Sambal Ikan Bilis & Tempe Yang Sangat Sedap!
4:55 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sebenarnya kita bukan malas masuk dapur tetapi kita rasa tak seronok seorang diri di dapur. Kalau ada Firdaus bolehlah buat kerja dapur sambil sembang-sembang. Pagi tadi Firdaus menghadiri kelas tuisyen dari pukul 10:00 pagi hingga pukul 12:00 tengah hari. Kita minta tolong Encik Suami buatkan jus tembikai dan bersihkan daun dan tangkai limau kasturi. Jadi, adalah teman buat seketika di dapur.
Hajat hati hendak buat Sambal Ikan Bilis & Tempe tertunai juga!
Sambal Ikan Bilis & Tempe |
Cili Padi Kampung |
Lama tak gunakan cili padi kampung jenis ini untuk buat sambal tumis. Selalunya jumpa saiz yang sangat kecil. Pagi tadi jumpa saiz agak besar dan banyak yang berwarna hijau pula.
Ada empat bungkus tempe dan lima biji kentang. Bolehlah buat tambahan Sambal Ikan Bilis.
Ikan bilis siap kopek yang baru dibeli di Pasar Ikan Kering.
Limau Kasturi |
Kawan Encik Suami bagi sebakul limau kasturi yang masih bertangkai dan berdaun. Eloklah Encik Suami tolong bersihkan sambil temankan kita masak sambal ikan bilis.
Mungkin sekarang sedang musimnya. Banyak nampak limau kasturi di pasar.
Limau kasturi siap buang tangkai dan daun.
Soto Ayam |
Kita panaskan kuah soto ayam dan mi kari yang dibeli di Warung Al Amin pagi tadi. Kita makan soto ayam, Encik Suami makan mi kari.
Mi Kari |
Sambal Ikan Bilis & Tempe |
Akhirnya siaplah Sambal Ikan Bilis & Tempe. Sama-sama buat kerja di meja makan. Encik Suami buang tangkai dan daun limau kasturi, kita hiris tempe dan kupas kentang. Tidaklah ambil masa yang lama untuk siapkan sambal ini. Kita buat banyak, boleh simpan untuk bekal pergi menoreh. Kita suka meratah sambal bilis dan tempe tetapi pastikan tempe tidak digoreng garing. Biarlah digoreng hingga masak sahaja dan masih lembut dan bukannya keras. Tempe yang digoreng garing tidak ada rasa tempe sebenar. Lagilah kalau tempe itu dihiris nipis dan halus. Tapi terpulanglah ikut citarasa masing-masing. Memang ada yang suka tempe goreng garing-garing. Lagi pun kalau tempe digoreng garing, sambal akan tahan lebih lama. Jom lihat resipinya di bawah ini:
Bahan-bahan:
- 250 gram ikan bilis - bilas - toskan - goreng - toskan
- 4 bungkus tempe - hiris ikut saiz yang digemari - goreng hingga masak - toskan
- 5 biji kentang - hiris ikut saiz yang digemari - goreng hingga kuning keemasan - toskan
- 1 keping asam gelugur / 1 sudu kecil pati asam jawa
- 1/2 cawan minyak
- garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar kasar:
- 1 cawan cili padi - tidak perlu buang tangkai
- 7 ulas bawang putih
- 10 biji bawang merah
- boleh letak belacan jika suka - Amie tidak letak belacan
Cara memasak:
- Panaskan minyak (minyak bekas gorengan ikan bilis / tempe / kentang).
- Tumis bahan kisar.
- Masukkan gula pasir dan asam gelugur / asam jawa.
- Setelah terbit minyak, masukkan garam / perasa. Garam tak perlu banyak sebab sudah ada rasa masin ikan bilis.
- Padamkan api dapur. Masukkan ikan bilis, tempe dan kentang goreng.
- Gaul rata.
Jika suka ikan bilis kekal rasa rangup, biarkan dahulu sambal sejuk barulah masukkan ikan bilis.
Firdaus suka sangat meratah Sambal Ikan Bilis & Tempe!
2 comments
Sedapnya sambal tempe. Teringin pulak tengok. Lama tak beli tempe. Nanti nak cari tempe la buat sambal.
BalasPadamTengok foto pun tau ia sangat sedap!
BalasPadam