Senangnya Membuat Kerepek Popia Sira Pedas Yang Gerenti Sedap!
1:12 PTG
Jom buat kudap-kudapan Kerepek Popia Sira Pedas.
Boleh kunyah-kunyah sambil menonton televisyen... ahaks!
Krup! Krap. Krup! Krap!
Alahai sedapnya!
Amie gulung, gunting dan goreng kulit popia pada petang kelmarin. Bila dah siap goreng, Maghrib pun menjelma. Jadi, Amie tangguhkan kerja menyira kerepek popia pada pagi ini.
Inilah kerepek popia yang sudah digoreng.
Ini pula kerepek popia yang sudah disira pedas.
Oleh kerana tidak sempat ambil gambar proses menggulung, menggunting dan menggoreng kerepek popia kelmarin, Amie kongsikan gambar dari entri yang lepas. Boleh klik di sini: Popia Mini Sira Pedas. Bezanya dalamentri dahulu, Amie gunting memanjang, tetapi kali ini gunting menyerong pula. Dahulu Amie gulung penuh sekeping kulit popia, tapi kali ini Amie potong dua. Maknanya, sekeping kulit popia boleh dapat dua gulungan.Kalau nak lebih nipis, boleh bahagikan sekeping kulit popia kepada empat bahagian. Amie lebih sukakan gulungan yang lebih tebal, sebab dapat kunyah dengan sepuasnya... hiks! Untuk membuat bentuk serong boleh klik di sini: Popia Nestum Horlicks.
Bahan-bahan:
1 paket kulit popia saiz besar - 50 keping
1 biji telur - pukul ringan
1 sudu kecil pati asam jawa
1 paket kulit popia saiz besar - 50 keping
1 biji telur - pukul ringan
1 sudu kecil pati asam jawa
2 sudu besar bijan - sangaigaram dan gula secukup rasa
minyak
Bahan kisar
10 tangkai cili kering
2 sudu besar udang kering
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
minyak
Bahan kisar
10 tangkai cili kering
2 sudu besar udang kering
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 tangkai daun kari - lurutkan
Jika tidak mahu masukkan udang kering, boleh gantikan dengan ikan bilis. Tak mahu ikan bilis, boleh masukkan sedikit belacan. Tak masukkan udang kering, belacan, atau ikan bilis pun tak jadi masalah.
Cara:
1. Gulung kulit popia menggunakan copstik (kalau nak ukuran sama - tak guna copstik pun tak apa - gulung saja begitu).
2. Tinggalkan lebih kurang 1/2 cm di bahagian hujungnya dan sapu dengan telur, dan kemudian kemaskan gulungan tadi hingga melekat.
3. Setelah selesai, gunting gulungan kulit popia mengikut ukuran yang disukai.
4. Panaskan minyak yang banyak dan kemudian goreng kulit popia dengan menggunakan api sedernaha panas.
5. Balik-balikkan kulit popia supaya masak sekata, dan biarkan masak sehingga minyak tidak berbuih dan kulit popia berwarna kuning keemasan.
6. Angkat dan toskan minyaknya.
7. 4 sudu besar minyak, dan masukkan daun kari.
8. Apabila terbit bau, masukkan bahan kisar, tambahkan pati asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
9. Tumis sehingga terbit minyak dan sambal kelihatan pekat dan likat. Kemudian padamkan api dapur dan biarkan sambal menjadi sejuk.
10. Seterusnya masukkan kerepek popia dan gaul rata.
11. Akhir sekali taburkan bijan dan gaul sekali lagi.
12. Simpan dalam bekas kedap udara.
Gambar atas : Kerepek Popia Sira Pedas entri terdahulu.
Gambar bawah : Kerepek Popia Sira Pedas entri hari ini, ada penambahan daun kari.
Simpan dalam bekas kedap udara supaya tak lemau.
Jangan tanya Amie berapa lama Kerepek Popia Sira Pedas ini boleh bertahan tau... ahaks! Sebab, seingat Amie setiap kali buat kerepek popia ini, jangka hayatkan tak sampai sehari sudah kosong semua balang!
Sebelum Amie tulis entri ini, satu balang sudah dibawa lari Firdaus.
Setelah selesai menulis entri, satu balang lagi sudah hilang dari tempatnya! Bila Amie intai di ruang tamu, nampak Fairuz pula sedang menonton televisyen, bersama sebalang kerepek popia dan sebotol air minuman!
Huurrmmm... kena sorok sebalang lagi.
Tunggu Encik Suami pulang dari urusan kerja, dan petang nanti nak makan kerepek popia bersama-sama.
0 comments