Resepi Mudah Buat Adunan Cucur Ikan Bilis Sedap Gunakan Air Panas
12:42 PTG
Assalamualaikum.
Jam sudah menunjukkan angka 12 tengahari.
Dah masak hidangan tengahari ke belum?
Nampaknya hari ini kena bersabar sikit. Pagi tadi kami dapati peti sejuk kami rosak. Bahagian atas dan bawah tak sejuk. Agaknya rosak dari malam tadi sebab freezer kecil bahagian bawah, aisnya sudah cair. Terpaksa keluarkan semua harta karun. Dan Encik Suami pun sibuklah bertutoral melalui video cara-cara membaiki peti sejuk rosak. Syukurlah sebahagian harta karun berada dalam freezer yang sebuah lagi. Jadi tak perlu risau akan berlaku kerosakan kerana freezer dalam keadaan baik.
Pagi tadi Amie sediakan sarapan cucur ikan bilis. Amie buat gunakan air panas. Waktu kecil dahulu, kakak yang suka goreng cucur ikan bilis dengan adunan air panas. Amie makan saja. Tak gunakan air panas pun sedap juga, rangup dan garing. Dua-dua Amie suka. Yang adun dengan air panas pun suka. Adun dengan air biasa pun suka.
Dah selesai sarapan pagi, barulah sempat buka whatsaap.
Ada satu mesej dari seorang kawan, tanya tentang daun bidara.
Allahu Akbar! Mesej itu dihantar malam tadi rupanya.
Oleh kerana rumahnya agak jauh dari tempat tinggal kami, jadi Amie pun cepat-cepat balas. Amie rasa memang dia perlukan sangat daun bidara itu. Katanya, dapat sedikit pun jadilah. Ya, mudah-mudahan tidak ada sekatan jalan raya dalam perjalanannya menuju ke rumah kami.
Kebetulannya, dua minggu lepas Encuk Suami tebang pokok bidara depan rumah!
Encik Suami minta Fairuz naik atas bumbung rumah, cantas ranting bidara yang menutupi sebahagian bumbung anjung rumah kami, dan sebahagiannya lagi menutupi bumbung anjung jiran kami.
Tinggallah batang pokok bidara yang besar di penjuru laman. Kata Encik Suami, biarlah pokok bidara ini tumbuh rendang. Syukurlah Encik Suami tinggalkan dua ranting yang masih berdaun. Alhamdulillah. Akhirnya dapat juga kawan Amie ambil daun bidara itu.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
2.5 cawan air panas
1 cawan ikan bilis - cuci bersih - tumbuk kasar
minyak untuk menggoreng tenggelam
garam / perasa pilihan
Bahan hiris / cincang:
1 labu bawang besar
1 biji cili merah
1/2 batang lobak merah
10 batang kucai
Lain-lain:
air sejuk - untuk celupkan jari sewaktu hendak mengambil adunan cucur untuk digoreng supaya tidak melekat
Inilah bahan yang Amie gunakan sebagai campuran cucur ikan bilis. Ikut jam, ada cili merah hiris halus, bawang besar cincang, ikan bilis, lobak merah dan daun kucai. Ikut sukalah nak bubuh apa. Kalau tak mahu ikan bilis, boleh gantikan dengan udang. Tak mahu bubuh kucai, bubuh daun sup atau daun bawang pun boleh. Ada yang suka bubuh kentang potong kecil-kecil, dan juga tambahkan jagung. Encuk Suami pula suka kalau ditambah hirisan kecil labu manis.
Cara:
1. Dalam sebuah bekas, masukkan tepung gandum, ikan bilis tumbuk, cili merah, daun kucai, bawang besar, lobak merah dan garam / perasa pilihan.
2. Gaul kesemua bahan dan kemudian buat lubang di tengah-tengah seperti dalam gambar di atas.
3. Tuangkan air panas (menggelegak) di tengah-tengah mangkuk berisi campuran tepung tadi, dan kemudian gaul dengan pantas hingga sebati.
4. Panaskan minyak dalam kuali untuk goreng tenggelam.
5. Celupkan kelima-lima jari ke dalam air sejuk dan kemudian ambil sejemput adunan dan masukkan ke dalam kuali. Ulang semula mengikut jumlah cucur yang dikehendaki untuk digoreng.
6. Apabila cucur kelihatan timbul di permukaan, menandakan ia sudah masak. Jika inginkan lebih garing dan warna nampak keemasan, bolehlah biarkan dahulu lebih lama sedikit di dalam kuali gorengan.
7. Angkat dan toskan.
Jika inginkan bentuk cucur ikan bilis yang sama rata bentuk bulatnya, bolehlah dibulat-bulatkan dahulu semua adunan sehingga selesai. Kemudian barulah digoreng.
Cucur Ikan Bilis ini garing dibahagian luar dan lembut di dalamnya. Bolehlah nikmati dengan sos pilihan atau sambal ikan sardin.
Hurrrmmm... Nampaknya Encik Suami tak larat nak ikuti tutorial membaiki peti sejuk. Telefon sana, telefon sini, akhirnya dapatlah seseorang yang memang bekerja membaiki peralatan elektrik yang rosak. Harap petang ini peti sejuk dapat dibaiki.
0 comments