Pindang Tumis Ikan Tudung Periuk
8:28 PG
Assalamualaikum dan selamat pagi buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen.
Moga sihat-sihat sahaja hari ini.
Sarapan apa pagi ini ye?
Amie sedang rendam mee hoon, dan in shaa Allah pagi ini kami akan sarapan mee hoon goreng.
Sementara itu, ambil kesempatan siapkan entri Pindang Tumis Ikan Tudung Periuk dulu. Ikan tudung periuk ini lebihan dari separuh ikan yang Amie masak minggu lepas di sini: Masak Asam Pedas Ikan Cara Mak Mentuaku.
Dari kecil, Bonda memang sebut masakan pindang ikan. Entah kenapa, bila menulis resipi tertulis pula 'singgang' padahal nama menu ini masakan 'pindang'. Pindang membawa maksud sejenis masakan berkuah yang dimasak dengan asam (kunyit dll). Itu definisi yang diberikan oleh Kamus dewan. Manakala singgang pula bermaksud, masakan ikan (dll) yang direbus dan digarami. Ada beza antara keduanya. Kreativiti masing-masinglah yang menokok tambah bahan mengikut selera dan citarasa. Akhirnya masakan yang direbus, ditumis terlebih dahulu, dan masakan yang berwarna bening akan menjadi kuning kerana dibubuh kunyit. Wujudlah pelbagai nama seperti singgang kuning, singgang tumis, dan sebagainya.
Apa pun, kembali kepada maksud asal, Amie memilih 'pindang' kerana masakan ini berwarna kuning sebab ada kandungan kunyit, dan juga berasa masam kerana adanya asam keping.
Amie tambah daun kunyit untuk menambah aroma pada masakan pindang, dan memang Bonda akan masukkan daun kunyit setiap kali masak pindang. Itulah unik dan istimewanya masakan tradisi warisan keluarga. Kita raikan perbezaan bahan dalam resipi sebagai satu ilmu dalam dunia masakan.
Warna kuah Pindang Tumis Ikan Tudung Periuk ini tak berapa kuning. Barangkali disebabkan kunyit yang Amie gunakan masih muda, dan dicampur dengan cili padi hijau. Jadi, hasilnya seperti dalam gambar. Tomato kampung yang Amie gunakan ini bersaiz kecil.
Inilah rupa tomato kampung yang Amie gunakan dalam masakan Pindang Tumis Ikan Tudung Periuk.
600 gram ikan tudung periuk - potong ikut saiz yang disukai
1 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugor - boleh gunakan bancuhan air asam jawa
7 biji belimbing buluh - belah tanpa putus
5 biji tomato kampung - belah tanpa putus
1 liter air
4 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar:
15 biji cili padi kampung warna hijau
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia
2 cm kunyit
Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk bersama serai sehingga terbit aroma.
2. Tuangkan air dan biarkan kuah mendidih.
3. Masukkan asam gelugor, ikan, belimbing buluh dan tomato kampung.
4. Masak selama 5 minit.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Pindang Tumis Ikan Tudung Periuk dah siap!
0 comments