Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol & Gulai Ayam
8:50 PTG
Assalamualaikum teman-teman pengunjung yang masih setia mengikuti perkembangan dapur maya Amie. Masih dalam mood raya nampak... ha hahaaha... Amie pun nak cerita juga tentang Aidilfitri yang masih belum berakhir ini. Dan kisahnya, masih juga berkisar tentang nasi dagang!
Sebenarnya inilah kali pertama Amie hidangkan menu nasi dagang sebagai salah satu juadah rumah terbuka kami. Alhamdulillah... menu ini dapat dinikmati oleh para tetamu dengan penuh selera. Rasanya, kami telah berjaya memilih menu yang tepat untuk hidangan pada hari raya keenam, memandangkan dalam tempoh beberapa hari para tetamu mungkin sudah puas menikmati ketupat, lemang, ayam dan daging!
Tetamu yang hadir pada hari tersebut merupakan rakan-rakan sekolah Fuad dan Farid, rakan-rakan pekerja di bawah seliaan Encik Suami, dan juga ahli keluarga sebelah Encik Suami. Pada mulanya rasa risau juga, mana tahu mereka yang tak biasa makan nasi dagang tentu tak akan menjamah hidangan ini. Pada masa itu Amie teragak-agak untuk merancang berapa kilogram beras yang patut Amie sukat. Akhirnya Amie gunakan 6 kilogram beras wangi, 1 kilogram beras pulut dan sedikit beras perang. Kesemuanya Amie rendam semalaman atau lebih kurang 8 jam, dan keesokan paginya Amie kukus. Apa yang menariknya ketika proses penyediaan menu ini, Amie tidak perlu kelam kabut sebab ikan tongkol boleh disediakan pada sebelah malam, iaitu merebusnya terlebih dahulu hingga masak bersama gula melaka, asam keping dan sedikit garam. Pada sebelah paginya pula, sambil mengukus beras yang direndam semalaman itu, Amie boleh masak gulai dan juga memotong-motong bahan untuk dijadikan acar. Mudahkan?
Terima kasih banyak-banyak buat Nor Kamilah Khalil dan juga Fauziah Deraman yang telah mengajar Amie untuk menghasilkan nasi dagang yang enak dan lazat ini. Amie pernah memaparkan resepi tersebut DI SINI.
Rupanya, disebabkan sibuk melayan tetamu, Encik Suami tidak sempat menjamah nasi dagang. Keesokan harinya, Encik Suami meminta Amie masak sekali lagi untuk keluarga, sebab katanya kelmarin hanya baunya saja yang dapat dihidu. Sayangnya, kami kehabisan ikan tongkol, dan lebihan gulai yang tinggal hanya kepala ikan tongkol saja! Amie berikan cadangan kepada Encik Suami untuk memasak gulai ayam, dan Encik Suami yang tak banyak karenah terus menyetujuinya. Jadinya, Amie pun buat pertama kalinya juga menghidangkan Nasi Dagang dengan Gulai Ayam pula!
Rasa Gulai Ayam pula sangat sedap.....! Itu kata Encik Suami dan anak-anak. Bahan perencahnya Amie gunakan bahan yang sama untuk membuat gulai ikan tongkol, cuma Ame tak masak ayam terlebih dahulu seperti masak ikan, dan juga Amie kurangkan jumlah asam keping!
Sekali lagi Amie kongsikan resepi Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol dan Gulai Ayam seperti di bawah ini. Resepi ini merupakan resepi asal daripada Nor Kamilah Khalil dan Fauziah Deraman. Cuma Amie gandakan kuantiti bahan sebab Amie banyak banyak. Dan satu lagi, bezanya gambar nasi dagang Amie dengan resepi di sini ialah Amie gunakan beras pulut kerana kekurangan beras perang.
Bahan-bahan untuk nasi dagang:
800 gram beras wangi
200 gram beras perang
500ml santan pekat
5 biji bawang merah - hiris nipis
5cm halia - hiris halus
1 sudu makan halba
1/2 sudu makan garam
1/2 sudu makan gula melaka
Cara:
1. Rendam beras wangi dan beras perang selama 8 jam.
2. Toskan kedua-dua beras dan campurkan.
3. Kukus selama 20 minit.
4. Masukkan halba, bawang merah dan halia. Gaul rata. Tutup kembali periuk pengukus.
5. Campurkan gula melaka dan garam ke dalam santan.
6. Buka kembali tutup pengukus dan renjiskan santan pekat ke atas nasi. Gaul hingga sebati.
7. Kukus semula selama 10 minit.
8. Sedia dihidangkan bersama gulai ikan tongkol dan acar mentah.
Bahan-bahan untuk Gulai Ikan Tongkol:
Bahan A:
1 kg ikan tongkol - bersihkan dan potong ikut suka
3 keping asam gelugur
1 sudu gula melaka
sedikit garam
Bahan B:
1 liter santan
3 keping asam gelugur
7 biji cili padi - belah 2
3 biji lada hijau
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
2 sudu makan gula melaka
1 sudu makan garam
minyak
Bahan kisar:
20 biji lada kering
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih
5cm halia
Cara:
1. Rebus bahan A hingga masak dan toskan airnya.
2. Gunakan air rebusan ikan untuk memerah santan kelapa.
3. Panaskan sedikit
minyak dan tumis semua bahan kisar termasuk jintan manis, jintan putih
dan serbuk ketumbar hingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan kacau hingga pecah minyak.
5. Masukkan cili padi, cli hijau dan asam gelugur.
6. Masukkan ikan tongkol, garam dan gula melaka.
7. Biarkan seketika sehingga kuah menjadi sedikit pekat. Tutup api.
Ini hasil Gulai Ayam, Amie gunakan perencah yang sama dengan perencah Gulai Ikan Tongkol. Terima kasih untuk Nor Khamilah Khalil & Fauziah Deraman. Walaupun kalian berdua sudah bertahun-tahun meninggalkan Negeri di Bawah Bayu, tapi resepi yang ditinggalkan ini terus dapat dinikmati bersama.... alahai... rindu rasanya, lama tak dengar dengar berita daripada mereka! Selamat Hari Raya!
4 comments
Cantik nasi dagang kak amie tu. saya raya enam baru ni pun buat nasi dagang jugak, tapi yang sesimple saja, makan dengan kengkawan
BalasPadamNampak sungguh menyelerakan nasi dagang Amie.
BalasPadamadoi...menyelerakan sungguh ..nasib baik jauh, kalau tak dah tercongok depan pintu hehehe
BalasPadamamboi.. terliur kita yang membaca ni.. menyelerakan sungguh..
BalasPadam