Lidah Lembu Masak Sambal Cili Padi dengan Petai
6:10 PTG
Bertemu lagi dalam dunia maya masak-memasak.
Nampaknya sepanjang hari ini cuaca tidak menentu. Sekajap panas sekejap mendung. Sekejap hujang gerimis dan menjelang petang, gelap menyerkup alam! Ambil gambar pun nampak berbalam-balam, dan bayang-bayang di sana sini.
Petang ini Amie olah Lidah Lembu Masak Sambal Cili Padi dengan Petai. Amie tambagkan kentang dan juga tempe. Ya...ampuuunn! Sedap sangat! Ratah begitu saja pun cukup sedap.
Amie hanya gunakan lebih kurang 300 gram lidah lembu. Seperti biasa, terlebih dahulu lidah lembu dibersihkan dengan cara mencelurnya dan kemudian siat bahagian luarnya yang berwarna kehitaman itu.Seterusnya Amie rebus lagi sehingga benar-benar lembut, dan kemudian Amie potong dadu.
Amie tambahkan dua biji kentang saiz kecil.
Dan sekeping tempe, ikuran 6" X 6" juga dipotong dadu.
Tidak ketinggalan, dua papan petai. Ambil isinya, dan hiris atau belah menjadi 2 atau 3 keping.
Perencahnya pula, secawan cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan.
Bahan-bahan:
300 gram lidah lembu - celur - bersihkan - potong dadu
2 biji kentang saiz kecil - kupas kulit - potong dadu
1 keping tempe ukuran 6" X 6" - potong dadu
2 papan petai - ambil isinya - belah / hiris 2-3
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 sudu besar Kicap Manis ABC
4 sudu besar minyak
garam / gula /perasa pilihan
Bahan kisar:
1 cawan cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm belacan
Kisar cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan.
Kentang dan tempe yang sudah digoreng terlebih dahulu.
1. Goreng tempe hingga kekuningan. Angkat dan toskan. Ketepikan.
2. Goreng kentang hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan. Ketepikan.
3. Tinggalkan 4 sudu besar minyak di dalam kuali.
4. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
5. Masukkan lidah lembu, kentang dan tempe. Gaul sebati.
6. Kemudian masukkan kicap ABC, bawang besar dan petai. Masak sehingga sehingga petai berubah warna.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Jemput makan!
4 comments
Nampak sedap ni, Amie! Tapi mana nak cari lidah lembu.
BalasPadamAduhaii Amieeeee..
BalasPadamDalam masa terdekat, rasa dah 3 posting pasal lidah lembu,
Fav akak ni. Tapi pining kepala ni bila makan, kolestrol tu..
Sabar je lah...
Salam Kak Amie.
BalasPadamSaya teringin betul mau masak lidah lembu tapi susah juga mo dapat stoknya ba.Tiap kali saya ternampak orang post menu lidah lembu memang terliur oh.
Cepat lembut ka juga kalau dimasak?
PH,
BalasPadamcuba tanya di kedai / gerai jual daging lembu. Boleh tempah dengan peniaganya.
FHA,
betul tu, saya masak sedikit-sedikit sahaja, tak juga habis lidah lembu yang dibeli hari tu. Agaknya 4 kali masak baru habis.
Rahel,
Tempah di gerai daging lembu, sebab lidah hanya satu sedangkan lembunya besar bah hahahaaaa. Celur dulu tu lidah bagi bersih, siat yang warna hitam tu. Sama juga tempoh masa macam masak dagingnya. Lidah ni lebih sedap tau....kena cuba tu.