Sambal Belacan Sedap Giler!!!!
12:50 PTG
Selamat berhujung minggu buat semua.
Masih berhari raya?
Sudah tentu ada yang sedang meneruskan kunjung ziarah dan menghadiri jemputan rumah terbuka.
Amie putuskan untuk berada di rumah sahaja memandangkan belum siap mengemas dapur terutama menyusun pinggan mangkuk dan periuk belanga kembali ke tempat asal! Bukan main seronok memasak pelbagai juadah untuk hidangan rumah terbuka selama beberapa hari, maklumlah Amie buat asing-asing waktu. Untuk keluarga lain waktu, untuk kawan-kawan sendiri dan Encik Suami lain waktu, begitu juga untuk anak-anak yang menjemput rakan-rakan berhari raya di rumah.
Encik Suami, Fairuz dan Firdaus keluar sambung raya ke rumah terbuka rakan Encik Suami. Tinggallah Amie sendiri di rumah. Berpeluh-peluh di dapur, dan bila rasa penat lain pula yang Amie buat! Bila mengemas peti sejuk, terjumpa banyak lebihan cili padi dan cili besar merah hijau! Belacan pun masih banyak! Terus tangan pantas mencari bahan lain untuk buat sambal belacan! Buat banyak, bukan sedikit! Untuk simpanan seminggu dua begitu, jadi kalau nak makan nasi tak payahlah kelam kabut tumbuk sambal belacan lagi! Biasanya kalau pulang dari kerja, masak nasi, goreng ikan atau telur dan masak sayur sedikit, ada tambahan sambal belacan memang lebih dari cukup!
Inilah hasilnya Sambal Belacan yang sudah siap diolah dengan cara mengisar sahaja. Cerita tentang sambal belacan ini, tak perlulah kita 'berkelahi' betul atau salah cara membuatnya. Masing-masing tentu ada resepi keluarga yang tersendiri. Kalau Bonda, lebih suka bakar belacan, kukus bawang dan cili padi dalam periuk nasi ketika nasi mula kering. Bonda suka gunakan cili padi kampung yang warna hijau. Katanya, kalau kukus dahulu cili padi, tidaklah sakit perut kalau makan sambal belacan itu nanti. Itu petua Bonda, dan kami telah menikmatinya sehinggalah remaja, dan setelah hidup berjauhan pelbagai jenislah sambal belacan yang Amie jumpa. Emak mentua pula, kalau buat sambal belacan mesti goreng semua termasuk cili padi, bawang merah, bawang putih dan belacan! Kemudian dikisar halus dan wajib mencampurkan perahan air limau. Limaunya pula MIL gunakan limau nipis!
Rasanya ramai yang pernah mencicipi sambal belacan yang pelbagai! Ada sambal belacan yang ditambah dengan bawang merah mentah, ada campuran kulit limau kasturi yang diparut atau dihiris untuk menaikkan aroma dan sebagainya. Ada yang ditambah dengan asam jawa, dan tidak kurang pula yang menggunakan perahan limau kasturi.
Yang penting, dalam membebel-bebel tadi, sudah siap Sambal Belacan untuk dijadikan stok dalam peti sejuk. Biarkan dahulu beberapa jam, atau semalaman di luar, barulah masukkan dalam peti sejuk supaya bahan yang terkandung di dalamnya menjadi mesra dan sebati.
Amie gunakan belacan dari Papar, belacan asli keluaran tempatan Sabah Negeri di Bawah Bayu. Rasa dan warnanya memang berbeza sedikit berbanding belacan dari Malaya. Belacan Papar kurang sedikit rasa masinnya, dan warnanya pula lebih kemerahan. Walaupun kurang masin, tapi kena tambah juga garam dalam olahan sambal belacan untuk rasa yang lebih ummpphhhh!
Bahan-bahan:
5 tangkai cili merah - belah 2 dan buang biji
5 tangkai cili hijau - belah 2 dan buang biji
50 biji cili padi
3 labu bawang merah besar - buang kulit dan belah 6 - bakar / panggang
10 ulas bawang putih - buang kulit - bakar / panggang
100 gram belacan - bakar / panggang
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air masak
3 biji limau nipis - perah jusnya
6 biji limau kasturi - perah jusnya - buang biji / tapis - ambil 3 biji kulitnya dan hiris nipis
4 sudu besar gula pasir
2 sudu kecil garam - kalau belacan sudah sedia masin, kurangkan garam
2 sudu kecil serbuk perasa
Amie panggang / bakar belacan, bawang putih dan bawang merah besar di dalam kuali dengan menggunakan api kecil. kalau nak gunakan bawang merah kecil pun boleh. Ikut citarasa masing-masing. Penggunaan bawang dalam sambal belacan akan memberikan rasa manis semulajadi.
Beginilah rupa bawang merah besar, bawang putih dan belacan yang telah dipanggang / bakar. Tentang belacan itu, gunakan sajalah belacan kegemaran masing-masing yang ada di dapur. Jangan risau kalau tak ada belacan Papar..... hiks!
Bahan-bahan yang Amie gunakan untuk menghasilkan sambal belacan.
Limau kasturi dan limau nipis ini, jangan lupa perahkan jusnya, dan tapis supaya biji limau tidak termasuk ke dalam bahan sambal yang lain.
Limau nipis ini tak ada bijilah! Mungkin jenis limau kapas!
Sepiring belacan campur bawang putih dan bawang merah besar panggang sudah sedia menyerah diri untuk dikisar bersama cili...hiks!
Amie suka buang biji cili merah dan hijau. Kalau tak mau buang pun tak apa. Tidak menyalahi undang-undang dan peraturan mengolah sambal belacan...ahaks! Cili padi pula, gunalah mana yang disukai. Ada yang suka gunakan cili padi kampung, cili padi minyak dan sebagainya. Kalau boleh Amie tidak mahu menghasilkan sambal belacan yang terlalu pedas! Kepedasan itu sungguhnya boleh membunuh keenakan rasa ketika menikmatinya. Tapi kalau anda jenis hantu cili padi, kalau tak terasa pedas sehingga mengalirkan airmata itu terpulanglah...hahahaaaa!
Jangan lupa tambahkan pati atau pes asam jawa. Kalau dah cukup rasa dari jus limau kasturi atau limau nipis, tak perlu tambah asam jawa. Tapi Amie kena tambah pati asam jawa sebab perahan jus limau nipis dan limau kasturi tidak mencukupi.
Wokey....
Semua bahan sudah tersedia. Jus limau nipis dan limau kasturi, pati asam jawa yang dibancuh dengan setengah cawan air, gula, garam, serbuk perasa dan juga hirisan kulit limau kasturi.
Kita lihat cara olahannya:
1. Masukkan kesemua bahan seperti belacan, bawang putih, bawang besar merah, jus limau, bancuhan air asam jawa, garam, gula dan serbuk perasa ke dalam pengisar.
3. Kemudian masukkan cili padi, cili merah dan cili hijau.
4. Kisar sekali lagi kesemua bahan. Jika sukakan sambal belacan yang hancur lumat seperti MIL selalu buat, kisarlah sehingga halus. Jika tidak, kisarlah agak kasar sedikit seperti gambar di bawah.
5. Keluarkan sambal belacan yang telah dikisar, dan masukkan kulit limau kasturi yang telah dihiris nipis tadi.
6. Tambahkan sebarang perasa seperti jus limau, garam, gula dan sebagainya sekiranya sambal belacan belum memenuhi piawaian citarasa masing-masing.
Inilah hasilnya sambal belacan yang biasa kami buat dengan menggunakan belacan Papar. Warnanya lebih kemerah-merahan. Untuk menyimpannya sebagai stok dalam peti sejuk, biarkan dahulu di antara 3 hingga 5 jam sebelum di simpan dalam peti sejuk. Kalau suka, biarkanlah semalaman.
4 comments
akak sedapnya sambal belacan. Ini penyedap makanan kak, cukup hanya nasi panas, ikan goreng dan ulaman. Hmm dia punya makan akan bertambah2. Salam lebaran kak amie, maaf zahir batin :)
BalasPadampasni blh la cuba kak, tp tulah belacan akak tu cantik betul... colornya pun dh tahu mesti sedap
BalasPadamAduh, menggodanya sambal belacan akak ni.
BalasPadamnak ucap terima kasih sb dah 2 kali share resepi sambal belacan ni... mmg sedap..
BalasPadam