Kuih Tradisi Raya Yang Hampir Dilupakan!
8:02 PTG
Kesempatan berhari raya walaupun hanya 2 hari di kampung laman, tetap memberi seribu makna buat Amie.... yang selama ini hidup berkelana hampir 25 tahun lamanya di tempat orang. Peluang menziarahi keluarga dan saudara mara tidak dilepaskan begitu sahaja. Pada masa yang sama, kita tiba-tiba tersedar..... banyak sangat kuih raya tradisi sudah tidak terhidang di atas meja! Bagaimana pun di antara 10 buah rumah yang sempat kita kunjungi pada hari raya pertama, sekurang-kurangnya setiap buah rumah masih menghidangkan satu atau dua jenis kuih tradisi!
Barangkali, anak cucu akan datang hanya mampu melihat gambar kuih-muih tradisi raya ketika menyelak ensiklopedia atau Kamus Dewan sahaja! Atau bagi peminat budaya, mereka akan membuat kajian dan mendokumentasikan ...entah tinggal berapa jenis yang bakal mereka ketahui!
Ini rempeyek kacang hijau atau juga disebut tumpi oleh orang kampung kami.
Resepinya sama dengan rempeyek kacang tanah cuma kacang hijau tu kenalah direndam dulu sehingga kulitnya mula tertanggal. Ini antara kuih yang paling kita suka! Rangup jew... sedap rasa jintan manis yang tergigit bila kita mengunyah tumpi ni. Alhamdulillah... harap tahun berikutnya dapat lagi jumpa tumpi... di rumah abang sulung kita, abang Said.
Ini tak payah diperkenalkan lagi....
Kalau ada yang masih tak kenal, inilah kita kenalkan yerkk... rempeyek kacang tanah. Tengok tu, penuh dengan rempahnya yang enak beraroma! Kalau makan rempeyek kacang tanah ni, kita suka buang kacangnya, makan tepungnya saja! Aton pulak buang tepungnya, makan kacang tanah saja!
Ini rempeyek kacang dal. Sama juga bahan yang digunakan. Cuma kacang dal tu jew yang kena rrendam bagi kembang. Masa kecik-kecik dulu, jenuhlah tengok Bonda buat segala macam rempeyek sebelum menjelang raya. Penat tengok, kita tidur. Kita bangun tidur, Bonda masih lagi menggoreng rempeyek! Gambar rempeyek kacang dal ni kita ambil di rumah sepupu.
Selain rempeyek, orang kampung kami memang tak pernah lupa hidangkan segala jenis kerepek! Kalau dulu, setiap rumah akan menghidangkan kerepek ubi tapi kali ini macam tak nampak pulak kerepek ubi! Ada pelbagai jenis kerepek keladi, salah satunya seperti gambar di atas. Keladi jenis di atas berbeza dengan keladi jenis di bawah! Kita pun dah lupa apa nama keladi-keladi tu.... haiiiyyoooo!
Kalau ikutkan hati, mau kita mengadap sebalang kerepek keladi ni sampai habis! Keladi di atas ni jenis keladi wangi... apa namanya tu... keladi bantan kalau tak silap! Lemak berkanji!
Kerepek pisang juga tidak dilupakan! Pisang di atas tak sama dengan jenis pisang di bawah. Yang di bawah ini kerepek pisang tanduk.
Yang di bawah ini pulak kerepek pisang awak...
Ini yang paling kita suka. Kerepek pisang awak ada rasa masam manis...
Maaflaaa... tak ingat ambil gambar di rumah siapa...
Juga kerepek buah suku... di rumah Kak Lembut, di Bukit Kuching.
Satu lagi kuih tradisi yang masih ada hingga kini. Kuih siput!
Sempat singgah di teratak peninggalan arwah Nenda sebelah arwah Ayahanda.
Al-Fatihah untuk mereka. Sunyi sepi nampaknya... khabarnya rumah ini disewakan kepada orang, menurut kata Bonda. Di rumah inilah setiap kali menjelang raya, arwah Nenda (perempuan - kita tak sempat melihat arwah Nenda yang lelaki) akan calitkan minyak atar di baju kami, dan kemudian dengan senyum manisnya menghulurkan seringgit setiap seorang! Bayangkan.... tahun-tahun 70-an! Besarnya nilai seringgit itu! Kemudian kami akan menjamu selera dengan pelbagai jenis hidangan tradisi termasuk ketupat, lepet, rendang, ayam masak kicap, sambal goreng dan macam-macam lagi! Kuih-muihnya sudah tentulah sudah tidak dapat kami nikmati atau temui lagi ketika ini! Terbayang betapa syahdunya melihat arwah Ayahanda memohon ampun dan maaf, kemudian arwah Nenda pelukcium arwah Ayahanda sambil menangis! Setiap tahun, kami dapat duit raya yang 'besar' nilainya itu, dan perkara yang sama kami saksikan antara arwah Ayahanda dengan arwah Nenda..... sehinggalah... tak ingat bila berakhirnya sebab kita sambung belajar di sekolah berasrama dan kemudian nenek jatuh sakit dan berpindah ke rumah salah seorang pakcik kami.
Di sudut anjung itu.... tempat arwah Nenda duduk memandang ke arah jalan raya. Nenda sudah uzur dan tidak mampu bergerak lancar. Sesekali kita datang berkunjung ketika cuti sekolah, atau cuti semester. Terdengar keluhan Nenda... mana cucu-cucu tak datang jengok nenek... buah jambu sampai busuk jatuh bawah pokok, tak siapa nak makan! Ya.... belakang rumah nenek dulu ada sepohon jambu susu yang lebat berbuah! Pokok jambu bol, jambu batu, pokok mangga dan entah pokok apa lagi ...tempat kami gayut-gayut!
Eh! Sedih pulak rasanya bila terkenang itu semua...
Sambung cerita...
Ini halwa kelapa. Jumpa di rumah pakcik nan bongsu... rumahnya berhadapan dengan rumah arwah Nenda. Dulu, kita suka sangat makan halwa kelapa ni, siap masukkan dalam saku baju lagi tu.... kalau beraya di rumah orang!
Oh!
Masih ada yang rajin buat halwa rupanya... di rumah pakcik bongsu kami, Paman Hamid, ada halwa jambu air!
Ada halwa mangga, jeruk mangga, halwa cermai, dan kolang-kaling....
Yang tak tahu kolang kaling tu.... buah kabung laa!
Inilah halwa kolang-kaling yang masih tak dapat dilupakan!
Dulu, kini dan selamanya!
Yang ini pulak, agar-agar kering. Pernah tengok Bonda buat setiap kali nak raya. Tapi sekarang Bonda agak uzur, tak satu pun kuih tradisi raya yang ada di rumah kami.... semuanya kuih-muih raya jenis moden yang dibawa oleh anak cucu Bonda! Kecuali kerepek ubi, pisang dan keladi!
Dodol!
Ini dodol homemade punya ya... Sepupu kita, Kucun yang buat! Rasanya tersangatl;ah lazatnya...lembut!
Kuih bahulu!
Teringat zaman dulu dulu... Bonda kumpul telur itik bersama jiran dan pukul telur dalam pasu! Seharian mereka membakar kuih bahulu! Aromanya.... waduh! Kita menunggu bahulu hangus... hihihiii simpan untuk buka puasa!
Terakhir:
Kuih putu atau kata Bonda kuih satru!
Ingat-ingat lupa cara membuatnya. Cuma masih teringat Bonda suruh bawa talam berisi tepung kacang hijau dan gula, jemur di tengah panas!
Ini sahajalah yang mampu kita kongsikan. Mungkin kalau berada di kampung lebih lama, banyak juga kuyih-muih tyradisi raya yang boleh kita jadikan koleksi. Seingat kita, kalau beraya di rumah saudara-mara di Rantau Panjang, Kelang pun masih ada kuih tradisi mereka. Begitu juga dengan keluarga di Tanjung Karang dan juga Hutan Melintang, Perak.
4 comments
Ya Allah jelesnya iqa tgk sis dapat makan semua kuih muih ni.. susah nak dapat semua ni terutama nya area bandar
BalasPadamAssalamualaikum kak..
BalasPadamena raya2 ni tak makan sangat kuih raya tp dok sibuk dengan kerepek2.. ntah naper suka sangat.. paling sua kepek pisang tanduk...
Banyaknya kepek!!
BalasPadamBanyaknya kepek!!
BalasPadam