Resipi Rendang Daging Mudah Tapi Sangat Sedap!
4:07 PTG
Hari ini Amie kongsikan resipi rendang daging yang Amie masak 2 hari lepas sempena sambutan malam ketupat. Sebelum ini Amie pernah paparkan dengan panjang lebar asal-usul rendang, mengapa ada rendang kering warna coklat kehitaman, dan ada rendang basah yang berwarna coklat terang keemasan menyerupai kalio. Jika anda rajin membaca dan memahaminya, anda akan faham mengapa sesetengah masakan rendang mengandungi rempah-rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan sebagainya dan mengapa sesetangah hidangan rendang tidak mengandungi bahan tersebut tetapi rasanya begitu enak ketika dinikmati!
Untuk masakan rendang daging kali ini Amie memilih untuk memasak seperti kebiasaannya, campur semua bahan sekali harung dan lebur dalam periuk / kuali.
Masakan rendang begini memang selalu dinanti-nantikan anak-anak. Mereka suka makan bersama nasi himpit, buras atau ketupat. Makan dengan nasi dan roti pun sangat sedap! Kadang-kadang tak sempat kita nak makan puas-puas, tengok di dapur, rendang sudah licin!
Amie banyak gunakan bawang dalam masakan rendang ini. Misalnya untuk 2 kilogram daging, Amie gunakan 750 gram bawang besar dan 250 gram bawang merah. Cilinya pula, Amie gunakan cili kering kurang pedas. Alhamdulillah, setakat ini belum dengar komen rendang ini 'tidak sedap' melainkan sedap belaka.... ahaks!
Sebelum kita merendang, terlebih dahulu sediakan bahan yang diperlukan seperti bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, serai, kunyit hidup, daun limau purut dan juga daun kunyit. Biasanya lengkuas hanya diketuk, tetapi Amie kisar sekali bersama halia.
Tak nampak hirisan lengkuas dalam gambar sebab tertutup oleh hirisan halia.
Hiris dahulu serai sebelum dikisar halus.
Amie gunakan daging lembu gred 1A seberat 2 kilogram.
Santannya pula Amie kisar 4 biji kelapa untuk mendapatkan 2 liter santan. Bayangkan apabila santan bertemu dengan bawang yang banyak, ditambah pula dengan segala bahan lain termasuk gula melaka dan kerisik! Apa agaknya rasa yang akan dihasilkan? Amie tidak kisar sekali harung bahan-bahan yang hendak dihaluskan kerana pengisar tak cukup besar untuk memuatkan kesemua bahan. Jadi Amie kisar asing-asing. Nanti bertemu juga bahan kisar ini kesemuanya di dalam periuk! Jom kita masak.
2 kg daging - potong ikut saiz yang disukai
2 liter santan dari 4 biji kelapa
6 sudu besar kerisik
6 helai daun kunyit - dihiris
5 helai daun limau purut - buang urat belakang
100 gram gula melaka
garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
10 ulas bawang putih
750 gram bawang besar
250 gram bawang merah
3 cm halia
3 cm lengkuas
3 cm kunyit hidup
7 batang serai - hiris
25 tangkai cili kering
Cara:
1. Tuangkan santan ke dalam periuk / kuali.
2. Masukkan daging lembu.
3. Tambahkan semua bahan kisar.
4. Masukkan gula melaka dan kerisik, garam /perasa pilihan secukupnya.
5. Masak bahan rendang menggunakan api besar sehingga mendidih dan kemudian perlahankan api.
6. Kacau sekali-sekala supaya rendang tidak hangus.
7. Apabila kuah mulai mengering, masukkan daun limau purut dan hirisan daun kunyit.
8. Jika suka rendang yang agak basah, tidak perlu tunggu sehingga kuah kering.
9. Padamkan api dapur.
Santan daripada 4 biji kelapa sudah bertemu dengan 2 kg daging lembu.
Gang bahan kisar berjumpa di dalam periuk termasuk bawang besar, bawang merah, bawang putih, serai, halia dan lengkuas.
Jangan lupa masukkan cili kering kisar. Amie rebus cili kering terlebih dahulu sebelum dikisar. Kalau suka lebih pedas boleh gunakan cili kering yang rasa pedas atau gunakan saja cili padi.
Kalau nak terus jerang atas dapur pun boleh, tapi Amie nak masukkan semua bahan di dalamnya. Apa lagi ye? Ada yang tertinggal kot?
Oh! Amie masukkan sekali kerisik.
Dan juga gula melaka.
Garam / perasa pilihan nak masukkan sekarang pun boleh, nak masuk kemudian ketika rendang mula pecah minyak pun boleh.
Untuk aroma yang lebih menggoda, pastikan hirisan daun kunyit dan daun limau purut berada dalam periuk rendang anda!
Sekian.
Cerita rendang daging lembu untuk perkongsian resipi hari ini.
Dah masuk waktu Asar. Nak solat, dan kemudian masuk dapur. Tak tahu nak masak apa pula untuk juadah berbuka puasa petang ini.
2 comments
bila raya..menu rendang ni fav la..slalu makmertua buat rendang ayam..tk pernah lg kita masak rendang..slalu mkn org masak je
BalasPadamMama Tisya,
BalasPadammasakan rendang orang lama memang sedap, kakak suka!