Resepi Bondaku Yang Sedap : Ikan Talapia Masak Pecak
8:25 PTG
Cantiknya hidup kita ini sebab banyak kenangan manis yang boleh kita simpan, dan ulang tayang jika masa mengizinkan. Menyelongkar resepi sahaja sudah mampu membongkar segala nostalgia lampau yang sememangnya terpahat kukuh dalam ingatan. Siapa yang mampu menyangkal bahawa air tangan Bonda adalah yang terbaik, terlazat dan barangkali agak sukar untuk mencari persamaannya dengan air tangan orang lain. Maklumlah... Bonda masak dengan sepenuh rasa hati, penuh tanggungjawab dan penuh kasih sayang. Biarlah seringkas mana pun, tika menjamah tetap terasa keenakannya.... apalagi di saat perut berkeroncong minta diisi.
Salah satu air tangan Bonda yang amat Amie suka sudah tentunya masak pecak. Barangkali ada yang asing dengan perkataan ini. Ada yang menyebutnya 'pecel' atau 'pecek' tapi dari kecil memang Amie dengar 'pecak' sehinggalah ke hari ini Amie lebih senang dengan perkataan tersebut. Kalau Ayahanda membawa pulang ikan pari, selain masak semur atau masak kicap, Bonda akan masak pecak. Pernah dulu, sewaktu pulang dari sekolah rendah Amie terus meluru ke gerobok... gerobok ialah almari dapur, tempat menyimpan makanan. Ada 3 tingkat atau para-para dalam gerobok. Para paling atas ialah nasi dan lauk untuk Ayahanda (sebab Ayahanda selalu lewat pulang dari kerja... lebih kurang pukul 2 petang), para kedua Bonda letakkan 2 set pinggan nasi dan lauk, biasanya satu set untuk Amie dan satu set lagi untuk kakak yang juga pulang lewat dari sekolah menengah. Para bahagian bawah biasanya kosong sebab semua adik-adik sudah makan. Sebenarnya sebelum buka gerobok Amie sudah dapat menghidu bau lauk yang Bonda masak... ikan pari masak pecak! Puaslah Amie makan nasi berlaukkan ikan pari masak pecak yang kuahnya sangat enak!
Macamana Amie boleh tahu Bonda masak pecak tanpa melihat terlebih dahulu hidangan dalam gerobok? Oh! Bau kencur... aroma kencur itulah yang menggamit kaki Amie melangkah dengan cepat... kalau boleh melompat dua tiga anak tangga terus menerkan gerobok! Ya.... aroma kencur atau cekur! Tak kisahlah anda biasa atau tidak dengan aroma kencur @ cekur samada isi atau daunnya, Amie tetap meneruskan entri tentang kencur ini.
Secara tradisinya, orang kampung kami yang tidak asing dengan tumbuhan herba bernama kencur ini akan menggunakannya dalam pelbagai masakan. Malah kencur juga digunakan dalam masakan untuk kenduri seperti mencampurkan daunnya dan digaul bersama daun-daun lain untuk dijadikan kerabu atau urap-urapan. Selain masak ikan pari, resepi yang sama juga digunakan untuk masakan ayam, dan pelbagai jenis ikan terutama ikan keli.
Asasnya, baik ikan atau pun daging ayam yang hendak dipecak perlu dipanggang terlebih dahulu hingga masak. Kemudian disiram dengan kuah santan yang telah dicampur sebati dengan beberapa bahan termasuk isi kencur, bawang dan juga cili padi. Biasanya cili padi yang digunakan berwarna hijau.... mmmmm ... ada aromanya yang tersendiri! Santannya pula tak perlu dimasak, cuma diperah dengan menggunakan air masak!
Bila ikan atau daging ayam dipanggang dan kemudian disiram kuah santan.... seolah-olahnya ala-ala masak percik pulak iye.... hohoooo... ini pecak jowo punya resepi buk!
Encik Suami bawa pulang 3 bekas ikan talapia hidup pemberian seorang kawan. Di sini, bukan mudah untuk dapat ikan talapia, begitu juga ikan keli dan juga ikan darat yang lain. Amie minta Encik Suami masukkan ikan-ikan tadi ke dalam peti sejuk, dan setengah jam kemudian Amie keluarkan beberapa ekor untuk disiang. Ada ikan talapia hitam dan ada juga talapia merah. Memandangkan banyak jumlah ikan talapia, jadi Amie fikir macam-macam resepi Amie boleh olah nanti. Yang pertama... bila terpandang 3 pasu kencur yang subur dalam pasu, Amie pun tak fikir panjang terus nak masak pecak.
Bahan-bahan:
10 ekor ikan talapia saiz sederhana - bersihkan dan rendam dalam air bercampur jus limau nipis - kemudian toskan dan lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
600ml santan sederhana pekat - diperah menggunakan air masak
1/2 sudu teh pati asam jawa - ( perahan limau kasturi / nipis - pilihan)
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih goreng
biji bawang merah goreng
segenggam cili padi warna hijau
4 biji / isi kencur
Cara:
1. Panggang atau bakar ikan talapia hingga masak.
2. Campurkan santan semua bahan tumbuk.
3. Perasakan dengan pati asam jawa dan juga garam / perasa pilihan.
4. Sedia untuk dihidangkan.
Amie panggang 10 ekor ikan talapia sebab ikan ini kepalanya saja yang besar. Encik Suami nampak berselera sekali..... (he heheh dulu dulu duluuuuuu.... kalau Amie masak begini dia segan-segan nak makan sebab tak biasa makan) sampai habis 3 ekor ikan dimakan sendiri. Lepas tu mencari lagi kuahnya kalau ada baki di dapur! Fuad & Fairuz tak ada masalah.... masing-masing makan 2 ekor!
Terima kasih Bonda.... menantu & cucu Bonda pun pandai makan pecak!
5 comments
dah tau sedap ikan tilapia ni sbb ada cekur pastinya wangiiii
BalasPadamAssalam Amie,
BalasPadamRalit sungguh Bila membaca n3 Amie, mcm sebuah cerpen. Air tangan ibu mmg tiada tandingannya. Nampak sungguh sedap.
Nota : Tkasih Amie diatas doamu, amin ya rabbal alaminn.
Resepi Kak Amie ini menginagatkan resepi arwah nenek yg seakan sama cuma tak letak cekur jer....kecur liur dan sebak dada bila teringat memori lama....
BalasPadamTengok gambarnya dah pun nampak sedap...
BalasPadamTngok pn cam sedap...
BalasPadam