Resipi Ikan Cencaru Sumbat Sambal Kelapa Kegemaranku!
5:06 PTG
Assalamualaikum.
Tentu masing-masing baru saja mendengar pengumuman lanjutan tempoh PKP oleh Yang Berhormat Perdana Menteri kita. Terimalah dengan hati yang terbuka, bahawa semua keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan negara dalam jangka masa panjang. Bukan negara kita sahaja yang terkesan, tetapi seluruh dunia sedang menghadapi masalah yang sama dan mereka juga sedang bertungkkus-lumus mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah Covid-19 yang tidak berhati dan perasaan ini.
Resepi dari Amie's Little Kitchen kali ini ialah Ikan Cencaru Sumbat Sambal Kelapa. Amie memang suka sangat kalau dapat makan nasi lauk ikan cencaru sumbat sambal kelapa. Tak kisahlah, sama ada ikan itu digoreng atau dipanggang. Dan sudah tentunya, bagi mereka yang sukakan resepi begini pasti mempunyai resepi tersendiri. Tidak semestinya ikan cencaru hanya boleh disumbat dengan sambal kelapa, malah sambal belacan dan sambal tomato pun boleh.
Kalau makan nasi dengan ikan cencaru sumbat sambal kelapa ini, Amie tak suka lauk lain yang berkuah masuk dalam pinggan yang sama. Bukan apa, nanti kurang nikmatnya makan nasi dengan ikan cencaru sumbat sambal kelapa! Haaa... citarasa masing-masingkan....hiks!
Ada banyak jenis sambal kelapa boleh disediakan untuk sumbat belakang ikan cencaru. Ada sambal kelapa warna merah sebab tambah dengan cili merah, ada yangwarna kuning sebab tambah dengan kunyit dan ada yang kosong sahaja tanpa warna cili atau wayna kuning kunyit. Ini pun ikut citarasa masing-masing juga...ahaks! Bagaimana dengan resipi sambal kelapa olahan Amie? Amie tambahkan 1/2 biji cili merah buang biji dan hirisan daun kunyit. Ada yang tak sukakan aroma daun kunyit, tapi Amie suka baunya yang klasik itu. Ia seakan mengundang memori silam, duduk di kampung bertemankan aroma herba kampung sewaktu memasak di dapur seperti serai, lengkuas dan kunyit. Kalau tak suka daun kunyit, jangan masukkan ye. Serai pun Amie bubuh juga dalam sambal kelapa ini. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 cawan kelapa parut
1/2 biji cili merah - buang biji
3 biji cili padi hijau
1 helai daun kunyit muda - hiris halus
1 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris halus
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil belacan
1/2 sudu kecil pati asam jawa
1 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
garam / gula / perasa pilihan
Cara:
1. Tumbuk cili merah, serai, belacan, bawang putih dan bawang merah hingga lumat.
2. Masukkan kelapa parut, serbuk kunyit, asam jawa, garam / gula / perasa pilihan dalam lesung dan tumbuk lagi tetapi jangan sampai kelapa parut hancur.
3. Seterusnya masukkan hirisan daun kunyit dan gaul sebati.
Isikan sambal kelapa ke dalam perut ikan cencaru melalui belakangnya. Sambal kelapa yang Amie sediakan ini cukup untuk dua ekor ikan saiz sederhana besar.
Ikut sukalah nak panggang atau goreng ikan cencaru sumbat sambal kelapa ini. Amie suka panggang saja dalam kuali ajaib. Sebelum dipanggang, Amie taburkan sedikit garam halus di bahagian luar ikan cencaru dan lumurkan sedikit serbuk kunyit. Kemudian Amie renjiskan sedikit minyak di atas ikan tadi.
Ikan Cencaru Sumbat Sambal Kelapa sedia untuk dipanggang! Dengan menggunakan api kecil, Amie panggang ikan selama 7 minit, dan kemudian terbalikkan kuali ajaib untuk meneruskan panggangan selama 3 minit pula.
Ikan Cencaru Sumbat Sambal Kelapa dah siap!
3 comments
Wahh, ada isi kelapa ye. biasa masak letak bawang, lada je.
BalasPadamGuna kelapa yang muda sikit memang sedap
BalasPadamMacam sedap je
BalasPadam