Nasi Kuning Sambal Ikan Tuna
11:13 PG
Selamat pagi.
Kami cuti selama satu hari sahaja, sempena Deepavali.
Kononnya pagi ini ingin bawa anak-anak makan nasi kuning di sebuah restoran di Batu 1, Jalan Segama yang terkenal dengan keenakannya itu. Setiap kali makan di situ, pasti licin selicin-licinnya sepinggan nasi kuning, siap dengan semangkuk sup!
Rupanya hujan sepanjang pagi!
Malas pula nak keluar rumah.
Baiklah buat sarapan di dapur sendiri.
Seperti biasa, setiap kali Amie kongsikan resipi nasi kuning, kebanyakannya berlauk ikan terutama ikan tuna. Entahlah.... Barangkali sudah terbiasa setiap kali makan nasi kuning dengan sambal ikan, tidak kiralah ikan tuna, ikan tongkol @ ikan kayu, ikan kembung, ikan tenggiri, ikan belais dan sebagainya, rasa macam lain pula bila makan nasi kuning selain lauk ikan seperti sambal ayam atau daging! Barangkali sama seperti nasi lemak. Tanpa sambal ikan bilis terasa pula ada yang kurang....hiks! Apa pun terpulang dengan citarasa masing-masing untuk menikmati hidangan nasi kuning dengan lauk pilihan.
Bahan-bahan:
4 cawan beras biasa
1/2 cawan beras pulut
1 batang serai - dititik
3 cm halia - hiris halus
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam / kiub / perasa pilihan
500 ml pati santan
Cara:
1. Mula-mula sekali didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Letakkan kuali di atas dapur dan nyalakan api. Masukkan santan bersama serai, halia, serbuk kunyit dan garam.
3. Masukkan beras bersama beras pulut dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.
Kalau tidak campurkan beras pulut, masih tetap terhasil nasi kuning. Beras pulut itu Amie tambah sekadar untuk menjadikan hasil nasi kuning lebih 'lekit' sedikit. Ada yang merendam beras semalaman bersama serbuk kunyit, dan dikukus pada keesokan harinya. Namun begitu, terpulanglah kepada kehendak dan citarasa masing-masing untuk menghasilkan nasi kuning ini.
Sambal untuk nasi kuning akan mempengaruhi rasa keseluruhan hidangan nasi kuning. Itu sebabnya, kalau kita beli nasi kuning terutama nasi kuning bungkus daun pisang,hanya nasi kuning dengan sambal ikan sahaja! Dan kadang-kadang ada potongan kecil telur rebus. Kalau anda makan di kedai atau restoran, nasi kuning sudah dinaiktaraf dengan tambahan hirisan timun, atau lauk-pauk lain seperti sambal tempe, sambal ayam dan sebagainya. Tidak ketinggalan, semangkuk sup kosong. Sup memang hidangan iringan wajib!
Bahan-bahan:
600 gram ikan tuna - potong ikut saiz yang disukai - gaul dengan garam dan serbuk kunyit - ketepikan
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
25 tangkai cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm belacan
1 batang serai - diketuk
Cara:
1. Goreng ikan tuna hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
3. Masukkan bancuhan pati asam jawa, garam, gula / perasa pilihan secukupnya.
4. Masukkan ikan tuna yang telah digoreng tadi. Masak seketika sehingga kuah memekat.
5. Padamkan api dapur.
6. Hidangkan bersama nasi kuning.
Aduhai!
Nasi Kuning dengan Sambal Ikan Tuna!
Mari kita lengkapkan dengan serunding kelapa pula.
Serunding kelapa ini memang sedap! Barangkali ditambah dengan udang kering. Tak bubuh udang kering pun boleh juga.
3 cawan kelapa parut - gunakan kelapa yang sederhana (tidak tua dan tidak muda) - buang kulit arinya
3 sudu besar udang kering - rendam dan toskan airnya kemudian ditumbuk halus
3 ulas bawang putih - tumbuk
5 biji bawang merah - tumbuk
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar cili kisar
garam / gula / perasa pilihan
3 sudu besar minyak
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, dan cili kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang kering dan tumis lagi hingga wangi.
3. Masukkan kelapa parut , serbuk kunyit, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
4. Gaul rata dan balik-balikkan sehingga serunding menjadi kering.
Jemput nikmati hidangan Nasi Kuning Sambal Ikan Tuna bersama teman-temannya yang lain seperti serunding kelapa, telur rebus, hirisan mentimun dan juga keropok!
2 comments
Assalamualaikum k. amie...
BalasPadammeriah betul hidangan musim perayaan neh heheee.. kenyang sampai ke petang neh
Kalau bertandang ke rumah amie pasti keberatan ank balik ni..
BalasPadam