Lidah Lembu Tumis Tom Yam
9:59 PTG
Hari ini buka puasa makan nasi, lauk ikan kerisi goreng dan Lidah Lembu Tumis Tom Yam. Fairuz sediakan jus epal. Kita rebus longan dengan halwa kundur, minum panas waktu berbuka!
Jiran sebelah kanan rumah hulur seperiuk kecil barobbo panas (bubur jagung masakan tradisi Bugis) dengan pegedil jagung. Cantik sungguh barobbo, dan rasanya sungguh enak. Waktu berbuka puasa itu juga, habis Fairuz dan Encik Suami makan! Pegedil jagung pula, Firdaus ratah seorang! Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Moga tambah erat silaturahim sesama jiran tetangga. Kelmarin jiran sebelah kiri rumah hulur kuih kaswi. Sangat sedap! Nanti senang-senang nak berguru pula bagaimana untuk menghasilkan kuih kaswi yang sangat sedap itu!
Malam ini Amie kongsikan resepi Lidah Lembu Tumis Tom Yam. Mudah sahaja cara masakannya, dan yang penting lidah lembu sudah sedia direbus sehingga empuk.
Bahan-bahan:
400 gram lidah lembu yang sudah direbus lembut- hiris ikut saiz kegemaran
2 kiub tom yam KNORR - hancurkan
1 batang serai - diketuk
5 helai daun limau purut - buang urat belakang - ramas
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos ikan
10 biji kacang buncis - bersihkan dan potong-potong
7 biji cili padi
3 sudu besar minyak
1/2 cawan air
Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
4 hirisan halia
4 hirisan lengkuas
Cara memasak:
1. Panaskan minyak.
2. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, cili padi, cili merah dan cili hijau hingga terbit aroma.
3. Masukkan lidah lembu, dan taburkan perencah tom yam. Tuangkan air.
4. Kacau sebati dan kemudian masukkan sos tiram dengan sos ikan. Biarkan seketika sehingga kuah mendidih.
5. Masukkan kacang buncis serta daun limau purut. Gaul beberapa kali.
6. Setelah kacang buncis dan daun limau purut berubah warna, padamkan api dapur.
Sekian.
Kisah Lidah Lembu Tumis Tom Yam.
2 comments
sedapnya lidah lembu tu...dkt area umh ada kedai yg ada menu lidah ni..mmg slalu juga la mkn...slalunya mkn menu lidah masak merah..ni musim PKP lama dh tk buka
BalasPadamMama Tisya,
BalasPadamsedapkan, tapi kena rajin bersihkan heheee.