Acar Peria dengan Mangga
2:54 PTG
Ketika sedang menyiapkan hidangan tengahari, Encik Suami muncul bersama Fairuz. Hari ini Fairuz menduduki kertas SPM sebelah pagi, dan Encik Suami mengambilnya di sekolah. Biasanya pada hari persekolahan, Encik Suami akan mengambil Firdaus dari kelas tadika, dan membawanya pulang. Setelah Amie sampai di rumah, Encik Suami akan kembali ke tempat kerjanya. Kadang-kadang sempat makan tengahari di rumah, kadang-kadang tidak sempat. Musim cuti sebegini, Encik Suami tidak balik pada waktu tengahari kecuali ada urusan tertentu seperti mengambil Fairus dari sekolah. Maklumlah, peperiksaan SPM sedang berjalan sewaktu cuti sekolah.
Bukan main sukanya Encik Suami bila menjenguk ke dapur, Amie sedang menyiapkan acar peria kegemarannya!
Peria berwarna putih memang sangat sesuai untuk dijadikan acar kerana rasanya tidaklah sepahit peria berwarna hijau. Amie gunakan sebiji peria sahaja.
Peneman peria putih, Amie pilih sebiji mangga epal yang sudah tua.
Menyediakan acar sememangnya sangat mudah. Hanya perlu hiris bahan yang digunakan sahaja. Kemudian tambahkan bahan pemerap seperti garam, gula dan cuka. Amie gantikan cuka dengan jus limau kasturi. Amie juga tambahkan udang kering yang direndam hingga lembut.
Semua bahan sudah tersedia.
Jom kita lihat langkah seterusnya.
Bersihkan peria putih. Buang isinya. Kemudian hiris nipis. Amie tidak perah peria dengan garam sebagaimana Amie selalu buat kalau menggunakan peria hijau, untuk mengurangkan rasa pahitnya.
Pada mulanya Amie ingin sagat kasar mangga epal ini, tapi entah di mana pula penyagat menyorok! Akhirnya Amie cincang kasar seperti di atas.
Amie hiriskan sebji bawang besar, sekuntum bunga kantan, sebiji cili merah dan 10 biji cili padi hijau.
Amie juga gunakan jus limau kasturi, untuk menggantikan cuka. Kalau nak gunakan jus limau nipis pun boleh juga. Nak gunakan cuka campur jus limau kasturi atau limau nipis pun boleh. Amie gunakan 15 biji limau kasturi.
Orang kampung kami suka buat acar campur dengan udang kering. Amie memang sukakan rasa acar orang kampung kami di Malaya. Untuk acar peria ini Amie gunakan 2 sudu besar udang kering, rendam hingga lembut dan cuci bersih, serta toskan airnya.
Gula pasir memang sangat diperlukan untuk menyatukan rasa masam manis acar. Penggunaan udang kering sudah tentunya meninggalkan sedikit rasa masin dalam acar, tapi Amie tambahkan 1/2 sudu kecil garam lagi. Gula pasir yang Amie gunakan ialah sebanyak 3 sudu besar.
Mula-mula ambil sebuah mangkuk besar.
Masukkan hirisan peria putih, mangga epal, bawang besar, bunga kantan, cili merah dan cili padi.
Jangan lupa masukkan juga udang kering. gula pasir dan garam.
Dan yang terakhir, perahkan jus limau kasturi.
Dan tuang ke dalam mangkuk berisi bahan-bahan acar.
Gaul rata dan tutup.
Biarkan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum dihidangkan.
15 minit kemudian.
Acar sudah berair dan nampaknya rasanya sudah sebati.
Bolehlah dihidangkan!
2 comments
tengok menu ni sambil kecur air liur... ni 1sti time tengok acar peria nih...
BalasPadamtak pernah jumpa lak peria yg warna hijau pudar gitu... kene try jgk lah menu ni...
mesti sedap nih... mcm2 rasa ada tuh
Kecur air liur tengok ni, Amie! Rasa2 nak try kombinasi peria dan mangga.
BalasPadam