Resipi Gulai Lemak Ikan Masin Dengan Nanas Yang Sangat Sedap Sehingga Menjilat Jari!
4:14 PTG
Apa khabar warga Borneo dan Malaya?
Moga baik-baik sahaja.
Hari ini merupakan hari pertama kita menjalani PKP Fasa 3.
Nampaknya kawalan semakin ketat memandangkan orang ramai sudah mula memberanikan diri berada di tempat awam tidak kira masa. Di LD sahaja, sana sini polis buat rondaan dan road block bukan sahaja di kawasan bandar, malahan kawasan perumahan dan kampung pun mereka jaga! Dengarnya, yang engkar arahan terus ditangkap! Aduh! Pagi tadi, terdengar jiran sebelah rumah bercerita dengan Encik Suami. Jiran kami diarahkan patah balik ke rumah walaupun memandu seorang diri dalam kereta. Mungkin ada urusan yang hendak diselesaikannya, tapi apabila ditahan polis dia berikan alasan : Nak beli ikan kering! Polis mengarahkannya segera pulang ke rumah dan Amie tidak dapat menahan ketawa bila jiran tadi berkata : Polis tu bilang, kita (kamu) sudah tua. Janganlah ke bandar. Jagalah kesihatan!
Bila jiran sebut tentang ikan kering, teringat pula 3 ekor ikan masin yang masih dalam bungkusan. Kebetulan pula Encik Suami sedang mengupas nanas. Amie minta Encik Suami tinggalkan beberapa potong nanas di dapur, mana tahu tengahari nanti ada hati nak masak ikan masin dengan nanas.
Terima kasih jiran kami kerana dapat idea menggulai ikan masin, dan terima kasih Encik Suami, sebab rajin kupas nanas, dapatlah gunakan sedikit campur dalam masakan. Makan tengahari kami hari ini, nasi putih Gulai Lemak Ikan Masin dengan Nanas!
Inilah rupa ikan masin yang dibeli di Pasar Seri Perdana, LD. Namanya ikan masin batu.
Biasanya Amie suka goreng dengan cili dan bawang saja atau kukus atas nasi yang hendak kering dalam rice cooker. Hari ini entah mimpi apa hendak menggulai pula.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan masin - cuci - rendam 10 minit - kerat 6
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
1 helai daun kunyit - siat dan simpul
1 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugor
1/2 kg nanas - buang empulur - potong ikut saiz yang disukai
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
2 biji cili merah - buang biji
7 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm kunyit hidup
1 cm lengkuas
1. Dalam periuk atau kuali, masukkan santan cair, serai, bahan kisar dan nanas.
2. Masak dengan api sederhana sehingga nanas menjadi layu.
3. Kemudian masukkan asam gelugor dan ikan masin.
4. Tuangkan santan pekat, dan kacau pelahan-lahan sehingga kuah mula mendidih.
5. Masukkan simpulan daun kunyit, garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Gulai Lemak Ikan Masin dengan Nanas dah siap.
Encik Suami tanya: Pakai kunyit hidup ke?
Iye. Kenapa?
Cantik warnanya.
Ohhhh!!!!
3 comments
inilah lauk pembuka selera waktu bersahur
BalasPadamsedap menu ni..lama tk mkn
BalasPadamOrangmuo,
BalasPadambetul tu... makan dengan nasi panas...walaaaa.
Mama Tisya,
saya pun jarang masak ni, ada ikan masin terus masak begini.