Ikan Nyok-Nyok Panggang, Sambal Air Asam Budu & Sayur Bening
8:42 PTG
Bertemu lagi...
Mukadimahnya, Farid selalu hantar mesej bagaimana cara untuk masak itu dan masak ini. Misalnya kalau goreng ayam atau ikan berapa minit perlu ambil masa untuk terbalikkan bahagian sebelahnya. Bagaimana untuk panggang fillet ikan dory? Macamana nak masak sambal sardin yang Mommy selalu masak sedap tu? Nampaknya Abang Farid mula meluangkan masa untuk cuba memasak makanan kegemarannya. Jadi, di kesempatan ini Amie paparkan gambar-gambar masakan yang ringkas dan mudah walaupun sekadar perap ikan dengan garam kunyit. Harap dapat membantu abang Farid. Paparan ini juga dapat membantu Fuad dan Fairuz ketika masak di dapur sewaktu ketiadaan Amie.
Ini merupakan hidangan tengahari kami beberapa hari yang lalu, dan malam ini baru sempat untuk dipaparkan. Menunya ringkas sahaja, sekadar menu kampung tetapi sajian begini ternyata mampu mengundang selera! Amie panggang ikan nyok-nyok, dengan air asam budu sebagai pencecah dan sayur bening labu campur kacang panjang serta bayam pula sebagai pelengkap atas permintaan Encik Suami.
Untuk pengetahuan abang Farid, ini ialah ikan nyok-nyok. Rasanya banyak jenis ikan abang Farid tak tahu nama...hiks! Itu sebabnya jika ada kesempatan Amie kongsikan pelbagai jenis bahan masakan di dalam blog. Ia bukan sahaja untuk perkongsian umum, tetapi untuk anak-anak juga. Walaupun mereka semua lelaki, namun tugas masak-memasak tidak semestinya 100% di bahu perempuan (khususnya apabila mereka sudah berkahwin nanti.)
Bersihkan terlebih dahulu ikan nyok-nyok ini ye abang Farid. Buang isi perutnya, potong sirip pektoral dan sirip dorsal, sirip anus dan sirip ekor. Boleh juga dikekalkan segala sirip itu untuk hiasan semulajadi pada ikan. Cuci bersih, dan kemudian toskan.
Ikan panggang ini Amie olah dengan cara yang paling mudah. Memandangkan ikan nyok-nyok ini masih segar dan belum terkena ais, Amie hanya lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit untuk mengekalkan rasa isi ikan yang manis itu. Bubuh sedikit garam saja bang Farid, lebih kurang 1/2 sudu kecil sahaja sebab nanti ikan ini akan dinikmati dengan cecahan air asam budu. Serbuk kunyitnya pula lebih kurang satu sudu kecil, dan lumurkan pada keseluruhan ikan.
Untuk memanggangnya pula, gunakan saja kuali pemanggang ajaib. Susun ikan di dalam kuali dan tuangkan satu sudu besar minyak di atasnya. Kemudian tutup kuali dan gunakan api kecil. Biarkan selama 4 atau 5 minit, kemudian terbalikkan kuali tadi, jadi ikan di dalamnya pun ikut terbalik. Biarkan lagi selama 3 atau 4 minit lagi sebelum memadamkan api dapur.
1/2 cawan budu
1 labu bawang besar - hiris
7 biji cili padi kampung - tumbuk
1 sudu kecil belacan - tumbuk
7 biji cili padi kampung - hiris
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 2 sudu besar air
5 biji limau kasturi - perah jusnya
1 sudu kecil gula
Cara:
Campurkan kesemua bahan di atas. Gaul rata dan hidangkan bersama ikan panggang.
Lauk begini saja pun dah cukup!
Menambah-nambah nasi putih panas masuk pinggan!
Tapi Bonda selalu pesan, jangan lupa sayur bening, dan kebetulan Encik Suami pun suka sayur bening! Untuk sayur bening ini, Amie tambahkan halia tumbuk dengan bawang putih dan bawang merah serta sedikit lada putih.
Sayur Bening Labu Manis Campur Bayam dan Kacang Panjang.
Bahan-bahan:
200 gram labu manis - kupas kulit dan potong dadu
5 batang kacang panjang - potong sepanjang 3 cm
5 pokok sayur bayam - petik daunnya dan buang kulit batangnya
800 ml air
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 cm halia
1/2 sudu kecil lada putih
10 ekor ikan bilis
Cara:
1. Didihkan air di dalam periuk bersama bahan tumbuk dan labu manis.
2. Apabila labu manis mula empuk, masukkan kacang panjang bersama sayur bayam. Masak sehingga kacang panjang dan sayur bayam berubah warna.
3. Tambahkan garam / perasa pilihan.
4. Padamkan api dapur.
2 comments
Lauk yang simple, lauk kampung sebegini betul-betul mengamit selera.
BalasPadamLagi-lagi Amie guna Ikan Nyok-Nyok Putih, aduhai isi nya sedap sangat.
Conpem tambah nasi berpinggan, maklum ada cili padi lagi dalam air asam tu
Lauk macam ni yang paling sedap makan ni
BalasPadam