ADSENSE

Selasa, 19 Februari 2013

Ayam Panggang Rosemary

Assalamualaikum.
Sukar sekali untuk Amie mulakan mukadimah pada malam ini. Hidangan yang disediakan juga kelihatan pucat dan suram. Mungkinkah apa yang kita lakukan, misalnya hasil masakan Amie berkaitan dengan situasi yang sedang dialami? Ketika ini suasana amat sunyi dan sepi. Oleh kerana kediaman kami berdekatan dengan jalan raya utama, kami dapat melihat perubahan mendadak .... tiada lagi kenderaan yang lalu lalang seperti malam-malam sebelumnya walaupun seawal pukul 7 malam. Hanya sesekali kedengaran bunyi motosikal, dan sebuah dua kereta. Di waktu siangnya pula, banyak lori yang dipenuhi tentera melintasi jalanraya, dan pagi tadi terdapat tiga buah helikopter mendarat di lapangan terbang yang kebetulan sempadan landasannya bermula tepat berhadapan dengan tempat Amie bertugas. Kelmarin, sewaktu Amie berjanji dengan Encik Suami untuk makan tengahari di sebuah restoran, kelihatan truck tentera dengan anggotanya yang bersenjata membuat rondaan, dan sewaktu Amie menuju ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk menghadiri mesyuarat pada sebelah petangnya, nampaknya beberapa buah truck tentera mengelilingi kawasan tersebut. Di bandar, beberapa kali terpaksa berpatah balik atas arahan anggota keselamatan. Sewaktu membuat pemeriksaan kesihatan di hospital, terdengar beberapa kali siren keselamatan dari arah bandar.
Apakah yang dapat ditafsirkan jika keadaan sebegini berlaku di hadapan mata kita. Rakan sekerja menceritakan tentang kampungnya yang dikawal rapi oleh tentera, siap dengan dipagari dawai berduri, serta teman dari sekolah lain memberitahu sekolahnya terpaksa ditutup atas perintah keselamatan. Ibu bapa merayu kepada pihak sekolah agar membenarkan anak-anak mereka yang tinggal di asrama kembali ke rumah masing-masing. Dari masa ke semasa anggota tentera terus bertambah, membuat rondaan dan sekatan jalan raya siang dan malam, 24 jam! Ruang udara sekali-sekala bising dengan bunyi helikopter tentera, dan kawalan marin diperketatkan di sepanjang perairan. Isteri-isteri anggota tentera berkongsi berita bahawa meriam & beg-beg mayat sudah dibawa ke tempat yang dikenalpasti akan berlaku pertumpahan darah! Dan juga, pihak hospital telah diarahkan untuk membuat persediaan termasuk bekalan darah yang mencukupi untuk menghadapi situasi berdarah.....! Namun... berita yang disiarkan menyatakan keadaan aman dan terkawal! Tiada apa-apa yang berlaku & jangan membuat spekulasi melulu...!!!!!!! Kita tunggu apa berita selanjutnya yang akan disiarkan oleh pihak media, yang telah ditapis, diolah dan dirumus untuk sedap didengar! Untuk lebih lanjut boleh baca isu & komen DI SINI,  DI SINI, dan  DI SINI.


Agak lama juga Amie ingin menyediakan Ayam Panggang Rosemary untuk anak-anak tapi asyik tertangguh saja. Petang ini Amie berkesempatan memanggangnya, tetapi Amie gunakan api yang sederhana panas, selama 1 jam 20 minit kerana Amie tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk sepanjang waktu berada di dapur. Alhamdulillah, ayam tidak rentung, dan masak keseluruhan dagingnya. Kita lihat resepinya di bawah ini, dan sekali lagi Amie ucapkan terima kasih kepada Wana dari Potret Kasih serta Ibundo dari Dapur Bundo atas perkongsian resepi yang sememangnya lazat ini.

Resepi : Rosemary Grilled Chicken
Sumber : DAPUR IBUNDO & Wana - POTRET KASIH
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - guna peha ayam pun boleh
5-6 ulas bawang putih
1 sudu besar daun rosemary kering
1 inci halia
1 sudu besar lada hitam
1 sudu makan jintan kasar (bundo ganti dengan rempah allspice)
2-3 sudu besar gula perang 
2 sudu kecil garam
sedikit perasa - guna kiub ayam dihancurkan (bundo guna serbuk pati ayam knorr)
2 sudu besar jus limau- guna limau nipis (bundo guna lemon)
3 sudu besar olive oil ( minyak zaitun)
5 biji kentang
2 biji tomato
6 biji baby carot-guna karot biasa dibelah pun boleh
sedikit mentega - untuk sapu atas ayam


Cara:
1. Ayam di potong 4 atau dibiar tidak di potong kemudian dibersihkan. Ketepikan dulu. Tumbuk halia hingga lumat kemudian perah jus halia pada ayam. Gaul rata.
2. Panaskan minyak zaitun. Goreng bawang putih hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan dulu.

3. Tumbuk daun rosemary kering hingga lumat kemudian masukkan lada hitam, jintan kasar, tumbuk kasar.

4. Masukkan bawang putih yang telah di goreng tadi kedalam lesung dan tumbuk bersama rempah.

5. Masukkan lebihan minyak zaitun ( masa menggoreng bawang putih ) tadi, gula perang, garam, serbuk perasa, dan jus limau ke dalam rempah yang telah di tumbuk tadi. Gaul rata. Sesuaikan rasa rempah ikut citarasa anda.
6. Gaulkan rempah tumbuk bersama ayam. Masukkan ayam dalam bag berzip perap dalam petisejuk beberapa jam. (Bundo masukkan dalam besen dan tutup dengan foil)
7. Kentang di kopek dan di rebus 3/4 masak . Ketepikan. Lebihan rempah ayam tadi boleh di lumur pada kentang.
8. Susun ayam, kentang, buah tomato, baby karot di dalam tray pembakar. Sapukan sedikit butter pada ayam dan sayur-sayuran dan bakar dalam ketuhar 180- 200 darjah celcius selama 1 jam.

Pesan Ibundo:

Bila ayam itu dipanggang, ia akan mengeluarkan banyak air.  Jangan dibuang.  Bundo gunakan air ayam yang penuh dengan rempah ratus itu sebagai sosnya. Masukkan air ayam di dalam periuk dan tambah dengan satu atau dua sudu besar tepung jagung.  Masak sehingga kuah pekat.



Ini Ayam Panggang Rosemary yang Amie buat sebelum ini dan boleh klik DI SINI.



Dan ini pula, Nasi Ayam Panggang Rosemary yang sangat lazat yang Amie hasilkan DI SINI.



Pada mulanya memang kurang berselera untuk menjamah hidangan ini, tetapi bila Encik Suami dan anak-anak tercium bau dari dapur dan tidak sabar untuk menjamah, barulah timbul semangat untuk menikmatinya bersama-sama keluarga! Apa pun memang habis seekor ayam ini diratah bersama!

Mudah-mudahan Lahad Datu kembali aman dan peristiwa berdarah 1985 tidak berulang kembali! Kita hanya orang awam... punya mata untuk melihat, punya telinga untuk mendengar tapi alangkah sukarnya untuk memperkatakan sesuatu yang benar... dan benarlah bahawa selalunya yang benar itu pahit untuk diperkatakan!

16 ulasan:

Asyifa Mustaffa berkata...

nmpk ayam sedap....tp bila baca mukadimah akak....hilang plak seleranya.....harap selamat semuanya....

ummiross berkata...

Amie..ummi pun ada dengar berita pasal penceroboh dari Filipina masuk ke Lahad Datu, siap bagitau suami, tu kat kampung rakan blogger ummi tu,Amie. Harap2 semuanya ok dan terkawal,berhati-hati and take care ye Amie.
InsyaAllah ummi nak cuba gak masak ayam panggang Rosemary tu, sedap sangat nampak.

Amie berkata...

Asyifa,
betul tu Syifa... pada ketika inilah kak Amie dapat muhasabah diri... bahawa keselamatan itu tidak dapat dijual beli, tidak boleh ditukar ganti...

Ummiross,
terima kasih Ummi... Lahad Datu ini besarnya sama dengan negeri Selangor... mereka ada di mana-mana!

Ima Salsuzaima berkata...

Assalamualaikum kak.tiba2 ja sy rs berdebr & takut.kenapa akhbar menapis khabar ya? apa sebenarnya yg trjadi d LD?

Amie berkata...

Ima,
no komen... saya hanya orang biasa.

Yati Yahaya berkata...

ayam panggang tu nampak sgt sedap. moga kesedapannya dapat meredakan kegusaran dan kegundahan pn amie sekeluarga. semoga semuanya dilindungi Allah

adda syuhada berkata...

tgk jer menu ni boleh buat berat badan kita ni bertambah...K.Amie bolehlah pos kat adda ni..nak drumstik tau..kihkih

azieazah berkata...

Tengok cara menghidang, dengan hiasan meja dan pinggan mangkuk, memang hebat dan boleh mengujakan untuk makan.

Kalu saya, masuk dlm pinggan, snap saja! heheheh memang tak da gaya masuk majalah langsung.

Ena berkata...

Moga semuanya baik2 je kak.. ena yg baca ni pun rasa berdebar2 aje.. ni kan pulak akak yg mengalami situasi tu..

Pic ayam ni tetap nampak menyelerakan..

Marsita yahya berkata...

Salam Amie, semoga segalanya reda seperti sedia kala ya...

Rohah berkata...

Mudah-mudahan dalam lindungan Allah kak..cemas jugak dengar beritamu...
Ayam ki enak mbanget..wangi..

makchaq berkata...

Macam2 spekulasi tentang pencerobohan ni.. tapi memang menakutkan jugak..
makchaq pernah duduk sabah tahun 84-90, Orang-orang pendatang ni memang orang2 berani mati, kalau tak takkan sanggup mengharung lautan..

Nak cuba lah ayam ni.. anak2 makchaq suka ayam..

al -lavendari berkata...

Assalamualaikum.

Terima kasih kerana sudi singgah dan mengucapkan selamat hari lahir kepada saya.

Nens Collection berkata...

bestnyer..leh masuk dlm menu list atkins ni..dh lama nk cr cara perapan ayam yg best..tq kak amie..;)

may agumo berkata...

agak serius jg keadaan di LD ya kak amie.. mesti xsenang duduk kan.. apapun,may doakan agar LD kembali aman seperti sebelumnya..

wah.. sempat lg buat ayam panggang rosemary ni.. mmg fav may sdh ni.. marbeles.. yummy..

Evelyn Gemina berkata...

Salam kak amie, don worry semua tu hanya isu politik saja, akan aman semula nnt, insyaallah...ayam tu mmg tempting, tak kiralah pucat atau tidak :)