Sambal Acar Telur Puyuh
8:48 PTG
Amie namakan resepi ini Sambal Acar Telur Puyuh!
Pada mulanya nak buat acar seperti biasa, tapi terlebih cili kering pulak.
Bagaimanapun, hasilnya sangat sedap sehingga menjilat jari!
Bukan Amie saja yang suka, Encik Suami yang sedang sakit gigi pun menambah berkali-kali dalam pinggan. Begitu juga bujang kecil, Firdaus! Suka benar dia makan nasi putih dengan Sambal Acar Telur Puyuh!
Barangkali.... ya barangkali sebab Amie masukkan bahan tambahan dalam acar iaitu pickled lettuce!
Pickled lettuce (jeruk lobak putih) ini biasanya Amie makan bersama bubur. Sebenarnya Amie mencari lobak merah di dalam peti sejuk, tapi yang ditemui hanyalah sebotol kecil pickled lettuce seberat 170 gram. Tak sangka pula, boleh menghasilkan Sambal Acar Telur Puyuh yang sangat sedap!
20 biji telur puyuh - rebus dan kupas kulit - bilas dan toskan
1/2 batang timun - buang bahagian empulur - potong bentuk jejari
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 botol pickled lettuce - ambil isi bersama airnya sekali
12 biji bawang merah - buang kulit - belah 2
12 ulas bawang putih - buang kulit
2 biji cili hijau - belah 2
2 biji cili merah - belah 2
1 sudu kecil biji sawi
1 sudu kecil serbuk kunyit
3 sudu besar cuka
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 biji buah keras
1 cm halia
12 biji cili kering
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga layu.
2. Masukkan biji sawi, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Kacau dan biarkan sehingga naik aroma.
3. Kemudian masukkan bahan kisar dan serbuk kunyit. Perlahankan api, dan tumis sehingga pecah minyak.
4. Masukkan pickled lettuce bersama airnya, bawang putih, bawang merah dan timun.
5. Setelah kuah menjadi pekat, tuangkan cuka, telur puyuh, cili hijau, cili merah, garam, gula / perasa pilihan.
6. Biarkan masak seketika dan kemudian padamkan api dapur.
0 comments