Serunding Rusa
3:49 PTG
Makan serunding memang sedap, terutamanya serunding daging.
Harganya pun boleh tahan.
Mahal!
Beli 100-200 gram pun sudah berpuluh ringgit!
Apalagi kalau nak beli sekilogram, tentunya mencapai angka ratus pula.
Kalau nak senang, beli sajalah.
Tapi kalau ada kesempatan dan kegigihan, buatlah sendiri...hiks!
Kita nak makan serunding daging tapi bukan daging, tapi bukan daging lembu.
Kita ngada-ngada nak makan serunding daging rusa....huhuhuuuu! Mana ada orang jual serunding rusa?
Inilah hasil kegigihan buat serunding daging rusa!
Sebenarnya tak susah mana pun, dan bahan yang digunakan pun ada di sekeliling kita. Yang perlu ada, hanyalah kegigihan, sabar mengacau serunding supaya tidak hangus, dari basah menjadi kering!
Amie beli 2 kg daging rusa, dan pada mulanya Amie rebus kesemuanya untuk dijadikan serunding. Bagaimanapun Amie rasa macam tak larat menyiat seorang diri daging rusa sebanyak itu. Jadi, setelah daging empuk direbus, Amie ambil sedikit demi sedikit untuk dimasak dijadikan lauk makan nasi. Akhirnya tinggal 1 kg lebih daging rusa tadi. Rasanya, bolehlah menyiat hingga selesai. Kalau dahulu setakat 4-5 kg daging rusa Amie siat untuk dijadikan serunding memang tak tadi hal. Sekarang ini, usia pun sudah menganjak keemasan, tenaga makin berkurang....kemalasan jua yang datang bertandang!
Dengan usaha gigih, perlahan-lahan menyiat daging rusa dan akhirnya siaplah walaupun sebahagiannya kasar-kasar sikit.
Ini antara bahan perencah serunding yang Amie gunakan. Lain orang lain caranya, lain daerah mungkin lain bahannya. Amie tetapkan sasaran untuk menyiapkan serunding rusa yang ada rasa pedas, manis secukup rasa dan ada biji ketumbar pecah-pecah yang boleh digigit sewaktu mengunyah serunding! He heeee... mana larinya kuah kalau tak tumpah ke nasi. Amie suka sangat makan air tangan Bonda seperti serunding dan rempeyek. Sebahagian rempah seperti biji ketunmbar dan jintan manis, Bonda hanya pecahkan (tumbuk kasar) sahaja.
Bahan-bahan:
1 kg daging rusa - potong setebal 2 cm - rebus hingga empuk - toskan airnya - siat halus
1 cawan minyak
2 cawan santan pekat - kisar/ perah dari sebiji kelapa
2 keping asam gelugor
2 sudu besar ketumbar biji - tumbuk kasar (setakat pecah)
3 batang gula melaka comel (dalam gambar) - ikut suka nak manis tahap apa
garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
25 gram biji ketumbar
25 gram jintan manis
2 labu bawang besar
12 biji bawang merah
5 biji bawang putih
5 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris serong
2 cam halia
2 cm lengkuas
Jom kita mula masak serunding. Seronoknya kalau ada teman berbual di dapur.... Taklah rasa keseorangan. Apa boleh buatlah. Teruskan saja hasrat untuk membuat serunding.
Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Tambahkan garam / gula melaka / perasa pilihan, asam gelugor dan santan . Biarkan masak mendidih sehingga gula melaka larut.
3. Masukkan daging rusa siat tadi dan gaul rata. Jangan lupa masukkan sekali biji ketumbar yang ditumbuk kasar / setakat pecah itu tadi. Kalau tak mahu pun tak apa. Tak payah masukkan.
4. Teruskan perjuangan / proses memasak serunding sehinggalah serunding mula mengering di dalam kuali. Nampak tak yang macam biji-biji kecil di bawah ini. Haaa.. itulah biji ketumbar.
Nampaknya serunding sudah siap masak dan kering, tapi kita dah letih. Biarlah sejuk dahulu dalam kuali. (Ini cerita malam tadi... kita tinggalkan serunding sebab mata dah mengantuk). Tidur dululah.
Petang ini baru berkesempatan ambil gambar Serunding Rusa! banyak juga hasilnya daging rusa sekilogram ini!
1 comments
Wahh kalau nak beli mau beratus rm sekilo ni amie..
BalasPadam