Juadah Hari Raya : Sambal Goreng Daging (Daging Sekilo Bawang Sekilo)
10:53 PG
Hari ini Amie kongsikan resipi Sambal Goreng Daging. Sebelum ini banyak kali Amie kongsikan dengan nama resipi Daging Sekilo Bawang Sekilo. Nama resipi ini selalu menjadi bahan tawa kawan-kawan kerana hanya kata nama sahaja, dan tidak melengkapkan dengan kata kerja. Resipi ini dikongsi oleh rakan sekerja, Puan Imelda Shahriah Ishak hampir 20 tahun yang lalu. Katanya, resipi ini adalah resipi keluarga dari sebelah neneknya di Melaka. Malangnya, bila kami tanya apa nama resipi yang sangat sedap ini (pernah sekali Puan Imelda masak dan kami makan sama-sama), tidak dapat dijelaskan dengan tepat. Jadi, bila kami masak atau ingin makan, kami beri nama Daging Sekilo Bawang Sekilo. Pernah sekali Amie bertanya lagi kepada Puan Imelda menerusi FB yang sekarang sudah menetap di Gombak, katanya neneknya biasa sebut sebagai 'sambal goreng daging'. Nama itu lebih sesuai berbanding Daging Sekilo Bawang Sekilo kan?
Boleh rujuk di sini untuk entri lepas:
- Daging Sekilo Bawang Sekilo
- Sarapan Ketupat & Daging Sekilo Bawang Sekilo
- Daging Sekilo Bawang Sekilo
- Sambal Goreng Daging (Daging Sekilo Bawang Sekilo)
- Daging Sekilo Bawang Sekilo
Mungkin ramai yang tidak percaya dengan penggunaan sekilogram bawang besar untuk sekilogram daging. Tapi itulah hakikatnya, memang resipi ini menggunakan bahan dan sukatan yang sama jumlah beratnya.
Inilah sekilogram bawang besar.
Kupas bawang dan hiris kasar begini.
Gunakan cili besar warna merah. Encik Suami yang beli cili merah ini, dan kebetulan kena berbaris apabila nak masuk pasar. jadi, dibelinya sajalah mana dia nampak. Dah tak pilih mana yang segar dan mana yang dah lama. Sampai rumah, ada warna hijau dan warna merah. Syukurlah jumlahnya cukup untuk masakan Sambal Goreng Daging.
Seperti bawang besar, cili merah pun kena hiris juga. Amie gunakan 15 biji.
Inilah watak utamanya iaitu sekilogram daging. Amie gunakan daging import No. 2. Itu sahaja jenis yang ada di coldstorage. Jom kita mula masak.
Bahan-bahan:
1 kg daging - potong kecil (ikut suka saiz yang dikehendaki)
500ml santan cair
250ml santan pekat
5 ulas bawang putih - pecahkan dan cincang
1 kg bawang besar - hiris kasar
15 biji cili merah - hiris tipis
3 cm halia - tumbuk
5 cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 sudu kecil pati asam jawa
garam / gula / perasa pilihan
1/2 cawan minyak minyak
Cara memasak:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, halia, kulit kayu manis dan bunga lawang serta buah pelaga hingga wangi.
2. Masukkan lada merah dan terus kacau hingga layu.
3. Seterusnya masukkan bawang besar diikuti dengan daging.
4. Gunakan api besar. Kacau masakan sehingga daging berubah warna.
5. Kemudian masukkan 500 ml santan cair dan biarkan mendidih seketika. Kemudian perlahankan api. Tutup kuali.
6. Setelah kuah hampir kering dan bawang serta lada menjadi hancur, masukkan pula santan pekat serta garam dan gula / perasa pilihan serta pati asam jawa.
7. Kacau selalu supaya sebati dan tutup api setelah kuah pekat dan terbit minyak.
8. Sambal Goreng Daging siap untuk dihidangkan dan enak dimakan bersama nasi himpit / ketupat / roti dll.
Gunakan kuali atau periuk saiz besar sedikit supaya muat semua bahan yang dimasak.
Bila dah masuk bawang besar, hampir separuh periuk dia ambil ruang.
Boleh terus masuk daging, atau boleh juga tunggu sehingga bawang besar menjadi layu seperti gambar di bawah.
Kemudian masukkan daging.
Gunakan api besar. Selalu kacau masakan sehingga daging berubah warna dan kelihatan layu seperti gambar di bawah.
Masukkan santan cair. Biarkan mendidih seketika dan kemudian perlahankan api.
Tutup periuk / kuali.
Jangan lupa masukkan santan pekat setelah kuah hampir mengering. Ketika itu bawang dan cili merah sudah hancur dan daging pun cukup empuk. Masukkan juga segala perasa seperti garam / gula / perasa pilihan dan asam jawa. Kacau sekali-sekala supaya bahagian bawah sambal tidak hangus. Setelah terbit minyak, padamkan api dapur.
Sambal Goreng Daging dah siap!
Amie ambil masa lebih 2 jam untuk memasaknya.
Sambal Goreng Daging ini memang Amie selalu masak untuk hidangan hari raya dan juga untuk makan-makan bersama kawan-kawan di tempat kerja dan juga ketika berkelah.
Paling sedap makan Sambal Goreng dengan nasi himpit!
Perrgghhhhh!
5 comments
Kebetulan saya memang plan nak masak menu ini malam nanti....Thank you ye kerana sudi kongsi resipi.
BalasPadamSama2. Happy cooking.
PadamNampaknmenyelerakan laa.. selamat hariraya maaf zahir batin
BalasPadamSelamat hari raya juga. Mohon maaf zahir dan batin.
PadamRoyohaji ni mgkin ayahanda boleh bikin juadah ni. Lama masa memasaknya ya Amie. Cucu2 datang, sekelip mata, entek sak periuk!
BalasPadam