Resepi Sup Tulang Yang Ringkas Tapi Sedap!
3:13 PTG
Sesekali lari dari kebiasaan, ada kalanya berhasil dengan kepuasan. Namun sesekali itu juga sudah tentulah ada sebabnya.... Terus kepada isi cerita, cerita masak-masak tentang sup tulang!
Seorang rakan sekerja ajak Amie makan sup tulang pada hari Sabtu...dua hari lagi nak jumpa hari itu! Katanya selepas aktiviti kokurikulum, mereka pakat ramai-ramai makan sup tulang di sebuah gerai berhampiran jalan ke pejabat imigresen. Arrgghhh! Rasanya nak tunggu hari Sabtu...betapalah lamanya!
Dipendekkan cerita, balik dari tempat kerja Amie singgah beli tulang! Balik ke rumah, terus olah dengan cara yang seringkas mungkin! Begitu begini, akhirnya seperiuk sup tulang sedang direnih dengan api perlahan tetapi aromanya boleh dihidu sampai ke tingkat atas!
Jadi, sementara daging yang melekat di celah-celah tulang menjadi lembut, sempat jugalah Amie lelapkan mata. Macam biasalah... siaran televisyen menonton kita ngorok! Lewat petang, Encik Suami pulang dari kerja dan terus tegur : Bau apa ni? Sedapnya!
Amie pun bingkas bangun dan lari ke dapur!
Cantik!
Sup tulang masak sempurna.
Amie tambahkan kentang, lobak merah dan beberapa ketul bebola daging.
Amie lebih gemar memasak sup dengan cara semula jadi, merenih menggunakan api perlahan atau kalau hari cuti Amie suka memasak di dalam slow cooker. Keenakan sup yang dimasak cara begini lebih terserlah. Apa pun masing-masing mempunyai cara masakan yang digemari, dan tak kisahl;ah nak masak cara apa pun. Yang penting siap dan boleh dimakan...ahaks!
Jom tengok resepi sup tulang yang sangat ringkas di bawah ini:
1 kg tulang - bahagian tengkuk
2 labu bawang besar - kupas kulit - belah 4
10 ulas bawang putih - kupas kulit - biarkan seulas-seulas tanpa dihiris
3 cm halia - hiris nipis atau ketuk hingga pecah
4 biji ubi kentang - kupas kulit dan belah 2
1 batang lobak merah - potong bulat setebal 1 cm
16 biji bebola daging
3 biji bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
1 sudu besar lada hitam - tumbuk
garam / perasa pilihan
3 liter air
3 helai daun pandan - siat dan simpul
Cara:
1. Masukkan air dan tulang ke dalam periuk.
2. Masukkan sekali bawang besar, bawang putih, halia, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis dan daun pandan.
3. Masak hingga kuah mendidih. Kemudian perlahankan api dapur.
4. Renih sehingga daging menjadi lembut.
5. Kemudian masukkan kentang, lobak merah dan juga bebola daging.
6. Setelah kentang menjadi empuk, masukkan lada hitam, garam / perasa pilihan.
7. Padamkan api dapur.
8. Hidangkan panas bersama taburan daun sup dan bawang goreng.
Kalau rajin, buatlah sambal kicap...hiks!
1 comments
Salam
BalasPadamMau d Cuba in nanti
Tq kak