Resipi Nasi Beriani Udang & Kurma Telur
10:25 PTG
Jom masak nasi beriani ikut selera kita tanpa mengetepikan bahan asas yang perlu digunakan serta berkenalan dengan asal-usulnya. Nasi beriani sebenarnya merupakan nasi campur yang berasal dari Benua Kecil India. Walaupun sehingga kini asal-usul beriani belum dapat dipastikan sepenuhnya namun hidangan ini dikaitkan dengan masakan Mughlai di Utara India. Di India selatan pula, ia dikaitkan dengan masakan Hyderabad. Istimewanya masakan ini merupakan salah satu pengaruh utama Tamadun Islam di India.
Bila selak Kamus Dewan, katanya beriani ialah nasi yang dimasak dengan rempah-rempah (lauk, minyak sapi dan lain-lain). Apabila terlihat atau terbaca pelbagai versi masakan beriani, itu adalah variasi dalam penyediaannya. Ada yang masak nasi beriani secara berasingan dengan lauknya, dan ada yang masak sekali harung, lauk di dalam nasi sebagaimana yang kita selalu lihat di restoran dam di you tube.
Alhamdulillah.
Allah telah menjadikan manusia bersuku-suku dan berbangsa, untuk saling kenal-mengenal sesama kita. Kenali sekali budayanya kerana kelainan budaya itu mampu memupuk perpaduan dan rasa hormat-menghormati. Dan makanan juga merupakan salah satu daripada cabang budaya setiap kaum.
Juadah berbuka puasa kami hari ini Nasi Beriani Udang dengan Kurma Telur.
Amie gunakan udang harimau laut. Sekilogram udang harimau setelah dibuang kulit dan kepala, berat isinya tidak sama dengan udang kertas dan udang bemban. Kulit udang harimau tebal dan lebih berat berbanding kulit udang kertas.
Setelah dibersihkan 800 gram, dapatlah hasilnya di bawah ini.
Bahan-bahan untuk beriani udang:
800 gram udang - bersihkan - buang kulit dan kepala - belah belakang - buang urat hitam
2 labu bawang besar - mayang kasar
2 biji tomato - cincang
2 helai daun bay
2 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar rempah beriani
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 sudu kecil sajira jika ada (Amie gunakan jintan manis)
2 helai daun bay
2 sudu besar jus limau nipis (boleh gunakan yogurt)
1 pokok ketumbar
7 tangkai daun pudina (jika ada)
2 sudu besar mentega
1 sudu besar minyak sapi
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
2 cm halia
3 ulas bawang putih
3 biji cili hijau
Bahan-bahan untuk nasi:
3 cawan beras basmathi - cuci - toskan - kemudian rendam selama 20 minit
2 helai daun bay
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 sudu kecil garam
1.5 liter air
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar air mawar
2 sudu besar air rendaman saffron - rendam saffron dengn air panas
Antara bahan yang Amie gunakan dalam masakan beriani udang.
Penggunaan bawang besar dan tomato menambah keenakan masakan beriani kerana bahan ini menimbulkan rasa masam manis semulajadi. Kenalah bersabar sedikit sewaktu memasaknya kerana bawang dan tomato perlu dimasak hingga hancur. Masak dengan penuh kasih sayang tau! In shaa Allah hasilnya sedap.
Untuk rempah beriani pula, Amie hanya gunakan satu sudu besar sahaja sebab Amie sukakan rasa rempah yang ringan dalam masakan.
Bila Amie minta Encik Suami ambilkan daun pudina di belakang rumah, katanya pokok pudina sudah mati! Entahlah... betul ke tidak? Kita pun malas nak ke belakang rumah. Jadi, tak adalah daun pudina dalam masakan beriani. Tak ada daun pudina pun menjadi juga masakan itu nanti. Kita gunakan daun ketumbar saja.
Sekarang ini banyak barang dapur yang diperlukan mula berkurangan dan ada yang tidak ada di kedai. Biasanya Amie ada simpan yogurt, tapi bila nak gunakan pada hari ini, tak ada pula. Jadi Amie gantikan yogurt dengan jus limau nipis.
Wokey, beriani udang sudah siap. Kita lihat cara olahannya.
1. Panaskan minyak sapi dan mentega di dalam kuali.
2. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih, jintan manis serta daun bay.
3. Setelah terbit aroma, masukkan pula bawang besar dan tomato cincang. Gunakan api sederhana supaya bawang besar dan tomato masak sekata hingga hancur.
4. Seterusnya masukkan bahan kisar iaitu cili hijau, halia dan bawang putih, serbuk rempah beriani, serbuk kunyit dan serbuk cili. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
5. Masak sehingga pecah minyak. Kemudian masukkan udang, garam / perasa pilihan.
6. Setelah udang masak, tuangkan jus limau nipis. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur. Ketepikan.
Jika tidak suka beriani udang agak berkuah, tak perlu bubuh air tetapi masaklah dengan api perlahan sahaja sehingga pecah minyak.
7. Tos beras basmathi yang direndam. Masukkan dalam periuk bersama 1.5 liter air. (Boleh bubuh lebih)
8. Masukkan daun bay, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan garam.
9. Jerang di atas dapur gas sehingga nasi 3/4 masak.
11. Oleskan 2 sudu besar minyak sapi di dalam periuk.
12. Kemudian masukkan separuh nasi ke dalam periuk.
13. Masukkan beriani udang, dan susun di atas nasi tadi.
14. Taburkan daun ketumbar. Kalau ada daun pudina boleh tabur sekali.
15. Taburkan juga bawang goreng.
16. Tutup beriani udang tadi dengan separuh lagi nasi.
Jangan lupa saffron yang direndam dengan air panas. Dan kemudian tapis.
Ini saffron yang direndam serta air mawar.
18. Taburkan buah kacang gajus dan kismis. (Kacang gajus itu Amie sudah goreng terlebih dahulu).
19. Letakkan periuk di atas dapur gas, dan buka api kecil. Masak selama 15 minit.
Sementara itu bolehlah siapkan Kurma Telur.
Acar timun campur tomato.
Dan papadom. Fairuz tolong goreng papadom...ahaks!
21. Nasi beriani udang sudah masak. Bolehlah dihidangkan untuk berbuka puasa.
Bismillah.
Seperti biasa, tukang buat air hari ini sediakan satu jug jus tembikai.
Jom makan Nasi Beriani Udang.
Dengan lauk tambahan, acar timun dan Kurma Telur yang sangat sedap!
4 comments
Rajin sungguh Amie..
BalasPadamNampak sedap sungguh..
Terima kasih... Nak beli tak ada orang jual. Jadi kenalah rajinkan diri masuk dapur hihihiii.
Padamberiani ayam ke daging pernah makan. yang udang dan kurma telur ni belum pernah cuba lagi. confirm sedap ni sebab udang tu favourite.
BalasPadamUdang masak apa pun sedap sebab memang udang dah sedia sedap heheheeee.
Padam