Pegedil Jagung @ Perkedelek Kudapan Kegemaran
10:33 PG
Hari ini, 18 Ramadhan.
Syukur ya Allah atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada segala mahkluk di muka bumi-Mu. Sesungguhnya kami hanyalah hamba-Mu yang dhaif, kerdil dan lemah. Ampunilah segala dosa dan kesilapan yang kami lakukan sama ada secara sedar atau sebaliknya. Sesungguhnya Engkai Maha Pengampun, dan kami selemah-lemahnya hamba. Tunjukkanlah kami jalan yang benar dalam mengharungi hidup di dunia ini.
Pagi ini Amie kongsikan satu resipi berasaskan jagung yang menjadi kudapan kegemaran kami sekeluarga iaitu pegedil jagung atau perkedelek. Perkedelek ini selalunya dimakan bersama barobbo' atau bubur jagung, masakan tradisi masyarakat Bugis. Biasanya kami beli saja perkedelek ini di bazar Ramadhan tetapi kali ini kena buat di dapur sendiri.
Sebelum ini Amie pernah kongsikan beberapa kali resipi ini di sini: Pegedil Jagung @ Perkedelek.
Anak buah Encik Suami agih-agihkan hasil tanaman jagung kepada keluarga dan sanak saudara. Oleh kerana jumlahnya agak banyak, kami bahagikan pula kepada jiran-jiran. Setelah Amie buang kulit jagung, Amie letakkan jagung tadi di sudut dapur, dan tidak sempat untuk mengolahnya. Keesokan petang, barulah Amie tersedar jagung hampir kecut. Cepat-cepat Amie hiris.
Mula-mula kita hiris isi jagung. Bukan hiris terus sampai ke batang, tapi hiris nipis beberapa kali sampailah ke batang jagung. Amie dapat 4 kali hirisan. (Gambar bawah: Panduan dari entri lama).
Kalau kita gunakan jagung yang masih segar, memang nampak lembut dan berair seperti gambar di atas. Gambar di bawah, jagung yang mula kurang kesegarannya tapi masih ok.
6 batang jagung manis - hiris biji jagung dari batang
3 sudu besar tepung jagung
3 sudu besar tepung gandum
1 labu bawang besar - cincang
5 tangkai daun sup - hiris
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
2 biji telur
garam / gula / perasa pilihan
minyak
Ini antara bahan yang digunakan untuk membuat adunan jagung. Telur dalam gambar hanya sebiji, jadi kena tambah lagi sebiji.
1. Sediakan mangkuk besar untuk membuat adunan jagung.
2. Masukkan jagung hiris, hirisan daun sup, dan hirisan bawang besar.
3. Seterusnya masukkan tepung jagung dan tepung gandum.
4. Tambahkan lada putih tumbuk dan garam / perasa pilihan secukupnya.
5. Kemudian masukkan telur dan gaul. Boleh masukkan dua biji telur sekali harung atau masuk sebiji-sebiji seperti yang Amie buat di bawah ini.
Oleh kerana adunan agak kering, jadi Amie tambahkan sebiji telur lagi.
7. Panaskan minyak. Dalam bab minyak ni, sebab nanti pegedil jagung tu jadi leper, jadi tidak perlu bubuh minyak terlalu banyak.
8. Ambil satu sudu besar adunan dan letakkan dalam kuali. Adunan akan terbentuk sendiri.
11. Angkat dan toskan.
Pegedil Jagung @ Perkedelek ini sebenarnya Amie buat minggu lepas tapi baru sempat dijadikan entri pada hari ini. Sewaktu berbuka puasa, Firdaus tidak mahu menjamah nasi. Bila ternampak perkedelek ini, katanya dia nak makan semua! Berebutlah dua beradik Fairuz dengan Firdaus nak makan perkedelek! Selepas solat terawih, dia sambung semula makan perkedelek ini.
Buat pertama kalinya, kita yang buat perkedelek di dapur sendiri akhirnya tidak dapat makan sekeping pun... kah! Patutlah Firdaus tak mahu makan nasi, rupanya kekenyangan makan perkedelek!
Lain kali Mommy buat lagi ye sayang!
2 comments
Tak pernah makan lagi kuih ni. Nampak sedap sebab jagung tu favourite juga
BalasPadamAzhafizah,
BalasPadammakanan ini popular dalam kalangan masyarakat Bugis.