ADSENSE

Selasa, 13 November 2018

Coleslow Sedap!

Selamat bertemu kembali.
Kali ini Amie kongsikan resipi coleslow yang memang tidak dapat dinafikan kelazatannya! Amie kata begini sebab Amie memang selalu buat coleslow untuk dimakan bersama ayam panggang dan juga kentang goreng terutama untuk makan-makan keluarga dan juga untuk menjamu anak-anak murid yang datang ke rumah. Sebelum ini Amie pernah kongsikan beberapa kali resipi coleslow yang sama, misalnya DI SINI dan DI SINI.

Seperti yang Amie tuliskan dalam entri lepas, Amie agak kesuntukan masa untuk menyediakan coleslow ini, dan ketika itu hari semakin menjelang petang dengan cuaca yang mendung dan gelap. Gambar pun banyak bayang! Apa pun, Amie usahakan juga untuk tangkap gambar sebab resipi ini boleh dijadikan rujukan kepada peminat coleslow terutama anak-anak kami. Sebaiknya colelsowm disiapkan sehari sebelum dinikmati agar rasanya sebati, tetapi tidak juga menjadi kesalahan disediakan di saat-saat akhir seperti yang Amie lakukan beberapa hari lepas...hiks!

Pada mulanya Amie berhasrat untuk menggunakan 2 kg kobis, tetapi memandangkan tangan dua belah ini digunakan untuk buat itu dan ini, jadi Amie siapkan dahulu 1kg kobis. Bahan asas yang perlu disediakan tidak banyak. Hanya perlukan kobis yang segar, lobak merah, bawang besar, gula dan mayonis.

Namun begitu untuk rasa yang lebih lazat, Amie tambahkan yogurt sebagaimana yang Amie selalu buat. Ada macam-maca perasa yogurt seperti strawberry, oren, dan sebagainya. Cari yogurt tanpa perasa seperti gambar di atas : Plain Yogurt.

Ini mayonis yang Amie gunakan. Jangan lupa tambahkan sedikit garam dan gula pasir untuk melengkapkan rasa! Amie kongsikan resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 kg kobis- bilas & toskan, hiris halus dan cincang / sagat
1/2 biji lobak merah - hiris halus dan cincang (kalau tidak suka warna lobak lebih menyerlah, gunakan sedikit saja)
1 labu bawang besar - hiris dan cincang / sagat
5 sudu besar yogurt asli
8 sudu besar mayonis
4 sudu besar gula pasir
1 sudu kecil garam
1/2 biji lemon

Boleh tambah atau kurangkan sebarang bahan di atas mengikut citarasa masing-masing.

Cara:
1. Gaul rata semua bahan di atas hingga sebati.
2. Simpan beberapa jam di dalam peti sejuk - simpan semalaman lebih baik.

Amie sagat kobis seperti di atas. Kobis yang kasar dan tidak tersagat itu bolehlah dikutip semula dan dicicncang kecil-kecil.

Kemudian Amie tambahkan lobak merah. Juga disagat sama. Tak perlu gunakan banyak, sedikit udah mencukupi sebab kalau banyak lobak merah nanti warna coleslow menjadi lebih oreng lobak pula. Tapi terpulanglah ikut citarasa masing-masing.

Biasanya Amie gunakan bawang hollad, tetapi yang ada di dapur bawang besar warna merah pula. Okeylah...tak jadi masalah, dan warnanya tidak mempengaruhi hasilnya.

 Kemudian tambahkan mayonis serta yogurt asli.

 Jangan lupa tambahkan gula pasir dan juga garam.

Lepas tu gaul. Amie tidak masukkan perahan jus lemon sebab nak rasa terlebih dahulu coleslow tanpa lemon. Memang rasa sangat sedaplah sebab sudah bercampur yogurt. Baru saja gaul, sudah berair-air! Tak sabar nak makan. Kalau rasa dah cukup okey tanpa jus lemon, tak payahlah perahkan jus lemon tu. 

 Amie memang tambah jus lemon sebab Amie suka!
Perahkan sebelah lemon saja sudah mencukupi.

Nampak tu...tak sabar nak makan!
Mari kita simpan dahulu dalam peti sejuk. Memandangkan ada beberapa jam lagi sebelum kawan-kawan Fairuz sampai, jadi Amie letakkan coleslow ini di bahagian peti sejuk sebelah atas, dan bukannya di tempat sejuk beku. Kalau masa kecederaan misalnya 1/2 jam atau 1 jam, bolehlah masukkan dalam bahagian sejuk beku supaya cepat sejuk.

 Inilah rupa coleslow yang baru dikeluarkan dari peti sejuk.

Cubalah!
Sedap!

1 ulasan:

nasa mulia berkata...

Kecur pula air liur tengok gambar coleslow Kak Amie nie, nampak macam dah lama tak makan...