Nasi Lemak : Tips Nak Buat Sambal Tak Berapa Pedas!
12:18 PTG
Selamat pagi semua.
Cuaca di LD nampaknya... terang benderang, sekejap redup sekejap panas tapi tetap nyaman! Syukur Alhamdulillah, diberi peluang sekali lagi oleh-Nya untuk menghirup udara di bumi ini. Sarapan apa agaknya pagi ini ye? Apa pun, syukurilah setiap nikmat yang Allah berikan kepada kita, mudah-mudahan rezeki akan berlipatganda.... amin.
Tiada apa yang istimewa Amie nak kongsikan hari ini. Tapi, bila tengok komen kawan-kawan di FB tentang sambal nasi lemak yang begitu enak dinikmati Firdaus, Amie teruja pula untuk kongsi resepi sambal tersebut. Maklumlah, semua sedia maklum. Bila disebut sambal, tentulah pelbagai rasanya dan berbeza pula citarasa mengikut selera masing-masing. Ada yang suka pedas, ada yang suka kurang pedas, ada yang suka 'terasa' masamnya, ada yang suka manis....pendek kata macam-macamlah kaann...
Nasi Lemak (gambar di atas) Amie sediakan untuk sarapan kami sekeluarga kelmarin. Kali ini Amie hanya sajikan nasi lemak asas sahaja, yang membawa maksud nasi lemak bersama lauk-pauk tradisi seperti sambal, hirisan mentimun, telur rebus, kacang tanah goreng, dan ikan bilis goreng.
Walaupun sekadar hidangan asas tetapi anak-anak tetap menggemarinya. Taklah anak-anak tanya mana ayam gorengnya, mana sambal udang atau sambal sotongnya. Seronokkan ada anak-anak yang tak cerewet ketika menghadapi hidangan yang kita sajikan. Kisah kelmarin hanya tinggal kenangan DI SINI. Tangan yang gatai ni sesaja ambil gambar Firdaus makan nasi lemak. Lepas tu kongsi di FB....
Firdaus pun nampaknya begitu bersungguh-sungguh menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya! Itulah yang menjadi sebahagian daripada pertanyaan rakan-rakan FB:
Tak pedas ke Firdaus?
Ishhh... tak pedas ke tu?
Hebat laa... Firdaus tahan makan pedas.
Pandai makan sambal ye!
Firdaus ni sebenarnya memilih ....
Kalau rasa pedas dia tak akan makan.
Mommynya pulak (yang perasan ni) mengetahui selera bujang kenitnya!
Mommynya sengaja masak sambal yang tak berapa pedas... maknanya pedas sikit-sikit jew... Tak adalah sebarang rahsia dalam resepi ini. Resepi biasa -biasa saja. Yang penting Amie gunakan cili kering di bawah ini. Cili kering wonder hot. Dah memang cili kering tu tak berapa pedas, Amie pun tambahkan gula sekadarnya saja, dengan kata lain secukup rasa dan taklah banyak sebagaimana Amie gunakan kalau masak sambal gunakan cili kering yang lebih pedas.
Untuk resepi sambal kali ini Amie tidak gunakan belacan, sebaliknya Amie gantikan dengan udang kering. Cili keringnya pula Amie gunakan 25 biji. Untuk hasil yang memuaskan (tidak pedas) eloklah rebus cili kering tadi, dan kemudian barulah dikisar. Amie kisar secara berasingan. maksudnya Amie tidak kisar cili kering tadi bersama bahan lain. Amie juga gunakan banyak bawang merah selain dua biji bawang besar. Bukankah bawang yang banyak boleh menghasilkan rasa yang manis dalam masakan? Jadi, itulah sebabnya Amie tak bubuh banyak gula yang kebiasaannya akan menjadikan warna sambal kelihatan lebih gelap! Tapi sambal yang Amie hasilkan ini warna merah biasa saja!
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah semasa proses memasaknya. Mula-mula sekali Amie tumis bahan kisar yang terdiri daripada bawang merah, bawang putih, bawang besar, halia dan udang kering. Haaa.... bila dah tumis bahan ini, kenalah sabar menunggu sambal pecah minyak! Kalau bawang tak berapa masak, lainlah rasa dan baunya nanti! Tak berapa ummpphhh! Kemudian barulah tambahkan air asam jawa, gula serta cili kering kisar tadi. Tunggu sehingga pecah minyak sekali lagi. Jangan risau... sambal tetap masak sebab cili kering sudah direbus terlebih dahulu!
Jom kita lihat resepinya.
Bahan-bahan:
20 biji cili kering wonder hot - buang biji - rebus hingga masak - toskan - kisar - ketepikan
1 labu bawang besar - mayang kasar
3/4 cawan minyak
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 3 sudu besar air
garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar:
7 ulas bawang putih
15 biji bawang merah
2 labu bawang besar
1 cm halia
100 gram udang kering - rendam hingga lembut - toskan
Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan bancuhan air asam jawa, cili kering kisar dan gula serta garam.
3. Biarkan masak sehingga pecah minyak sekali lagi. Kacau sekali- sekala. Gunakan api sederhana.
4. Masukkan hirisan bawang besar.
5. Setelah bawang besar layu, padamkan api dapur.
Wokeh!
Dah banyak sangat Amie kongsikan menu nasi lemak dalam dapur maya ini. Kalau rajin, tanyalah Encik Google di mana Amie simpan resep-resepi itu yea... Jadi untuk kenang-kenangan Amie selitkan jugalah gambar-gambar nasi lemak dengan kawan-kawan yang seangkatan dengannya, yang biasa mengiringinya sejak zaman dahulu kala.... hihihiii..... Amie belanja satu saja resepi nasi lemak yang lengkap dan khusus untuk anak-anak remaja yang ingin belajar atau bertutorial. Klik RESEPI TRADISI : NASI LEMAK.
Ini nasi lemak kelmarin...
Dengan sambalnya yang tak berapa pedas, tapi perlukan kesabaran untuk menantikan terbit minyaknya!
Teman setia nasi lemak.... ikan bilis goreng!
Pengiringnya yang lain.... kacang tanah goreng.
Pelengkap hidangan .... hirisan mentimun. Barulah timbul aroma bila ditemukan dengan nasi lemak.
Dan tak lupa, telur rebus yang tak sempat dikupas!
Mmmm... ada yang kuranglah. Kopi hitam pun dah ada, cuma daun pisang saja yang tak ada... ahaks!
6 comments
Sedapnya! Kegemaran saya nasi lemak style dolu-dolu ni hehe.
BalasPadamSedapnya tengok firdaus makan. Kita pun jadi lapar!
BalasPadamSedapnya tengok firdaus makan. Kita pun jadi lapar!
BalasPadamWah! Bestnyer nasi lemak mommy.. tengok je pun da berselera.. ditambah pula dgn gaya firdaus menyuap ke mulutnya..
BalasPadamMak Long berkenan sangat dengan pinggan ayan tu. Tambah berselera makan nasi lemak yang memang pun sedap. Tinggal di perantauan tiada kemudahan dapat santan segar. Jadi guna santan dalam tin atau kadang-kadang guna susu buah badam atau susu segar biasa. Kena tambah sedikit minyak sedikit untuk nampak masakan berminyak. Rasa masakan tidak banyak beza.
BalasPadamsalam. menarik cara persediaan sambal nasi lemak ni . ni versi yang tak pedas, dan juga tak manis la kan kerana tak guna gula melaka ? Again, terima kasih kongsi resipi dan gambar2 nasi lemak yg sangat sedap kat sini :)
BalasPadam