Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
12:14 PTG
Bila cerita bab sup tulang, teringat suasana kenduri kahwin di kampung. Pengalaman masa lalu, zaman kanak-kanak dan remaja sentiasa menggamit memori. Seribu satu kenangan hidup sebagai anak kampung memang sangat mahal harganya, tidak mampu dibeli dengan segala harta yang ada. Hidup sebagai anak penoreh getah dengan jumlah adik-beradik yang ramai sudah tentu ada kesukaran yang sering dihadapi. Namun banyak kenangan manis yang kami lalui.
Kembali cerita sup tulang.
Biasanya kalau nak menikmati sup tulang, kenalah rajin rewang kalau ada kenduri kahwin di kampung. Biasanya tuan rumah akan sediakan seekor atau dua ekor lembu untuk disembelih. Nak dapat lembu atau kambing memang agak mudah sebab rata-rata penduduk kampung kami selain menoreh getah, mereka juga memiliki binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing dan lembu. Seronoknya melihat suasana gotong-royong atau rewang! Kaum wanita di dapur bertugas menyediakan bahan untuk dimasak seperti menghiris bawang atau menumbuk dan menggiling rempah-rempahan, memotong sayur, daging dan sebagainya. Kaum lelaki pula menjadi tukang masak! Mengukus nasi dan memasak lauk-pauk! Biasanya mereka akan masak nasi minyak. Aduhai... semerbaknya aroma masakan yang mereka oleh. Ada acar mentah dan acar berempah! Ada rendang daging lembu, masak kicap lembu dan sebagainya.
Opppsss! Cerita kenduri pulak dah.
Amie nak kongsikan cerita tentang keenakan hidangan sup tulang semasa kenduri di kampung. Menjelang tengahari, jiran tentangga dan orang kampung yang datang rewang akan dihidangkan makan nasi dan antara satu lauk yang dihidangkan ialah sup tulang. Bayangkan, waktu pagi lembu di sembelih, dilapah bersama, dan menjelang tengahari sudah tersedia satu kawah sup tulang! Sup tulang tidak dihidangkan kepada para tetamu, hanya untuk mereka yang datang rewang sahaja.
Cara orang kampung kami masak sup tulang ialah dengan cara menumis terlebih dahulu rempah-rempahan, dan kemudian masukkan tulang ke dalam tumisan. Kata Bonda, tujuannya ialah untuk mematikan atau membuang bau. Apabila daging pada tulang sudah kelihatan layu atau berubah warna, barulah ditambah air.
Nak cerita sup tulang resipi orang kampung kami pun sudah mengambil ruang dan masa yang panjang.... akas! Kita berhenti di sini dahulu, kita cerita Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang hasil air tangan Amie sebagai juadah berbuka puasa kelmarin petang.
Keluarga sebelah Encik Suami lebih suka rebus sahaja tulang tanpa menumisnya terlebih dahulu. Masakan Amie kali ini ikut cara keluarga Encik Suami. Oleh kerana Amie gunakan tulang kaki lembu, tidaklah banyak daging yang melekat di situ, jadi Amie tambahkan sedikit daging cincang.
800 gram tulang kaki lembu
400 gram daging cincang
2 batang serai - diketuk
1 labu bawang besar - belah 2 - potong 4
3 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 sudu besar lada putih - tumbuk
hirisan daun sup dan daun bawang
bawang goreng
3 liter air
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia
Cara memasak:
1. Dalam periuk, masukkan air, tulang kaki lembu, daging cincang. serai, bawang besar, bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan bahan kisar.
2. Masak dengan api besar sehingga mendidih, dan kemudian perlahankan api.
3. Renih sehingga daging tulang kaki dan daging cincang empuk.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan dan lada putih.
5. Taburkan hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.
6. Tutup api dapur.
Jom kita sediakan bahan pelengkap untuk Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang.
Celur mee hoon hingga lembut. Kalau nak gunakan mee kuning pun boleh juga.
Daging cincang yang direbus bersama tulang tadi, keluarkan dari periuk dan hiris-hiris.
Seperti biasa, sediakan juga daun bawang dan daun sup, bawang goreng, limau kasturi dan sambal kicap.
Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang ini sebenarnya permintaan Fairuz. Bujang kami ini setiap malam masak untuk bersahur. Biasanya pukul 3:30 pagi, siaplah dia masak nasi, sayur dan sejenis lauk. Waktu imsak di LD pada pukul 4:25 pagi. Syukur Alhamdulillah, walaupun tidak ada anak perempuan, anak lelaki pun boleh membantu di dapur. Sebenarnya dari malam puasa pertama lagi Fairuz tawarkan diri untuk masak sahur, tapi Amie tidak benarkan sebab Amie ingin masak sendiri hidangan bersahur. Malam kedua dan seterusnya memang dialah yang ambil alih tugas memasak di dapur untuk sahur.
5 comments
Nasib baik sampai sini dah siap berbuka puasa...kalau idak....maw pengsan den menahan air liur...ahakz
BalasPadamKecur air liur tengok. Macam kedai style dah ni.
BalasPadamjeBateja,
BalasPadamjemput.
Azhafizah,
hahaaa... bulan puasa ni banyak masa duduk dapur, bolehlah hias2 sikit.
Rebus dahulu tu buat berapa minit ye? Kalau tak rebus dulu, masak mcm mna ye?
BalasPadamSA terkilan hari ni...SA mintak Pak Zain belikan daging cincang...SAa nak buat sup..sampai rumah...katanya x yah la buat sup..mana pernah orang buat daging cincang sup...terus dia suruh Mak Pah buat masak lemak cili api....hurm....nanti la ada rezeki beli dan buat lagi...
BalasPadam