Mee Udang Goreng Sotong
10:13 PG
Macam pelik saja bunyi resipi kali ini : Mee Udang Goreng Sotong.
Mari kita berkenalan dengan pelbagai jenis mee di negeri Sabah. Sejak Amie menjejakkan kaki di negeri di bawah bayu ini, sehinggalah ke hari ini, mee goreng merupakan salah satu menu popular! Sama seperti di Malaya, di mana-mana mee goreng sering menjadi menu pilihan, baik untuk dijadikan sarapan pagi atau bila-bila masa sahaja.
Bagaimanapun, mee yang digunakan tidak sama. Di Malaya, mee yang digunakan biasanya dari jenis mee basah atau mee kuning tetapi di negeri Sabah, penggunaan mee kering lebih meluas. Kalau dihidangkan dua jenis mee, dari mee kuning (mee basah) dengan mee kering (tempatan), memang mereka akan pilih mee kering!
Dan mee keringnya pula ada pelbagai jenama, dan juga bentuk. Biasanya Encik Suami akan memilih Mee Cap Udang. Katanya, mee tersebut lebih sedap.
Jadi, pagi ini Amie goreng sebungkus Mee Kering Cap Udang seberat 300 gram. Amie tambahkan sotong sebagai perencahnya.
Setiap mee kering (pelbagai jenama) hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum diolah menjadi resipi yang dikehendaki.
Ini ialah hasil mee kering yang teleh dicelur, buang air / toskan, kemudian Amie bilas di bawah air mengalir dan seterusnya ditoskan seketika sebelum digoreng.
Amie hanya tambahkan sotong. Tak ada udang tau... namanya saja Mee Udang Goreng Sotong....hiks! Dah fahamkan maksud Amie?
Sayur sawi sebagai bahan tambahan.
Biasanya Amie akan gunakan bawang besar cincang, selain bawang putih dan bawang merah tumbuk. Nampaknya Amie sudah kehabisan cili merah, jadi Amie gunakan hirisan cili hijau sahaja. Dulu, Fuad yang suka masuk dapur tanya : Mommy masak apa? Sekarang Firdaus yang akan menyerbu ke dapur setiap kali terbau gorengan bawang dan terus bertanya: Mommy masak apa tu? Dah siap masak nanti panggil Daus makan ye?
Nampaknya semua bahan yang diperlukan sudah lengkap. Marilah kita nyalakan api dapur. Kita mula goreng mee.
Bahan-bahan:
300 gram mee kering - celur - toskan - bilas di bawah air mengalir - toskan sekali lagi
400 gram sotong - potong ikut citarasa
2 pokok sawi - potong ikut citarasa
1 labu bawang besar - cincang
2 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
4 biji bawang merah
Cara:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang besar, dan bahan tumbuk. Goreng hingga layu dan kekuningan. Kemudian masukkan hirisan cili hijau.
2. Seterusnya masukkan sotong. Gaul rata.
3. Masukkan sayur sawi dan diikuti dengan mee.
4. Kacau beberapa kali.
5. Masukkan sos tiram, kicap dan sos cili. Jika perlu tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
6. Gaul rata. Mee Udang Goreng Sotong dah pun siap!
Jangan lupa 'lada' sebagai pelengkap mee goreng! Kalau tidak ada 'lada' memang slow sikit nak makan me goreng tu...ahaks! Tak susah pun nak buat 'lada' ini. Hanya cili padi, bawang putih, limau kasturi dan juga perasa seperti garam dan gula. Tumbuk / kisar cili padi bersama bawang putih dan jus limau kasturi, kemudian campur dengan garam / gula / perasa pilihan. Itu sahaja.
Nampak biasa-biasa saja, tapi rasanya luar biasa!
Jom sarapan dengan Mee Udang Goreng Sotong.
1 comments
Mi kering..kalau kat sini laksa kering
BalasPadam