Kengsom Ikan Siakap Versi Narathiwat
8:48 PTG
Jumpa lagi.
Kali ini Amie kongsikan lauk hidangan makan tengahari (sebenarnya hidangan berbuka puasa), yang dibawa ke petang. Sebahagian isi rumah berpuasa, sebahagiannya lagi tidak. Mereka sepakat mahu makan bersama waktu berbuka puasa.
Oleh kerana Fuad memang suka makan ikan, jadi Amie pun masak menu ikan untuk hari ini. Amie masak Kengsom Ikan Siakap. Resepi kengsom ikan ada di sini : Resipi Sedap Keng Som Ikan Jenahak. Resipi yang Amie gunakan sebelum ini ikut versi Songkhla. Untuk hari ini Amie masak kengsom versi Narathiwat pula. Bahannya masih sama, cuma versi Narathiwat ditambah serai yang dikisar bersama bahan perencah yang lain.
Seronok betul Fuad bila turun ke dapur kerana dapat menghidu aroma pelbagai lauk kegemarannya. Maklumlah, Fuad perlu patuhi penjarakan sosial dengan ahli keluarga. Turun pun sekali-sekala sahaja. Selebihnya banyak masa berkurung dalam bilik.
Selain Kengsom Ikan Siakap, Amie masak Udang Butter Telur Masin dan Terung Masak Taucu Pedas. Telur dadar itu Fairuz yang goreng. Dari kelmarin Fuad asyik sebut udang telur masin, sotong telur masin.... menu itu memang digemari Farid dan Fuad. Katanya, dia tak jumpa udang atau sotong telur masin di kolej.... ahaks!
Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap seberat 900 gram - bersihkan dan potong 6 keping
15 batang kangkung - petik pucuk dan daun muda
7 tangkai daun kesum
600 gram nanas - kupas kulit - potong-potong ( bahagi 2- 300 gram untuk dikisar - 300 gram lagi untuk dimasak )
1 sudu besar gula Siam
1 sudu besar sos ikan
2 biji limau nipis - ambil jusnya
1.2 liter air
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
15 biji cili padi merah
4 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris-hiris
2 biji cili merah
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cm kunyit hidup
1 sudu besar belacan Siam
300 gram nanas
1. Masukkan bahan kisar ke dalam kuali / periuk dan kacau perlahan-lahan sehingga bahan ini tersejat (mengering) dengan menggunakan api perlahan.
2. Masukkan air dan nanas. Masak sehingga air mendidih dan nanas menjadi layu.
3. Kemudian masukkan ikan siakap, sos ikan, garam, gula Siam dan perasa pilihan. Kacau perlahan-lahan. Ikan siakap isinya lembut dan tidak perlu masak lama.
4. Seterusnya masukkan kangkung dan daun kesum.
5. Setelah kuah mendidih sekali lagi dan kangkung berubah warna, tuangkan jus limau nipis. Kacau dua tiga kali dan padamkan api dapur.
2 comments
semua masakan nampak sedap XD
BalasPadamlalu sini, done follow :D
Nurul Husna,
BalasPadamterima kasih sudi singgah.