Ikan Layar Masak Lemak Cili Padi
3:08 PTG
Hai...
Selamat petang.
Dah makan tengahari?
Seperti biasa, Encik Suami pulang awal ke rumah dan akan masak nasi. Sudah semestinya Encik Suami akan keluarkan bahan beku untuk dibuat lauk seperti ikan atau daging ayam. Nampaknya hari ini Encik Suami rendam sepotong ikan layar.
Amie pernah kongsikan resipi ikan layar dalam dapur maya ini beberapa kali. Kebanyakannya resipi yang Amie paparkan itu ialah resipi ikan layar masak lada putih. Itulah resipi tinggalan MIL yang sangat disukai anak-anak. Beberapa hari lepas Amie masak ikan layar seperti yang MIL biasa masak (tak kongsi resipi di sini). Fairuz segera ke dapur apabila tercium aromanya, lalu menjengah melihat isi kuali sambil berkata: Dari baunya saja, sudah tahu Mommy masak ikan apa!
Begitu sekali kenangan yang ditinggalkan oleh MIL sehingga cucunya pun dapat kenal masakan dari aromanya sahaja! Kalau Amie masak ikan layar gaya MIL (masak lada putih), memang tak pernah tinggal baki! Kadang-kadang anak-anak berpesan supaya lebihkan kuah.
Amie tanya Encik Suami, tidak adakah masakan lain untuk ikan layar selain masak lada putih?
Kata Encik Suami : Ada. Goreng.
Hurrmmm... Memang itu sahajalah resipi ikan layar yang sempat Amie makan semasa hayat MIL masih ada, masak lada putih atau goreng saja!
Boleh tak masak lemak cili padi?
Cubalah - jawapan positif daripada Encik Suami.
Ini dia Ikan Layar Masak Lemak Cili Padi.
Inilah rupa bahagian ekor ikan layar. Saiz ikan layar di atas agak kecil berbanding yang biasa kami beli. Ikan layar sebenar saiznya sangat besar dan panjang. Biasanya yang dijual di pasar memang sudah siap dipotong. Sewaktu hayat FIL masih ada, kalau kebetulan terlihat ikan layar di pasar, memang FIL akan borong berkilo-kilogram! Ikan layar semakin jarang ditemui di pasar, dan kalau ada itu dikira bonus untuk kami! Seperi FIL, kalau Encik Suami ternampak peniaga menjual ikan layar, memang wajib dibelinya!
Gambar di atas merupakan potongan ikan layar, dan biasanya melebihi 1 kg beratnya. Amie ambil gambar ini dari entri lepas : IKAN LAYAR MASAK LADA HITAM. Bahagian tepi ikan layar penuh dengan lemak! Bahagian inilah yang Amie cukup suka kalau digoreng! Memang Amie siap pesan sewaktu makan, Amie nak bahagian ini....hiks! Bagaimanapun. tidak semua orang tahu cara untuk membersihkan ikan layar! Kulit ikan layar tidak bersisik seperti sisik ikan biasa. Ada dua jenis sisiknya iaitu sisik yang tersembunyi di bawah kulitnya seperti di bawah ini.
Kena cungkil sedikit untuk mengeluarkan sisiknya yang tajam itu, dan satu lagi anda akan temui sisik yang panjang dan tajam seperti jarumdan di bahagian perut dan tepi ikan layar. Amie lupa nak tangkap gambar untuk kongsi sisik seperti jarum semasa membersihkan ikan layar tengahari tadi.
Bahan-bahan:
800 gram isi ikan layar - potong ikut saiz yang disukai
5 batang kacang panjang - potong 3 cm
4 sudu besar minyak
3 cawan santan
2 batang serai
2 keping asam gelugor
1 labu bawang besar - mayang kasar
garam/ gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup
20 biji cili padi
Cara:
1. Panaskan minyak. Goreng bawang besar bersama serai hingga wangi.
2. Kemudian masukkan bahan kisar / tumbuk dan tumis seketika.
3. Masukkan ikan layar, dan asam gelugor. Gaul rata. Masak sehingga ikan layu.
4. Tuangkan santan. Biarkan masak sehingga santan mendidih.
5. Masukkan kacang panjang, garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau masakan, dan setelah kacang panjang berubah warna bolehlah padamkan api dapur.
Ikan Layar Masak Lemak Cili Padi sudah sedia untuk dihidangkan!
Alhamdulillah. Memang sedap!
Kalau kita tak berani cuba memasaknya dengan cara kita, kita tak tahu sedap atau tidak bukan?
4 comments
kami sekeluarga pun suka ikan layar ni...nanti kak ami try masukkan daun ruku-ruku...semerbak bau dia..
BalasPadamKat pasar mn bolh dpt ikan layar ne...😪😪😪😪😪😪
BalasPadamShahida,
BalasPadamtak ada daun ruku-ruku huhuhuu.
Unknown,
susah dah nak dapat ikan layar ni.
Biasa tgk ikan ni kat majalah pancing ja amie..
BalasPadam