ADSENSE

Jumaat, 3 April 2020

Sedapnya Asam Pedas Ekor Lembu!

Assalamualaikum.
Jumpa lagi. Kali ini cerita ringkas sahaja tentang resepi Asam Pedas Ekor Lembu. Ada masa belek-belek resepi, terjumpalah resepi asam pedas ekor lembu dari hotel. Sebenarnya kali pertama Amie makan asam pedas ekor lembu pun dari hotel juga. Lama dah, tapi masih ingat tahun 1996 di Hotel Shangri La Kota Kinabalu. Waktu itu rasa hairan juga, kenapa hotel masak ekor lembu sebagai hidangan? Hahahaaa.... maklumlah orang kampung baru masuk ke bandar! Dari hari itu, kalau ada ekor lembu, selain masak sup, Amie suka masak asam pedas juga.


Amie cuba resepi asam pedas ekor lembu dari sini : ASAM PEDAS EKOR, HIDANGAN POPULAR DI SELATAN TANAH AIR. Terima kasih buat Chef Masakan Melayu Hotel Eastin Petaling Jaya, Usri Kamaruddin kerana sudi berkongsi resepi asam pedas ekor. Asam pedas ekor ini berbeza dengan asam pedas ikan dan asam pedas ayam yang menggunakan asam jawa, sebaliknya menggunakan pes tomato atau puri tomato sebagai penambah rasa masam. Selain memberikan warna yang menarik dalam masakan, pes tomato juga mampu memotong lemak pada ekor lembu.

Di sini Amie kongsikan resepinya tetapi Amie gunakan sukatan sendiri. Chef Usri gunakan timbangan metrik. Chef Usri gunakan 1 kg ekor lebu, tapi Amie hanya gunakan 600 gram sahaja. Bagaimanapun satu bahan penting untuk asam pedas iaitu bunga kantan tidak ada dalam masakan Amie. Maklumlah, sejak PKP jarang keluar dan sesekali ke pasar memang tak jumpa sekuntum pun bunga kantan. Dapat beli daun kesum pun sudah seribu syukur.

Resepi yang Amie kongsikan ini sudah diubahsuai dari segi sukatan resepi asal, tetapi tetap menggunakan bahan yang sama. Boleh rujuk ke SINI untuk melihat resepi asal.

Bahan-bahan:
600 gram ekor lembu - rebus hingga lembut
1 sudu kecil campuran jintan manis, jintan putih dan halba (3 beradik)
2 sudu besar puri tomato
2 batang serai - diketuk
2 kuntum bunga kantan - belah 4 (Amie tidak bubuh)
7 tangkai daun kesum
3 helai daun limau purut - buang urat belakang
2 biji tomato - belah 4
1 biji cili merah - belah 2
1 biji cili hijau - belah 2
600 ml air rebusan ekor lembu 
4 sudu besar minyak
garam / gula /perasa pilihan


Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
1/2 sudu kecil lada hitam
1 cm halia
2 cm belacan
 
Tidak ada penggunaan asam jawa atau asam keping dalam resepi ini. Puri tomato digunakan untuk menerbitkan rasa masam dalam masakan. Jangan lupa rebus ekor lembut hingga lembut seperti di bawah ini. Untuk kurangkan lemak, rebus sehingga mendidih selama sepuluh minit dan kemudian buangkan airnya. Masukkan air lain dan rebus lagi hingga ekor lembu empuk. Air rebusan hangan dibuang sebab boleh digunakan sebagai kuah asam pedas.

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis tiga beradik (jintan putih, jintan manis dan halba), bahan kisar bersama serai sehingga terbit minyak.
2. Masukkan air rebusan ekor lembu diikuti dengan puri tomato. Biarkan mendidih.
3. Seterusnya masukkan ekor lembu, daun limau purut dan daun kesum.
4. Perlahankan api dan biarkan masak sehingga terbit minyak
5. Masukkan cili merah, cili hijau dan tomato.
6. Akhir sekali perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Asam Pedas Ekor Lembu dah siap!

3 ulasan:

Ujie Othman berkata...

Menu rare ni...saya pun tak pernah tau.

Warisan Petani berkata...

memang sedap masak asam pedas ekor lembu.
kalau buat sup pun terangkat

Amie berkata...

Ujie,
beul tu... macam-macam ada dalam dunia masakan.

Warisan Petani,
ya Wak... sedap sangat sup ekor lembu.