Dari Allah Kita Datang dan Kepada Allah Kita Kembali

12:12 PTG

Lebih kurang pukul 2 pagi, bertarikh 12 Mac 1975 lena tidur dibuai mimpi terganggu oleh sayup-sayup suara tangisan kecil yang nyaring.

Terdengar suara Bonda: Cuba bapamu tengok. Macam ada bawang.

Belum sempat sang bapa menyahut, Embah Painem bidan yang menyambut kelahiran menyampuk: Ya. Bayi laki-laki.

Dalam cahaya lampu pelita minyak tanah kelihatan bidan kampung, Embah Painem sedang meletakkan bayi kecil berselimut kain batik ke dalam talam. Pada hari ketujuh, majlis muputi diadakan dan Ayahanda kami memberikan nama adik baru kami : Amin Fauzi.

Kami sekeluarga sangat gembira dengan kehadiran adik baru kami. Istimewanya kerana penantian Bonda selama ini telah terlaksana. Kami tujuh beradik perempuan, dan yang baru lahir ini, kelapan anak lelaki. (Adik Amin Fauzi bukan anak bongsu kerana 5 tahun kemudian lahir seorang adik perempuan pula. Jadi, kami ada 8 beradik perempuan tetapi kini hanya tinggal 7 perempuan kerana kakak kedua meninggal dunia ketika berusia 20 tahun).Tidaklah lagi Bonda dihujani pertanyaan dan sindiran dari sanak saudara dan orang kampung kerana tidak mempunyai anak lelaki.

Selepas 100 hari kelahiran adik, Bonda jatuh sakit. Berbulan-bulan lamanya Bonda sakit. Masih terbayang lagi tubuh Bonda menjadi kurus, hanya tinggal kulit dengan tulang. Sehingga ke hari ini, kalau Bonda bercerita, Bonda akan mengatakan semua ketujuh-tujuh anak perempuan menyusu badan selama 2 tahun, tetapi Bonda  hanya sempat susukan adik selama 100 hari sahaja.

Tugas menjaga adik diambil alih oleh Ayahanda. Amie masih ingat lagi, setiap malam Ayahanda akan bangunkan adik untuk buang air kecil. Kerja-kerja memasak di dapur dan kerja rumah tangga juga dilakukan Ayahanda. Kalau cuci pakaian, Ayahanda akan masukkan pakaian kotor ke dalam besen, dan curahkan air serta sabun. Ayahanda suruh kami pijak-pijak pakaian di dalam besen dan kemudian Ayahanda akan bilas.

Bersama kegembiraan yang kami nikmati, silih berganti datang dengan pelbagai ujian hidup yang tidak terduga. Menjelang usia adik yang ke 17 tahun, Allah uji ketabahan hati kami sekeluarga. Daripada seorang remaja yang sihat cergas, adik mengalami gangguan kesihatan dari segi mental. Usaha dan wang ringgit usah dikira. Kami tidak putus asa untuk mendapatkan rawatan dari doktor pakar dan berubat cara tradisional. Pernah sekali adik dihantar berubat ke selatan Thailand. Kemudian kami dikirimkan berita adik meninggal dunia semasa dalam rawatan. Apabila keluarga kami ke sana, rupa-rupanya salah maklumat! Yang meninggal anak orang lain. Alhamdulillah. Adik  masih bernafas. 

Air mata Bonda sudah kering. Bonda sudah lali dengan kata-kata keji orang kampung. Bukan semua orang kampung bermulut celupar. Ada jiran tetangga yang sangat memahami masalah kami dan sentiasa memberi kata-kata semangat buat kami sekeluarga.  Akhirnya adik terpaksa dirantai kakinya, dan dikurung. Aduh! Amie pun tidak mampu lagi menitiskan air mata melihat betapa deritanya suasana itu. Bayangkan sahaja ada insan malang yang bergelandangan di tepi jalan. Begitulah keadaan adik. Allah.... ya Allah!

Beberapa kali juga rantai ikatan kaki adik terlepas. Ketika itulah jiran tetangga dan orang kampung akan membantu mencarinya dan membawanya pulang ke rumah dan diikat semula. 

Setelah Ayahanda kembali kepada-Nya, kami ambil keputusan membawa adik ke pusat jagaan di Jalan Kebun. Kami bimbang keselamatan Bonda kerana kalau adik terlepas, banyak perkara di luar dugaan akan dilakukannya. Kami sepakat tidak akan mengambil hasil kelapa sawit dari tanah pusaka yang sudah diagih-agihkan kepada kami. Hasil jualan kelapa sawit digunakan untuk membayar kos penjagaan adik.

Beberapa tahun kemudian, setelah Amie lihat hidup Bonda kembali teratur dan lebih tenang, Amie daftarkan Bonda untuk tunaikan umrah. Bonda tidak perlu fikirkan sangat tentang adik kerana adik selamat di pusat jagaan.  Sehari sebelum kami terbang, kami dapat berita adik dimasukkan ke ICU dan doktor mengatakan harapan untuk hidup hanya 50:50 sahaja. Amie abadikan kisah itu di sini: 


Allahu Akbar!
Allah Maha Besar!
Amie pasrah dengan apa jua keputusan Bonda. Adik-beradik mendesak agar Bonda batalkan sahaja untuk menunaikan umrah memandangkan keadaan adik yang sangat kritikal di Hospital Ampuan Rahimah Klang.

Ini antara tulisan dalam salah satu entri lepas :

Terkenang kembali segala urusan umrah yang begitu dipermudahkan tanpa sebarang kesulitan! Untuk menceritakan satu persatu secara kronologi, agak mustahil sebab Amie pun lupa-lupa ingat. Apa yang terpahat dalam ingatan Amie ialah rasa sangat berpuas hati dengan khidmat ANDALUSIA TRAVEL & TOURS.

"Mak dah siapkan semua pakaian dalam beg," lebih kurang begitulah Bonda bersuara sambil menunjukkan beg besar berwarna biru, yang tertulis "PENYUCIAN JIWA DI TANAH SUCI".
Jadi... mak ikut umrah?" Pertanyaan itu tersekat di celah kerongkong Amie. Tak mampu keluar.
"Ini semua ujian Allah," sambung Bonda.
"Sudah berpuluh tahun adik begitu.... tapi mengapa Allah pilih hari ini untuk semua itu?"
Ya... hati ini menyahut. Kenapa malam tadi tiba-tiba adik Amin koma. Tiba-tiba masuk ICU dan tiba-tiba dikatakan nazak.
"Sebab Allah nak uji hati kita. Nak uji iman hamba-Nya," ujar Bonda lagi.
Terasa ingin menangis kuat-kuat! Tapi air mata kutahan, agar jangan sampai keluar!
Di situ, jawapan sebenar sudah Bonda berikan.
"Mak dah bincang dengan semua. Dengan anak-anak mak, dengan cucu dan menantu."
"Apa yang dibincang mak?" Tak sabar rasanya tunggu Bonda habiskan cerita.
"Semua sepakat minta mak teruskan ke sana.... ke kiblat. Urusan di sini urusan mereka. Urusan mak dengan Allah, didahulukan."
Ingin rasanya menyahut begini : Tak apa mak. Tak ada rezeki kali ini, mungkin waktu lain masih ada kesempatan. Adik kritikal. Tapi tak juga terkeluar. Peti suara seakan terkunci!
Bukankah Bonda terlalu sayangkan adik Amin! Di saat begini, mengapa Bonda begitu tenang dan yakin sekali dengan keputusan yang disuarakan sebentar tadi.
Ya Allah.

Pada 31 Mei 2014 ketika kami berangkat ke kota Mekah, Allah berikan ujian buat kami terutamanya Bonda! Dengan izinmu jua ya Allah, Kau panjangkan usia adinda kami Amin Fauzi, sehingga kami selamat menunaikan umrah. Kemudian Engkau berikan kesihatan kepadanya dan Engkau kembalikan kegembiraan buat Bonda kami dan keluarga.

Namun, Engkau lebih menyayangi adinda kami. Maka pada 2 Jun 2015, tepat setahun selepas peristiwa 31 Mei 2014 itu, Engkau ambil adinda kami kembali menghadap-Mu. Kami redha ya Allah. 

17 tahun kami dikurniakan kegembiraan dengan kehadiran seorang adik lelaki, dan selama 23 tahun kami sekeluarga diduga dengan ujian-Mu yang sangat hebat. Terima kasih Allah. 40 tahun, selama usia adik hidup di dunia, Engkau berikan kami banyak pengajaran hidup untuk sentiasa muhasabah diri. Kami insaf, dalam sekelip mata sekiranya Allah berkehendak segalanya boleh berubah. Kun fayakun! Sentiasalah bersyukur dengan setiap rezeki yang Allah berikan.

Pusara adinda kami di Tanah Perkuburan Parit Mahang.

Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.
(Al-Baqarah: 155-156)


Wajah Bondaku (yang memegang beg) pada hari penuh dilema sebelum berangkat menunaikan umrah. Inilah wajah kesayanganku, seorang insan yang paling tabah mengharung kepahitan hidup sehingga tiada lagi airmatanya yang tumpah.

Sehari selepas arwah dikebumikan, Amie baru sempat jejak kaki ke kampung.
Cerita Bonda:
Bonda duduk di dalam van jenazah yang menghantar arwah adik dari Hospital Ampuan Rahimah Klang sehingga sampai ke rumah pada pukul 11 malam. Jenazah disembahyangkan di masjid sebelum dibawa pulang dan akan dikebumikan keesokan pagi. 
Sepanjang malam Bonda tidur di sebelah jenazah adik. Bonda peluk jenazah adik. Bonda cium adik sepuas-puasnya.
Bonda terfikir, siapalah yang sudi datang ziarah jenazah adik keesokan pagi. Bonda redha sebab Bonda sedar semasa hayatnya, keadaan adik yang sangat aib, sentiasa membimbangkan dan menyusahkan orang kampung terutama kalau adik terlepas rantai kakinya. Biarlah, yang penting urusan pengkebumian berjalan lancar. 
Keesokan pagi, sembahyang jenazah tidak dapat dijalankan di dalam rumah kerana ruang tidak dapat menampung jumlah  orang kampung yang sangat ramai ingin turut serta. Sembahyang jenazah diadakan di halaman rumah yang lebih lapang.
Al-Fatihah.

34 comments

  1. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan berkebajikan.

    BalasPadam
  2. Allahu.. airmata tumpah membaca kisah adik Amie, seusia saya jika umurnya masih ada..

    Al-Fatihah kuhadiahkan buat Allahyarham Amin Fauzi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah bahagian hidup yang perlu dilalui dengan tabah walau penuh duka dan airmata. Hikmahnya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

      Padam

  3. إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
    Demi Allah yang maha mengetahui..Ada sesuatu yang terlekat dikerongkong tidak terluah.
    Dari semalam mata bergerak2.Kata orang itu tandanya nak menangis(tak percaya pun)tapi hari ini air mata tumpah juga bila membaca bait-bait ceritera ini.Terasa saya ada bersama dalam setiap peristiwa.Semoga roh Amin Fauzi ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aamiin ya Allah. Bonda saya mengharunginya selama 23 tahun. Melihat ketabahannya, kami anak-anak hanya mampu menangis dari jauh.

      Padam
  4. Tinggi betul ujian dihadapi bonds Kak Amie. Semoga tenang roh arwah di sana. Amin.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah Bonda kami. Puas menempuh dugaan hidup sehingga kering airmatanya.

      Padam
  5. Semoga arwah adik kak amie tenang di sana....

    BalasPadam
  6. semoga tenang roh arwah di sana...kasih sayang ibubapa terhadap anak2 sangat tinggi, unconditional..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aamiin ya Allah. Kasih sayang yang tiada tolok bandingannya. Allahu Akbar!

      Padam
  7. Al fatihah buat Allahyarham Amin Fauzi. Semuga Aalah memberikan kesihatan yang baik buat bonda amie. Aamiin

    BalasPadam
  8. Semoga rohnya dicucuri rahmat ..amennn

    BalasPadam
  9. Sebak saya membaca coretan ni, hampir tumpah air mata.
    Bonda Amie seorang yang hebat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah. Hati Bonda hanya dia saja yang tahu. Syukurlah, Bonda tetap kuat walaupun Ayahanda terlebih dahulu meninggalkan kami.

      Padam
  10. Al-fatihah.. anak syurga Amin Fauzi.. semoga arwah tenang di sana.. sedih sgt kisah famili akak... tabah betul ayahanda dan bonda akak menghadapi ujianNYA

    BalasPadam
    Balasan
    1. Allahu Akbar! Mudah-mudahan arwah bakal menghuni salah satu daru syurga Allah.
      Memang kena tabah, kita tidak tahu rahsia Allah. Segalanya boleh berubah sekelip mata dengan kehendaknya.

      Padam
  11. Innalillahiwainnailayhirojiuun..
    Sedih baca kisahnya.
    Moga Syurga tempatnya. Aamiin.

    BalasPadam
  12. Al fatihah untuk adik kak amie, Amin Fauzi.
    Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang orang beriman. Aamiin.

    BalasPadam
  13. Semoga arwah ditempatkan bersama org2 yg beriman..semoga pusaranya menjadi salah satu dari taman2 syurga

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aamiin ya Allah. Mudah-mmudahan makbul doanya.

      Padam
  14. Alfatihah dibaca...
    Semoga roh arwah tenang dan damai di sana...

    BalasPadam
  15. al fatihah sedih baca n3 amie...ujian hidup kita berbeza-beza

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul Kak PI.
      Kita kena redha dengan segala ketentuannya.
      Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

      Padam
  16. Allahu, berat ujian akak sekeluarga. Perit bila dengar kata kata orang kampung. Syukur ada yang memahami dan membantu. Setiap orang ujiannya berbeza.

    Alfatihah buat adik akak Amin Fauzi. Semoga rohnya tenang dan damai disana. Aaminn..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Allah turunkan ujian yang berbeza-beza kepada setiap hambanya untuk menguji keimanan.
      Aamiin ya Allah.

      Padam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe