Mee Hoon Goreng dengan Daging
10:58 PG
Assalamualaikum, dan selamat pagi.
Selamat meneruskan ibadat puasa sunat 6 kepada yang sedang berpuasa. Moga sempurna amal ibadat kita sempena di bulan Syawal yang mulia ini.
Cuaca hari ini agak panas tapi sekali sekala awan kelihatan berubah warna menjadi gelap namun tidak lama kemudian kembali terang. Alhamdulillah. Maha Suci Allah yang menjadikan langit dan bumi serta seisi alam dengan peringatan agar kita sebagai makhluknya sentiasa bersyukur dan berfikir di sebalik segala rahmat yang diberi.
Ini cerita kelmarin pagi. Masak Mee Hoon Goreng dengan Daging untuk hidangan sarapan pagi. Barangkali agak lama Fuad tidak merasai air tangan ibunya, jadi setiap kali makan asyik disebut-sebut : Sedapnya! Rasa terharu sangat sebab tidak dapat dinafikan rupanya memang benarlah, air tangan ibu itu biar pun hanya masakan biasa-biasa saja, sentiasa dikenang anak-anak walau di mana mereka berada.
Fuad suka makan lobak merah. Jadi Amie bubuh hirisan lobak merah dalam mee hoon goreng. Jom kita lihat resipinya di bawah ini:
1 bungkus mee hoon - rendam dengan air sejuk sehingga lembut - toskan
1 cawan hirisan tipis daging lembu
12 biji bebola daging - belah 2
1 cawan hirisan lobak merah
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan
Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga terbit aroma.
2. Kemudian masukkan hirisan daging lembu. Masak sehingga lembut, dan tumisan pecah minyak.
3. Seterusnya masukkan lobak merah dan bebola daging. Kacau rata.
5. Masukkan pula mee hoon, dan gaul sebati.
6. Taburkan garam / gula / perasa pilihan. Gaul lagi.
7. Padamkan api dapur.
8. Hidangkan Mee Hoon Goreng dengan Daging dengan taburan bawang goreng dan hirisan daun bawang.
Menu tambahan: Karipap pusing (frozen) Kak Yong's Cookies.
0 comments