Resipi Kacang Gajus Goreng dengan Bawang Putih, Daun Kari dan Minyak Sapi
11:49 PG
Jom buat kudap-kudapan daripada kacang gajus.
Kacang gajus goreng merupakan salah satu hidangan wajib di antara pelbagai biskut dan kuih-muih raya. Senang sangat nak sediakan kudapan ini. Kacang gajus boleh digoreng dengan minyak, boleh juga dipanggang. Selain penggunakan minyak masak, Amie juga pernah goreng gunakan marjerin. Oleh kerana marjerin sudah ada rasa masin, jadi tak perlu tambahkan garam lagi. Tapi terpulang ikut citarasa masing-masing.
Kak Yong's Cookies, sifu masak-masak kami cadangkan goreng kacang gajus dengan menggunakan minyak sapi.
Wokey! Satu saranan yang sangat baik. Mari kita cuba.
Inilah hasilnya kacang gajus yang digoreng dengan menggunakan minyak sapi. Amie tambahkan bawang putih dan daun kari serta perasa Maggi Cukup Rasa. Untuk resepi kacang gajus Amie yang lain, boleh klik di sini: Kacang Gajus Buat Kudapan. Untuk resipi kali ini, kita semak di bawah ini:
Bahan-bahan:
1 kg kacang gajus - bilas - toskan - jemur hingga kering
1 labu bawang putih - kisar kering
4 pelepah daun kari
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
100 gram minyak sapi
Kalau nak tumbuk bawang putih pun boleh, tapi nanti hasilnya setelah kacang gajus masak digoreng seperti ada serdak-serdak gelap. Daun kari itu Amie biarkan begitu saja. Apabila digoreng bersama kacang gajus, di akhirnya daun kari ikut hancur. Yang penting kita dapat aromanya.
Amie gunakan 100 gram sahaja miyak sapi ini.
Kacang gajus dibilas dalam penuras atau bekas penapis terlebih dahulu, dan kemudian ditoskan. Seterusnya jemur di bawah cahaya matahari sehingga kering. Tentang menjemur hingga kering kacang gajus ini, terpulanglah ikut cara masing-masing. Ada yang bilas, tos dan goreng. Kalau Amie, memang Amie jemur dulu.
Amie teringat cerita kawan Amie beberapa tahun lalu tentang kacang gajus gorengnya. Katanya 2 hari dia masak tapi kacang gajus tak menjadi seperti yang diharapkan. Setelah digoreng, kacang gajusnya masih lembut walaupun digoreng lama dalam kuali. Keesokan harinya dia panggang pula, tetapi lembut juga. Setelah disiasat oleh kawan-kawan, rupanya kawan kami tu cuci kacang gajus dengan cara merendam, dan kemudian baru ditos. Mungkin proses rendamannya agak lama, jadi kacang gajus pun masuk air! Kami ketawa tak berhenti mendengar ceritanya! Dari situ, ada cadangan kawan yang lain, sebelum digoreng elok jemur terlebih dahulu kacang gajus tersebut.
Cara:
1. Masukkan kacang gajus yang sudah kering tadi ke dalam sebuah bekas. Gaulkan dengan bawang putih, daun kari dan perasa.
2. Panaskan minyak sapi. Masukkan kacang gajus.
3. Gunakan api perlahan. Kacau selalu supaya masak sekata.
4. Setelah kacang gajus berwarna keemasan, bolehlah angkat dan toskan.
5. Sejukkan terlebih dahulu sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
Inilah Resipi Kacang Gajus Goreng dengan Bawang Putih, Daun Kari dan Minyak Sapi.
3 comments
Sedap Tu Amie..
BalasPadamMenghadap TV tak sedor dah habis sebalang 🤭😁
favourite ni kacang gajus. Kalau buat macam ni lagilah menghadap tak berhenti makan. tapi tu lah kan, harga kacang gajus boleh tahan mahal juga. huhu
BalasPadamCahayahidupku,
BalasPadambetul sangat.... jangan lupa sebotol minuman kosong heheee.
Azhafizah,
sedapkan, harga gajus pun tak menentu sekarang ni.