Rahsia Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan Nasi Lemak Terlajak Sedap!
2:30 PTG
Jumpa lagi.
Awal pagi lagi Encik Suami sudah memulakan tugas di musim PKP. Apalagi kalau bukan mengecat bingkai tingkap di ruang tamu! Lepas ini, tak tahu apa lagi yang ingin dikerjakannya! Selagi PKP dilaksanakan, memang tak pernah duduk diam. Masuk rumah hanya untuk mandi, solat dan makan, kemudian sambung semula kerjanya sampai petang! Pagi tadi Amie sempat ke belakang rumah, nak ambil daun pisang buat alas nasi lemak. Nampaknya Encik Suami sudah bungkus buah mangga udang, dan juga buah anggur. Buah anggur janganlah harap dapat makan, kerana burung terlebih dahulu mengambil rezekinya. Mangga pula, tak tahulah haiwan mana yang suka makan... mungkin kelawar kot!
Hari ini kami makan nasi lemak untuk isi perut dari pagi sampai ke malam. Tak payah dah nak masak lagi. Masak sekali harung merangkap sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Tapi bila jenguk ke dapur sebentar tadi, tinggal sedikit nasi lemak dalam periuk. Telur rebus pun sudah habis. Tinggal sambal, rendang limpa dan sedikit ikan bilis serta kacang tanah goreng.
Nampaknya, kalau ada yang mengadu lapar petang nanti, kenalah sediakan makanan untuk malam pula.
Kali ini Amie nak fokus resepi sambal untuk nasi lemak sahaja. Banyak dah entri resipi nasi lemak sebelum ini. Untuk sambal nasi lemak ini, Amie tambahkan daun pandan untuk tambah aroma. Bayangkan ketika masak sambal di kuali dengan aroma pandan, di periuk pula nasi sedang mendidih dengan campuran halia, dan bau pandan juga! Semerbak dapur pagi ini dengan harum aroma pandan!
Ini dia Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan Terlajak Sedap!
Untuk tutorial lanjut boleh klik di sini: Enaknya Resepi Tradisi : Nasi Lemak Oh Nasi Lemak! Kalau nak buat sambal nasi lemak yang tak berapa pedas, boleh klik di sini: Nasi Lemak : Tips Nak Buat Sambal Tak Berapa Pedas!
Daun pandan ini ambil saja di belakang rumah, ada dua rumpun tumbuh subur di bawah pokok pisang. Jom kita mula masak sambal. Amie gunakan 7 helai. Siat-siat dan simpulkan daun pandan tu sebelum kita masak sambal. Untuk dapatkan sambal nasi lemak yang sedap (ikut selera Amie), gunakan cili kering yang tak berapa pedas. Lebihkan gula, sama ada gula melaka atau gula pasir. Sebaiknya bubuh gula pada awal waktu memasak sebab nak bagi gula itu larut dan sebati dalam sambal. Hasilnya, sambal akan terasa manis, dan bukannya terasa gulanya... heheee... boleh ke bezakan rasa sambal manis dengan rasa sambal gula?
Bawang pun kena bubuh banyak, terutama bawang merah. Masak sambal ini kena sabar sebab guna api perlahan, dan tunggu sambal masak sebati hingga terbit minyak. Kalau nak rebus cili kering pun boleh, tak nak rebus pun boleh. Hasil yang direbus nampak sambal lebih halus. Yang Amie paparkan ini tidak direbus, jadi nampak agak kasar sedikit....hiks! Satu lagi, halia tu sikit saja. Bubuh banyak takut sambal akan rasa halia pula....ekekkeekkk!
Bahan-bahan:
20 tangkai cili kering wonder hot (jenis kurang pedas) - buang biji - rebus hingga masak - toskan - kisar - ketepikan
2 cawan ikan bilis - bilas - toskan
1 labu bawang besar - mayang kasar
3/4 cawan minyak
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 3 sudu besar air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
7 ulas bawang putih
15 biji bawang merah
2 labu bawang besar
1 cm halia
2 cm belacan
Cara:
1. Panaskan minyak. Masukkan daun pandan, dan goreng sehingga layu.
2. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga pecah minyak.
2. Masukkan bancuhan air asam jawa, cili kering kisar dan gula.
3. Biarkan masak sehingga pecah minyak sekali lagi. Kacau sekali- sekala. Gunakan api sederhana.
4. Masukkan hirisan bawang besar dan ikan bilis.
5. Tambahkan garam / perasa pilihan.
6. Setelah sambal menjadi pekat, padamkan api dapur.
7. Keluarkan daun pandan sebelum hidangkan sambal ikan bilis bersama nasi lemak and the gang.
Ikan bilis tu kalau nak goreng terlebih dahulu pun boleh. Ada yang suka rasanya yang garing. Jadi, bila sambal dah masak, masukkan sekejap dalam kuali, gaul dan padamkan api dapur.
Ikan bilis tu kalau nak goreng terlebih dahulu pun boleh. Ada yang suka rasanya yang garing. Jadi, bila sambal dah masak, masukkan sekejap dalam kuali, gaul dan padamkan api dapur.
Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan dah siap!
Ada lebihan rendang limpa masakan kelmarin. Bolehlah buat tambah lauk nasi lemak.
Amie namakanlah menu ini Nasi Lemak Lockdown.
Saja jew buat kenang-kenangan sempena musim PKP.
4 comments
Sedapnya kak dana pun suka campo daun pandan dlm sambal dana.
BalasPadam. Sedap baunya
Sedapnyaaa rupa dia. Terliur saya...
BalasPadamSaya singgah sini. Jemput singgah blog saya tolong saya share pendapat untuk post yang ni
https://theninjablogging.blogspot.com/2020/04/place-ads-yang-ada-terselit-iklan-judi.html
Rindu nak tengok pokok buah bidara dgn buah mangga besar kat belakang rumah akak.. semua cerita akak.. sy suka baca...teruskan kak.. sy doakan semoga akak sekeluarga di lindungi Allah SWT.. aamin. ya Rabal alamin..
BalasPadamDana,
BalasPadamsedap kan, seisi keluarga suka
Ninja,
ok, sudah singgah ye
Unknown,
pokok buah bidara dah ditebang, tinggal separuh pokok sebab Encik Suami nak bagi rendang, mangga udang sedang berputik. Terima kasih dik sudi datang dapur kakak. Aamiin atas doanya. Moga adik dilindungi Allah jua...