Agar-Agar Santan Gula Kabung Lockdown
4:02 PTG
Setiap hari ada sahaja yang Encik Suami buat di rumah. Kalau Stor belakang rumah 25' X 18' sudah hampir siap sepanjang tempoh PKP dari 18 Mac lalu. Katanya, hanya lantainya sahaja yang perlu dibaiki. Dua hari lepas sempat jenguk ke belakang, pintu stor pun sudah dicat. Kelmarin, Encik Suami mengecat pula bingkai jendela dapur di ruangan basah dan kering. Ketika Amie masak di dapur sempatlah sembang-sembang sambil buat kerja masing-masing. Jadi, sengajalah berlama-lama di dapur sebab ada teman sembang.
Sebelum itu, Encik Suami tolong kemas kabinet dapur. Salah satunya tempat simpan makanan kering. Banyaklah harta karun yang belum terusik. Mana yang masih elok, disimpan dan mana yang rosak terpaksalah dibuang. Harta karun yang ditemui termasuklah bungkusan mee hoon, suhun, kacang hijau, macaroni, barli, sagu biji dan entah apa lagi. Encik Suami susun elok-elok dalam kabinet dapur. Bila kita buka kabinet, terpandanglah sebungkus agar-agar tali. Nampak masih elok, tapi tak nampak pula tarkh luputnya, maklumlah mata rabun jauh dan rabun dekat. Sudahlah mata nombor dua bubuh atas almari mini library kami.
Huurrmmm... daripada terbiar agar-agar nan sebungkus seberat 20 gram itu, baiklah kita buat sesuatu. Musim lockdown ini memang seronok sangat berkreativiti di dapur sendiri. Mulalah mencongak, mengingat apa benda yang boleh digunakan dalam peti sejuk. Ada daun pandan, ada gula melaka, ada gula kabung, dan dalam kabinet dapur pula ada santan kelapa, pewarna hijau epal dan perisa pandan. Opppsss! Sekejap.... ada telur tak? Oh! Ada. Wokey. Semua bahan ada. Lengkap.
Akhirnya tangan capai gula kabung @ gula Siam. Biasanya buat agar-agar santan gula melaka, kali ini buat gunakan gula kabung pulaklah. Gula kabung dari Siam ini memang rasanya sedap, tapi warnanya kurang menyerlah seperti warna gula merah atau gula melaka.
Bahan-bahan:
1 paket agar -agar tali - 20 gram
5 cawan air
2 cawan santan - dari 2 cawan kelapa parut kisar
1 cawan gula kabung
1 biji telur ayam gred A - pukul sedikit -
1 helai daun pandan - siat dan simpul
1/2 sudu kecil garam halus
Cara:
1. Masukkan agar-agar, gula kabung, air dan daun pandan ke dalam periuk. Jerang dengan api sederhana sehingga agar-agar larut.
2. Campurkan telur ayam yang dipukul ke dalam santan kelapa. Kacau rata.
3. Kemudian tuangkan campuran santan dengan telur dan juga garam.
4. Sentiasa kacau sehingga mendidih.
5. Padamkan api dapur.
6. Tuangkan adunan agar-agar santan gula kabung ke dalam bekas pilihan yang disediakan.
7. Biarkan sehingga agar-agar menjadi sejuk dan mengeras.
8. Untuk rasa lebih segar dan lazat, masukkan ke dalam peti sejuk setelah agar-agar menjadi keras.
Wokeyyy!
Agar-Agar Santan Gula Kabung Lockdown dah siap.
Jom kita makan sambil tonton televisyen dengar pengumuman Perdana Menteri tentang PKP petang ini. Adakah tempoh PKP disambung lagi?
1 comments
Sedap dimakan yg sejuk2...baru keluar dari petiais..
BalasPadam