Mee Kering (Mee Sabah) Goreng Pedas
9:50 PTG
Jom berkenal-kenalan dengan mee kering dari Sabah.
Mee kering ini memang sangat terkenal dan menjadi pilihan nombor satu di Negeri di Bawah Bayu. Ada banyak jenama pilihan, tetapi Encik Suami paling suka mee kering cap udang. Banyaklah pula pilihan cap udang ini. Ada udang seekor, ada udang dua ekor, ada udang tiga ekor! Kedudukan udang pula pelbagai, ada yang seekor ekornya di bawah, seekor lagi kepala di bawah, ada dua ekor udang peluk jenama dan macam-macamlah! Biasanya satu bungkus beratnya 400 gram. Ramai yang suka beli bungkusan besar seberat 3 kilogram. Kalau Encik Suami beli bungkus besar memang dekat dua bulan jugalah kami nak habiskan sebab bukannya nak masak hari-hari. 3 kilogram itu kalau diolah, boleh buat sarapan untuk ibu-ibu di kampung yang datang menolong untuk kenduri!
Mee kering ini perlu dicelur terlebih dahulu sebelum digoreng. Rasanya lembut dan kenyal dan tidak mempunyai sebarang aroma atau bau seperti mee kuning atau mee basah di tempat kita di Malaya.
Oleh kerana menunggu hari menjelang petang sedikit sebelum masak mee kering ini, jadi gambar pun ikut jadi gelap kerana matahari sudah beransur menggelongsor turun ke tempat peraduannya. Okey, mari kita masak mee kering ini untuk dijadikan mee goreng.
400 gram mee kering (1 bungkus) - celur - toskan - bilas - toskan sekali lagi
2 keping fish cake - hiris
10 biji fish ball - belah 2
2 pokok sawi - pisahkan batang dan daun
1 kepingan ayam bahagian sukuan peha - cincang
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos cili Thai
1 sudu kecil sos ikan
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan - jika perlu
Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
7 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Ini dia mee kering yang sudah dicelur dan dibilis, kemudian ditoskan. Jom kita goreng.
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit bau.
2. Masukkan ayam cincang dan biarkan masak hingga ayam empuk.
3. Kemudian masukkan batang sawi, fish ball, fish cake, sos titam, sos ikan, sos cili Thai dan kicap lemak manis. Kacau sebati.
4. Seterusnya masukkan mee bersama daun sawi. Jika perlu tambahkan garam / gula / perasa pilihan. Amie tak tambah sebab kesemua sos sudah mempunyai rasa yang sempurna.
5. Setelah dikacau rata, biarkan seketika dan kacau dua tiga kali lagi. Padamkan api dapur.
Mee Kering (Mee Sabah) Goreng Pedas sedia dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa. Oleh kerana mee goreng sudah ada rasa pedas, jadi Amie tidak sediakan kicap lada sebaliknya tambah cili jeruk.
Cili jeruk ini walaupun agak lama Amie simpan dalam suhu bilik (tak masuk peti sejuk) tapi tetap bertahan elok dan rangup! Lepas ini memang Amie nak buat cili jeruk cara yang sama! Amie buat cili jeruk ini pada 5 April! Nampaknya hampir sebulan jangka hayatnya tapi masih elok sempurna malah bertambah sedap pula!
Boleh klik sini untuk membuat cili jeruk rangup : Mudahnya Membuat Cili Jeruk Rangup!
4 comments
wOW SEDAP nampak mee goreng kering. SS pun dah jemu hari2 makin nasi. maybe lepas ni buat mee la pulak. Biasanya Sabahan akan makan dengan sos kan?
BalasPadamSedapnya kak, simple tapi mesti dapat sambutan anak2
BalasPadamOhh ni namanya mee kering sabah. Macam meggi. Sedap tu masak pedas makan dengan cili jeruk pulak tu..aduhh sedap betul rasanya
BalasPadamSenyum Semut,
BalasPadamsosnya lebih kurang kicap lada, biasanya ditambah bawang putih mentah dan perahan jus limau kasturi.
Dana,
ye, pilihan nombor satu Sabahan juga.
Azhafizah,
Betul tu, macam maggi tapi lebih kenyal dan saiznya lebih besar.