Laici Kang
6:10 PTG
In shaa Allah kalau diumumkan malam ini, esok mula berpuasa maka berpuasalah kita. Memang akan terasa perbezaannya dengan bula puasa yang pernah dilalui sepanjang hidup ini. Apa tidaknya. Kita masih dalam PKP. Tiada bazar Ramadhan, dan tidak boleh pula sesuaka hati ke sana ke mari mencari bahan makanan untuk berbuka puasa.
Mari kita redakan panas cuaca hari ini dengan minum seteguk dua laici kang. Tak berani nak sebut nama sebenar iaitu Lin Chee Kang, sebab resepi asal sebenarnya menggunakan biji teratai atau lotus seed yang rasanya lemak-lemak tu. Susah dah nak cari sebab pergerakan terhad. Yang ada hanyalah longan kering yang Amie beli di Hatyai Disember 2019, masih elok dalam simpanan. Ada satu tin laici. Ada kembang semangkuk, dan harap-harap biji selasih masih ada lagi... itu pun kalau Encik Suami tak buang sewaktu tolong kemas kabinet dapur tempohari! Gula batu pula sudah dibuang, sebab lama sangat tak digunakan. Amie gantikan dengan gula melaka saja. Nak rebus barli, malaslah pulak...hiks!
Bahan-bahan:
1 cawan longan kering
10 biji kurma cina
200 gram gula melaka
3 helai daun pandang - siat dan simpul
6 biji kembang semangkuk
1 sudu kecil biji selasih
1 liter air
Bahan lain:
1 tin laici
1 cawan kacang gajus yang sudah digoreng
kiub ais secukupnya
Cara:
1. Masukkan air ke dalam periuk bersama longan kering dan kurma cina.
2. Masak sehingga longan kembang dan kurma cina lembut.
3. Masukkan gula melaka bersama daun pandan. Masak sehingga gula melaka larut.
4. Padamkan api dapur dan masukkan kembang semangkuk bersama biji selasih. Biarkan sehingga kedua-duanya kembang.
5. Setelah bahan rebusan menjadi sejuk, pindahkan ke dalam mangkuk besar.
6. Tuangkan buah laici dalam tin bersama airnya sekali.
7. Taburkan kacang gajus.
8. Tambahkan kiub ais.
9. Sedia untuk dinikmati.
Nak minum suam-suam begitu saja pun boleh. Nak lebih sejuk, bubuhlah kiub ais. kalau kita beli laici kang macam-macamlah bahan yang digunakan dan warna-warni pula. Amie tidak ada bahan lain, tapi yang ada ini pun sudah cukup menyegarkan tekak, dengan harum longan kering dan aroma daun pandan. Kalau tak mahu kacang gajus, gunakan kacang tanah pun boleh.
Laici Kang dah siap!
2 comments
Dapat laici kang penuh bahan macam ni memang sedap. Lagi lagi masa berbuka tu. Sejuk tekak rasanya :)
BalasPadamAzhafizah,
BalasPadamdah teringin sangat ni..try buat sendiri