Sambal Ikan Gelek
8:43 PTG
Teringat kenangan belajar masak Sambal Ikan Gelek sewaktu hayat MIL masih ada.
Terbayang wajah gembira MIL ketika memberi tunjuk ajar di dapur.
Walaupun ketika itu ikan gelek yang dimasak bukanlah ikan gelek berwarna merah kesukaan MIL dan FIL, tapi MIL dan FIL tetap menikmatinya bersama-sama.
Biarpun kedua-duanya telah tiada, namun resepi kegemaran mereka tetap Amie abadikan untuk generasi kini dan akan datang terutamanya buat anak-anak dan saudara mara.
Sambal Ikan Gelek siap terhidang untuk dinikmati.
Ikan gelek sebenarnya nama panggilan khusus yang diberikan oleh masyarakat Melayu Cocos ke atas ikan kerapu, sama ada kerapu merah atau kerapu warna lain. Menurut cerita MIL dan FIL, mereka menggelarnya dengan nama 'gelek' disebabkan ikan-ikan ini suka menghampiri 'jukung' (sampan atau perahu ketika mereka memancing di lautan. Disebabkan sifat ikan-ikan ini yang suka berenang-renang seolah-olah menari-nari di tepi jukung itulah, namanya melekat sebagai 'ikan gelek'. Itulah antara kenangan indah MIL dan FIL sewaktu menghuni Pulau Cocos - Keeling.
Amie olah kesemua ikan ( 1 kg), bercampur dengan ikan kutambak sebanyak 3 ekor. Biasanya kalau waktu tengahari, Amie masak lauk sekali harung, dan boleh dimakan hingga petang sebagai makan malam. Ikan kutambak itu Amie goreng hingga masak, manakala ikan gelek sebanyak 6 ekor itu Amie goreng setengah masak untuk dijadikan sambal.
Banyak kali juga Amie kongsikan resepi Sambal Ikan masakan Melayu Cocos di dalam dapur maya ini. Kalau rajin, bukalah tudung saji di dapur Amie dengan bantuan Pak Google ye.
Terlebih dahulu ikan hendaklah dibersihkan, dan kemudian cuci bersih serta ditoskan. Lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Ketepikan seketika sementara minyak dipanaskan untuk menggorengnya.
Sementara menunggu minyak panas, kisarkan 20 tangkai cili kering dengan 3 ulas bawang putih dan 5 biji bawang merah.
Goreng ikan setengah masak bermaksud tidaklah menggorengnya sehingga garing atau benar-benar masak. Perlu berhati-hati sewaktu membalikkan ikan sebab ikan masih dalam keadaan lembut (belum masak / garing di bahagian luarnya). Amie selalu melihat MIL begitu berhati-hati ketika membalikkan ikan yang digoreng untuk dijadikan sambal.
Jangan lupa limau nipis!
Inilah keunikan masakan sambal Melayu Cocos. MIL tidak mahu menggunakan asam jawa atau asam keping untuk masakan sambal. Bagaimana pun kadang-kadang semasa kenduri kendara, Amie lihat ibu-ibu yang 'rewang' menggunakan asam jawa. Mungkin jus limau nipis tidak mencukupi. Ya! Sambal ikan ini memang sering dihidangkan semasa kenduri-kendara.
Amie tidak mempunyai limau nipis, tetapi Amie gunakan limau kapas (keluarga limau nipis juga).
Masakan Sambal Ikan Gelek ini sama seperti memasak sambal biasa. Dari dahulu memang Amie tidak pernah ubah resepi ini. Semuanya asli dari sumber pertama (MIL) tempat Amie belajar. MIL akan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Kemudian MIL akan masukkan ikan yang telah digoreng.
Pernah sekali Amie suarakan kebimbangan, isi ikan akan terusik atau pecah sebab sangat lembut. MIL kata, tidak mengapa, sebab sambal akan mesesap dan rasanya akan bertambah enak!
Biasanya MIL akan tambahkan sedikit air setelah memasukkan ikan ke dalam sambal, dan kuah tersebut akan menjadikan isi ikan masak sekata. Biarkan kuah mendidih dan memekat. Pada ketika ini, masukkan garam dan bahan perasa, disusuli dengan perahan jus limau nipis. MIL biasa gunakan lebih sebiji limau nipis saiz besar. Amie takut rasanya terlalu masam. Bagaimanapun, hasilnya tidaklah semasam seperti yang Amie jangkakan.
Sambal Ikan Gelek siap dibubuh perasa dan jus limau kapas / nipis.
Saiz limau kapas ini agak kecil sedikit berbanding limau nipis. Jadi Amie gunakan 2 biji.
Sambal Ikan Gelek, resepi MIL.
Sedap tak?
Cukup rasa?
Encik Suami angguk.
Teringat MIL berkata setelah selesai Amie masak sambal ikan gelek di kampung : Pandai menantu gua masak sambal. Siapa boleh lawan?
Aduh!
Kenangan itu... barangkali lebih 20 tahun lalu!
0 comments