawang putih memang sengaja tidak dihiris, sebab proses merenih yang lama akan membuatkan bahan-bahan ini lembut dan hancur.
Bahan-bahan:
700 kg kaki ayam - bersihkan - potong ikut suka
2 biji kentang - kupas - belah 2
13 biji kurma merah (ambil segenggam)
4 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga lembut - belah 2
5 biji tomato kampung - belah tengah
11 ulas bawang putih
5 biji bawang merah - belah 2
3 cm halia muda - hiris
beberapa helai daun bawang
2 liter air
garam / perasa pilihan
Inilah kuantiti segenggam kurma merah. Bila Amie kira ada 13 biji.
Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali garam / perasa pilihan.
Masak dengn menggunakan api besar sehingga mendidih.
Apabila mendidih, perlahankan api dapur.
Tutup periuk dan biarkan sup renih sehingga kakai ayam empuk.
Selama proses merenih sup, harumnya aroma dari chendawan shiitake dan daun bawang memang sungguh menggoda selera!
Setelah kaki ayam empuk, perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya. Itu saja.
Sup Kaki Ayam Aneka Campuran sudah siap!
3 comments
Berkhasiat sungguh tu.
BalasPadamBelum pernah makan kurma merah, rasanya sama tak dengan kurma biasa?
Sedapnya sup kaki ayam!Idea baru ni masak sup kaki ayam dgn kurma merah. Thankyou share resepi ni Amie Kitchen 🥰
BalasPadamUjie,
BalasPadamkurma merah rasa tak sama dengan kurma biasa, cuma ada rasa manis sikit.
Ninja,
resipi sup ni biasa bagi masyarakat Vina.