Resipi Warisan : Sambal Goreng Kacang Tolo
1:18 PTG
Kita selalu dengar Sambal Goreng Jawa yang sangat sinonim dengan nasi ambeng, dan semasa tradisi punjungan dalam kalangan masyarakat Jawa. Kali ini Amie ingin kongsikan pula Sambal Goreng Kacang Tolo yang sangat popular sebagai salah satu hidangan ketika kenduri kahwin di kampung. Oleh kerana sudah lebih 28 tahun menjadi anak dagang di negeri orang, tak pasti pula adakah menu yang satu ini masih dihidangkan atau sebaliknya. Kadang-kadang sewaktu Amie bercuti di kampung dan menghadiri majlis kahwin, Amie turut sama menghadiri undangan ke majlis kahwin. Memang banyak sangatlah perubahannya termasuk dari segi penyediaan makanan. Orang kampung kami pun lebih senang menempah makanan sahaja berbanding bergotong-royong atau rewang seperti dulu-dulu.
Jadi, hidangan pun jelas banyak berubah!
Sambal Goreng Kacang Tolo?
Setakat ini, hanya tinggal kenangan yang berakhir pada zaman remaja!
Sambal Goreng Kacang Tolo diolah bersama beberapa bahan lain termasuk organ dalaman lembu seperti perut, pipi lembu dan lidah lembu. Kalau dahulu, apabila orang kampung kami mengadakan majlis perkahwinan, sudah tentulah akan tumbang seekor dua lembu. Memang semua bahagian lembu akan dimanfaatkan, dimasak pada hari yang sama lembu disembelih. Dulu mana ada peti sejuk nak simpan daging lembu yang sudah dilapah! Kulit lembu pula, akan dijemur hingga kering (lebih kurang 3 bulan) dan kemudian dibakar, direndam dan menjadi belulang yang lembut, seterusnya dimasak.
Orang kampung kami panggil kacang tolo, dalam bahasa Melayunya kacang mata hitam. Bahasa Inggerisnya pula Black Eye Pea. Bonda dan Ayahanda pernah menanam kacang mata hitam ini di kebun. Kami suka kutip buah kacang ini, ambil isinya dan rebus. Makan begitu saja, dan rasanya sungguh sedap!
Sambal Goreng Kacang Tolo ini akan Amie temui apabila pulang berhari raya di kampung laman. Itu pun kalau kakak Amie masak. Kalau ada orang kampung, jiran tetangga dan saudara-mara munjung, dan ada Sambal Goreng Kacang Tolo ini, dah seronok sangat! Kami suka ratah-ratah sahaja sambal ini. Rasanya tidaklah pedas kerana hanya gunakan cili besar. Entah kenapa diberi nama 'sambal' pula!
Di bawah ini Amie kongsikan gambar kacang tolo @ kacang mata hitam. Amie gunakan separuh sahaja kacang tolo untuk dijadikan sambal goreng.
Jom kita masak Sambal Goreng Kacang Tolo. Kacang ini tak perlu direndam, terus rebus sahaja hingga empuk lebih kurang 45 minit hingga 1 jam.
1/2 cawan kacang tolo - rebus hingga empuk / lembut - toskan
1 cawan perut lembu yang sudah direbus hingga lembut - potong kecil
1 cawan pipi lemu yang sudah direbus hingga lembut - potong kecil
1 cawan kentang (potong dadu) yang sudah digoreng hingga masak
1 cawan suhun yang sudah direndam / kalau tak mahu rendam goreng pun boleh
2 keping tauhu kering - rendam hingga lembut - potong - toskan
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga terbit aroma.
2. Masukkan tauhu kering, perut lembu dan pipi lembu. Gaul rata dan biarkan seketika.
3. Masukkan kacang tolo dan kentang goreng serta suhun. Kacau.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Gaul beberapa kali, dan padamkan api dapur.
Sambal Kacang Tolo ini Amie hidangkan bersama rendang daging dan serunding kelapa, makan dengan ketupat pulut dan nasi himpit pada 15 Ramadhan, ketika sambutan malam ketupat masyarakat Melayu Cocos.
Sekian.
Cerita malam ketupat, pada 15 Ramadhan yang lalu.
12 comments
nampak menyelerakan lah
BalasPadamKami panggil kacang putih kak, kacang ini pun memang nostalgia, keluarga suka tanam, pucuk buat sayur bening campur buah muda dia dan jantung pisang. Buah tua keringkan dan buat benih lagi atau olah dengan menu lain....menu arwah nenek dulu banyak guna kacang ini.
BalasPadamAssalamualaikum kak amie...
BalasPadamWah unik betul sambal goreng kacang tolo ni...memang tak pernah tahu pun.Rasanya kacang ni selalunya ada dalam ketupat tak pasti pulak nama kacang apa..
Menariknya kak, dana tak pernah makan kacang ni... mesti sedap kan
BalasPadamSedap sambal goreng jawa tapi yang sambal goreng kacang tolo ni belum pernah nampak lagi.apatah lagi makan.
BalasPadamHans Hanis,
BalasPadamterima kasih.
Nasa Mulia,
saya pun pernah dengar juga namanya kacang putih. Betul tu, pucuk yang muda emak pun buat sayur.... banyak dah lupa kacang nostalgia ini.
Lina,
BalasPadamwaalaikumussalam...
Betul tu, memang ada dalam ketupat. Heheee... teringat semula waktu di kampung dulu, kalau ada orang datang munjung dekat nak raya, ada sejenis 'lepet' pulut campur kacang ni... alahai rindunya lepet! Selain ketupat, memang orang kampung kami buat lepet ini, dan dalamnya ada kacang ni.
Dana,
BalasPadamsedap ni Dana, lemak-lemak lembut.
Azhafizah,
resipi ini memang dah jarang orang buat, di kampung kakak pun susah dah nak jumpa.
Kacang tolo ni selalunya kita orang buat lepat pulut. Buat sambal goreng dah jarang orang buat tapi sesekali terjumpa bestnya.
BalasPadamAdakah kacang tolo tu kacang soya?
BalasPadamYa kacang soya
BalasPadamDulu2 kenduri kg org jawa sllu buat.mmg sedap sgt.skrg diaorg dh tak buat..sedih.kt tempat sy di letak santan sedikit
BalasPadam