Sepetang di Laut Mabul
5:53 PTG
Petang itu....
Mereka berenam kembali ke laut untuk menyelam. Kalau sebelah pagi menyelam di Pulau Kappalai hanya berlima, tiba-tiba 'hilang' pula Jusna dari jeti ditarik rakan-rakan yang lain ke tengah laut! Barangkali Dar berehat di dalam bilik!
Amie dan Kam duduk-duduk di jeti sambil menikmati angin petang. Tak sanggup berada di dalam bilik kerana suhu yang sangat tinggi! Tanpa kipas atau air-cond sebab tiada bekalan elektrik! Sabarlah menunggu hingga pukul 5 petang untuk masuk bilik!
Ketika mata menikmati pemandangan air laut yang berkilau bak mutiara disinar cahaya mentari petang, tiba-tiba melintas di hadapan mata sebuah perahu kolek dengan seorang kanak-kanak sedang mengayuh menuju ke arah kami. Di dalam koleknya, ada beberapa biji buah kelapa. Tiba-tiba rasa dahaga pula! Baiklah beli sebiji.
Pada mulanya kanak-kanak tersebut menawarkan harga yang sangat tinggi iaitu RM10.00 untuk sebiji kelapa. Akhirnya kami dapat harga RM5.00 untuk sebiji kelapa, siap dipotong dan dibubuh straw.
Bila sampai ke tangan kami, ternyata ia bukanlah kelapa muda sebaliknya kelapa yang sudah bersabut....hahahaaa!
Apa pun kami sedut juga sedikit demi sedikit sehingga habis.
Sepanjang petang di Pulau Mabul, cuaca sangat cerah. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Kami dapat menyaksikan air pasang surut, melihat bot laju pergi dan balik membawa penumpang dari Semporna, dan juga membawa penumpang untuk aktiviti SCUBA.
Banyak tapak sulaiman di dasar laut. Memandangkan air laut sedang surut dan cetek, jadi tapak sulaiman dapat dilihat dengan jelas dari pelantar. Untuk menangkap gambarnya, Amie turun tangga agar dapat melihat dengan lebih jelas.
Bulu babi atau landak laut pun banyak terdapat di sekitar jeti. Kam fobia dengan landak laut sebab dua minggu sebelum itu ketika mengunjungi pulau-pulau di Laut Silam, tapak kakinya tercucuk 6 duri landak laut....aduuussss!
Ketika sebuah bot laju menghidupkan enjin untuk membawa penumpang SCUBA, kelihatan sebuah perahu lepa bergerak perlahan-lahan melintasi jeti.
Rasa sangat teruja kerana dapat melihat sebahagian daripada kehidupan Bajau Laut atau Pala'u di hadapan mata! Inilah rumah mereka, tempat lahir mereka dan dunia kehidupan mereka!
Mereka hidup secara nomad atau sering berpindah-randah bersama perahu lepa mereka. Mereka juga digelar sebagai 'gipsi laut' (sea gypsies) nomad laut (sea nomads) dan dikatakan tidak mempunyai negara atau warganegara! Komuniti Bajau Laut ini tidak terhad berada di perairan Sabah sahaja tetapi meluas hingga ke perairan Filipina dan juga Indonesia bahkan di seluruh Semenanjung Asia Tenggara. Menurut catatan sejarah oleh pengembara China dan Eropah, Pala'u ini sering ditemui di pulau sekitar Laut Sulu, Sulawesi, Pulau Bangka, Singapura, Johor dan Pulau Mergui. Kebanyakan mereka telah meninggalkan kehidupan tradisi sebagai kaum nomad dan menetap di tanah besar.
Anak-anak Pala'u ini tidak bersekolah. Dari dahulu memang Amie selalu mendengar cerita tentang kehidupan Pala'u ini kerana di Lahad Datu juga terdapat komuniti ini. Mereka lebih selesa hidup di laut berbanding di darat. Darat hanyalah tempat mereka untuk membeli keperluan seperti mendapatkan bekalan air bersih dan minyak tanah. Walaupun seumur hidup mereka berada di lautan, namun apabila berlaku kematian mereka akan mengebumikannya di daratan atau pulau.
Kelihatan seorang wanita Pala'u sedang membersihkan ikan, dan di atas bumbung perahu lepa ikan-ikan yang sudah dibersihkan dijemur untuk dijadikan ikan kering.
Oh! Ada sebuah kolek mengikuti perahu lepa, ddiikat dengan tali dan di dalamnya tergolek sebuah tong gas! Barangkali mereka sudah memiliki dapur gas untuk memasak.
Pemandangan yang sungguh rare!
Seorang kanak-kanak Pala'u dengan dua jarinya menunjukkan simbol 'peace' sewaktu Amie menangkap gambarnya! Beraninya duduk sendirian di dalam perahu! Dan perahu yang dinaikinya itu sebenarnya diikat dengan tali, bersambung dengan perahu kolek berisi tong gas, dan mengekori perahu yang lebih besar, iaitu perahu lepa yang rumah kediaman mereka sekeluarga.
Baik-baik duduk dalam kolek tu....aloloooo!
Ketika ini air mula pasang.
Tinggallah kami di pelantar, termangu-mangu menyaksikan si kecil tak berbaju di hujung perahu kolek! Betapa dalam kehidupan ini sebenarnya kita boleh memilih! Mereka memilih untuk meneruskan kehidupan tradisi di laut. Siang berpanas oleh sinar mentari terik, dan terdedah oleh air laut nan masin sehingga nampak kering tubuh badan serta berubah warna kuning rambut nan hitam! Malamnya pula, barangkali mereka sungguh selesa menikmati suasana dingin dan terbuai-buai dihanyut gelombang laut di tengah samudera ketika tidur!
Kemudian, datang lagi sebuah perahu kolek menghampiri jeti.
Seorang anak pulau kelihatan merapatkan kolek ke tiang bersama barang dagangannya.
Oh! Penjual lobster rupanya!
Lobster yang dijual masih hidup!
Kepada yang berminat untuk menikmati makanan laut yang segar, bolehlah beli daripada mereka dan boleh minta tolong tukang masak restoran untuk memasaknya. Bayaran yang dikenakan untuk masakan ialah sebanyak RM20 setiap 1kg.
Kami bercadang untuk berbabeque pada sebelah malamnya, tetapi kami dimaklumkan bahawa pihak pengurusan tidak menyediakan arang. Jadi lain kali kenalah bawa arang dari tanah besar. Tempat barbeque ada disediakan.
Selain lobster, ketam hidup juga dijual sama. Dan haiwan laut yang berada di dalam botol-botol itu ialah udang lipan. Semuanya masih hidup.
Harga boleh tawar-tawar.
Biasanya mereka akan meletakkan harga yang tinggi, sebab kebanyakan pembeli terdiri daripada para pelancong asing. Kalau pandai menawar, mungkin boleh dapat harga mampu beli.
Pelbagai jenis ikan turut dijual.
Nelayan ini tawarkan harga RM200 seekor.
Ikan kerapu yang masih hidup! Saiznya tidaklah besar sangat. Ditawarkan kepada kami dengan harga RM80.00.
Aduhai! Di dalam perahunya terkumpul pelbagai jenis ikan kerapu yang masih hidup!
Tak rugi datang ke Pulau Mabul!
Syurga makanan laut segar!
Marilah saksikan pemandangan menarik yang dapat Amie tangkap pada petang itu.
Datang pula dua buah perahu membawa hasil laut berupa kerang dan siput!
Amie pernah makan siput ini di restoran, tapi tak pernah masak sendiri.
Ini pula siput kahanga. Amie pun pernah masak isi siput kahanga ini.
Ketika kami sedang tawar-menawar harga, kami didatangi oleh salah seorang petugas di situ. Kami diberitahu, hanya ikan, udang dan ketam sahaja yang boleh dimasak di restoran. Segala jenis siput dan kerang mereka tidak boleh memasakkannya.
Pada masa yang sama, ada di antara kami mengambil kesempatan menghulur jajan kepada kanak-kanak yang berada di dalam perahu.
Kami lihat mereka membahagi-bahagikan jajan yang dihulur.
Seterusnya, biarlah gambar yang berbicara sendiri.
Akhirnya kami beli dua ikat ketam hidup dan setelah tawar-menawar dapatlah harga RM50.
Bila berada di laut, asyik rasa lapar saja. Makanan apa pun yang terhidang semua habis licin! Jadi, untuk makan malam kami, selain makanan yang disediakan kami tambahkan menu ketam!
Jom makan!
Kita ratah ketam goreng butter kering.
Dan ketam masak apa ini ye.... ooohhh! Ketam goreng cili!
0 comments