Buli Membawa Kepada Pembunuhan Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu : Allahyarham Muhammad Nazmie Aizat

1:29 PTG

Bismillahirrahmanirrahim.
Peristiwa kematian Allahyarham Muhammad Nazmie Aizat, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu sudah tular di seluruh negara. Ia bukan lagi kisah duka sebuah keluarga. Ia sudah tidak dapat ditutup lagi, dan pemergiannya meninggalkan pelbagai rasa dan seribu satu persoalan yang masih belum terjawab.

Allahyarham merupakan cucu kepada kakak Encik Suami. Kakak Encik Suami pula mengasuh Firdaus sejak hari pertama kelahirannya sehinggalah usia Firdaus empat tahun ketika Firdaus masuk ke sekolah tadika. Kiranya Allahyarham ini cucu buah kepada Encik Suami.


Dalam entri ini Amie hanya mampu tuliskan apa yang kami dengar sendiri dari keluarga terdekat. Selebihnya, boleh dinilai sendiri melalui pelbagai paparan di media sosial yang masih tular tanpa henti. Sesungguhnya, Amie merasakan seolah-olah peristiwa yang menimpa ke atas Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berulang kembali tetapi di tempat yang berbeza.

Pakar forensik menyelesaikan tugasnya membuat post mortem ke atas jenazah seawal pukul 10 pagi sehinggalah pukul 6 petang. Selepas mahgrib, jenazah dibawa ke Silabukan untuk dikebumikan. Menurut Encik Suami, polis turut mengiringi kereta jenazah dan diikuti lebih 20 kenderaan ahli keluarga di belakangnya. 

Jenazah dikebumikan di tanah wakaf milik datuk sebelah ibunya. Allahyarham merupakan jenazah pertama yang tinggal di rumah baharunya di situ. Kata Encik Suami, kuburnya terletak berhampiran dengan pondok tempat datuknya berehat-rehat bersama-sama Allahyarham selepas mengerjakan tanaman di kebun. Ya, Allahyarham seorang anak yang ringan tulang membantu mengerjakan kebun kelapa sawit bersama datuknya. Kata datuknya, nanti sewaktu berehat selepas mengerjakan tanah kebun, bolehlah datuknya duduk-duduk di pondok sambil memandang kubur cucunya.

Wajah sugul seorang datuk yang kehilangan cucu kesayangannya.


Sebahagian daripada ahli keluarga yang menunggu jenazah tiba di tanah perkuburan.

Pada 22 Mac 2024, keluarga Allahyarham ingin memastikan bilakah jenazah boleh dituntut untuk tujuan pengebumian. Menurut pihak hospital, setelah pakar forensik sampai ke Hospital Lahad Datu, bolehlah bersiap sedia menggali tanah dan mereka dinasihatkan membuat persiapan mendirikan khemah kecil dan lampu. Dari situ kami dapat mengagak mungkin bedah siasat akan memakan masa yang agak lama. Melalui pihak hospital juga, kami dimaklumkan proses agak lambat kerana mereka terpaksa menunggu pakar forensik yang sedang bertugas menyelesaikan kes kematian kritikal di Tawau. Bukan tidak ada ahli forensik di Hospital Lahad Datu, tetapi memandangkan kes ini berat jadi mereka memutuskan untuk menyerahkan tugas tersebut kepada yang lebih pakar. Tambahan pula, di Sabah hanya ada dua orang pakar forensik yang mampu menyempurnakan kes-kes berat seperti kes pembunuhan ke atas Allahyarham.

Bayangkan bagaimana remuknya hati seorang ibu menghadapi situasi sebegini. Ibu Allahyarham tidak dapat melihat apalagi menyentuh Allahyarham sejak dimaklumkan kematiannya pada pagi Jumaat, 22 Mac 2024. Jenazah hanya dapat dibawa ke hospital sebelah tengah hari setelah selesai urus siasat pihak polis dan forensik di tempat kejadian, iaitu di bilik asrama.

Pada sebelah malamnya pula, ibu Allahyarham terpaksa pulang ke Silabukan dan tinggallah Allahyarham bersendirian di Rumah Mayat. Keesokan paginya, datang semula ke hospital, seharian menunggu proses bedah siasat oleh pakar forensik pula.

Amie tanya:
Siti tidur tak malam tadi?
Jawabnya : Auntie, Siti tak dapat tidur dari kelmarin sampai sekarang.
Memang jelas nampak letih dan lesu. Ditambah pula dengan begitu ramai orang datang silih berganti bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat.

Kawasan larangan di bilik asrama, sementara siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis dan ahli forensik.





Amie letak di sini beberapa video yang dikongsi ahli keluarga dan WhatsAap Group.




Lebih kurang pukul 8:39 malam, jenazah selamat sampai ke tanah perkuburan yang diwakafkan oleh bapa Siti, iaitu datuk kepada Allahyarham.



Sebagaimana sedih dan tidak dapat menahan air mata setiap kali mengikuti perkembangan kes kematian Allahyarham Zulfarham, begitulah keadaan yang Amie alami selama dua hari bersama keluarga dan sanak saudara ketika menghadapi saat-saat sedih kematian Allahyarham Muhammad Nazmie Aizat. Amie hanya dapat catatkan rentetan peristiwa berdasarkan apa yang sempat Siti kongsikan:
  • Pada pagi Siti hendak bersiap-siap ke tempat kerja, Siti mendapat panggilan dari KV yang memaklumkan Allahyarham mengalami sesak nafas. Siti diarahkan terus ke hospital dan menunggu di bahagian forensik.
  • Pada ketika ini Siti sudah syak ada sesuatu yang tidak kena kerana perlu ke bahagian tersebut. Setahu Siti bahagian forensik merupakan tempat untuk bedah siasat mayat.
  • Apabila Siti sampai ke hospital, tiada Allahyarham di bahagian forensik. Sebaliknya dimaklumkan ambulans tidak dapat membawa Allahyarham dari KV ke hospital.
  • Siti bersama suami, dan ahli keluarga yang lain tidak sedap hati. Mereka bergerak menuju ke KV.
  • Sesampainya di KV, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana siasatan sedang dijalankan di bilik asrama.
  • Siti beritahu, dia hanya nampak jenazah ditutup dengan plastik hitam dan terlihat kakinya sahaja yang berstoking.
  • Menjelang tengah hari, barulah jenazah dibawa ke hospital.
  • Siti masih juga tidak dibenarkan melihat jenazah.
  • Pakar forensik dikatakan akan sampai ke LD samada pada hari Ahad atau hari Isnin. Jadi, pada malam itu jenazah diletakkan di bilik mayat.
  • Semua ahli keluarga pulang ke rumah masing-masing dan keesokan paginya berkumpul semula di hadapan bilik mayat.
  • Pukul 10 pagi, bedah siasat dijalankan sehinggalah menjelang pukul 6 petang. Bermakna lebih kurang 8 jam pakar forensik melaksanakan tugasnya.
  • Selepas dimandikan, dikafan dan solat jenazah akhirnya jenazah di bawa ke tanah wakaf perkuburan milik datuknya untuk disemadikan.
Pada hari pertama (22 Mac 2024) Amie tidak dapat berbual dengan Siti. Amie hanya memeluknya, memberi kata-kata semangat kepadanya. Ketika itu memang luluhlah perasaan melihat wajah Siti yang sugul dan penuh kesedihan yang tidak tertanggung. Keesokannya (23 Mac 2024) sewaktu proses bedah siasat dijalankan, Amie duduk di sebelah Siti dan sempat berbual dengannya:
  • Sebelum bedah siasat, Siti diminta untuk proses pengecaman mengesahkan jenazah adalah Aizat.
  • Siti minta izin daripada pakar forensik untuk cium Aizat, tapi tidak dibenarkan kerana akan ganggu proses bedah siasat.
  • Untuk proses pengecaman, Siti hanya boleh lihat dari jarak jauh, bukannya dekat dengan jenazah.
  • Siti tengok muka Aizat (di sini Siti menangis lagi... bayangkanlah melihat wajah yang dibelasah oleh 17 orang!) Hanya bahagian wajah sahaja yang dibenarkan untuk dilihat.
Betapa berat memata memandang, berganda-ganda beratnya kepedihan hari seorang ibu menghadapi situasi yang sangat sukar ini. Berkali-kali Amie peluk Siti sambil berkata:
  • Menangislah Siti... keluarkanlah air mata Siti. Allah anugerahkan air mata untuk meluahkan perasaan. Bukan bermaksud Siti menyesali takdir kerana takdir itu sudah terjadi ke atas Aizat, tapi Siti ada perasaan. Siapa tidak sedih menghadapi dugaan berat seperti ini.
  • Memang Siti perlu ambil masa untuk menerima dugaan yang maha hebat ini. Perlahan-lahan lepaskan Aizat dengan redha, dengan doa ikhlas seorang ibu di atas pemergiannya kembali kepada-Nya. 
  • Percayalah Siti, memang sakit dan teramat sakit! Aizat sakit dibelasah sehingga maut, Siti sakit yang tak tertanggung menerima berita ini. Ingat firman Allah dalam Surah Al-Insyirah: Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan! Siti.... in syaa Allah, dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, Aizat akan mendapat rumah baharu yang sangat aman dan nyaman di syurga Allah! Syurga itu tidak dapat dibeli dengan segala harta kita yang ada, tapi itulah balasan di atas kesabaran Siti sebagai ibunya. Doa ibu tiada penghalangnya. Doakan Aizat....
  • Aizat pergi di bulan mulia, di hari mulia, pagi Jumaat penghulu segala hari.
Berkali-kali Siti menyapu air matanya, dan kemudian Siti berkata:
  • Siti sebenarnya tidak benarkan Aizat sambung belajar di KV tapi dia sangat berminat untuk ke sana. Akhirnya Siti terpaksa mengalah. Aizat terpaksalah tinggal di asrama kerana masalah kenderaan dan memakan masa pula untuk ulang-alik dari Silabukan ke KV.
  • Aizat suka masak. Setiap kali Siti balik kerja, Aizat sudah siap hidangkan makanan atas meja dan ajak Siti makan.
  • Siti kata tak perlulah adik (panggilan untuk Aizat) belajar jauh dan tinggal di asrama, nanti tiada orang akan masakkan untuk ibu.
  • Pada malam sebelum kejadian, Aizat hantar mesej kepada Siti. Katanya, dia dapat MC sebab demam. Siti tanya lagi, sudah makan ubatkah? Aizat jawab, sudah. Seperti biasa  menurut Siti memang mereka selalu akan berhubung samada melalui mesej atau video call.
  • Siti dengar Aizat dua kali kena pukul. Kali pertama Aizat dipukul, HPnya terlempar dan dia cuba untuk mengambil HP tapi dihalang oleh tukang pukul. Kalaulah waktu itu Aizat dapat hubungi Siti, sudah tentu Siti akan terus ke asrama. Kali kedua dipukul, Aizat sudah tidak dapat selamatkan diri.
Yang selebihnya tak dapatlah Amie ceritakan. Segala punca berlakunya kejadian belasah beramai-ramai itu pun Amie tak berani sentuh. Pada malam 22 Mac 2024 memang ramailah wartawan datang hendak menemuramah Siti, tapi lebih baik Siti mendiamkan diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan.












Oleh kerana proses bedah siasat memakan masa yang agak lama, jadi Encik Suami hantar Amie pulang untuk menyediakan makanan berbuka puasa. Encik Suami kembali ke hospital kerana bila-bila masa setelah bedah siasat selesai, Encik Suami sudah bersedia untuk turut memandikan jenazah. Rancangannya, apabila selesai memandikan, mengafan dan solat jenazah, Encik Suami akan ambil Amie di rumah untuk sama-sama ke Silabukan. Rupanya, jenazah tidak dikebumikan di Tanah Perkuburan Silabukan sebaliknya datuknya meminta dikebumikan di atas tanah wakaf beliau yang terletak agak jauh dari jalan besar. Untuk menuju ke sana hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh melaluinya. Encik Suami terpaksa tumpang kenderaan anak buah. Dan nasihat Encik Suami supaya Amie duduk sahajalah di rumah bersama Firdaus.

Menjelang pukul 11:11 minit malam Encik Suami sampai di rumah, dan terus mandi. Memandangkan keadaannya yang nampak letih dua hari turut bersengkang mata, Amie tidak terus mengganggunya dengan pelbagai pertanyaan. Waktu sahur, barulah kami dapat berbual lebih lanjut.

Kata Encik Suami: Siti dan Aiman tidak mahu pulang.
Mereka berdua hendak tidur di kuburan.
Ahli keluarga pujuk, dan akhirnya Siti dan Aiman tinggalkan kubur arwah Aizat.

Amie sahut: Kita yang melihat pun sudah rasa sakit hati bagai ditoreh-toreh. Apalagi perasaan Siti sebagai ibunya.

Teringat lagi perbualan Amie dengan Siti sewaktu menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital LD.

Siti ingat tak tujuh belas tahun dulu? Siti kata Siti suka sangat kalau Auntie datang ke kampung. Waktu itu Siti sedang mengidam, mengandung arwah Aizat. Siti kata Siti seronok Auntie bawa makanan. Semuanya Siti suka!

Siti senyum apabila sambil angguk-angguk kepala sambil berkata : Ya Auntie. Siti ingat semua itu. Waktu itu Siti sedang mengandung Aizat.

Sekarang Aizat sudah jauh di sana, pergi untuk selama-lamanya. Aizat tinggalkan Aiman, abangnya yang sedang menuntut di IPT di Sarawak. 

Terbayang, Aiman dan Aizat dua beradik yang sangat rapat dan minggu lepas sempat dilihat berpegangan tangan selepas menunaikan solat terawih di masjid.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Muhammad Nazmie Aizat.

17 comments

  1. Allahu Akbar! Kelu lidah untuk berkata² dan menulis komen. Semoga urusan penyiasatan dipermudahkan dan kebenaran dapat ditegakkan!

    BalasPadam
  2. Allahu .
    Ingatkan dicampak dari tingkat satu ..rupanya dari tingkat dua..Allahu Akbar!

    Semoga kesakitan yang arwah lalui menjadi penyucian doasa yang memudahkannya meniti Siratul Mustaqim & seterusnya masauk ke ayurga Allah🤲🤲🤲

    BalasPadam
  3. sedihnya... sampainya hati sampai berbelah orang memukul arwah

    BalasPadam
  4. Semoga arwah tenang di sana kak amie...orang baik allah ambil..SA mengharapkan balasan setimpal buat mereka yg terlibat...sewenang2 jatuhkan hukuman...biadap...

    BalasPadam
  5. Dijemput pada hari Jumaat di bulan Ramadhan. Buat Siti, moga tabah dan sabar. Allah sayang Siti sekeluarga juga Aizat. Tenang lah kamu anak soleh.

    BalasPadam
  6. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

    Semalam masa saya baca berita ringkas pun dah cukup sedih. Ini kan pulak baca kisah dari pihak keluarga. Sebak rasa nak menitis air mata 😢

    Semoga Allah kurniakan kekuatan buat seluruh ahli keluarga dan moga keadilan segera tertegak.

    BalasPadam
  7. Ikut sakiiit saya membaca berita ini 😭. Tak tega sungguh. Kuat sangat ibu aizat melihat jenazah anaknya. Jujur kalo saya, rasanya tak sanggub utk melihat kak. Mungkin saya lebih memilih membayangkan wajah anak saya di saat sehat, tidak rusak dibelasah para penjahat2 itu 😭. Krn akan terbayang seumur hidup

    Yg kuaaaat utk orangtua aizat. Hukuman Allah pasti adil nantinya. Serahkan semuanya ke Allah . Kalo hukuman dunia tidak mampu menghukum yg adil, masih ada hukum akhirat nanti.

    BalasPadam
  8. Salam takziah buat Kak Amie dan seluruh keluarga 😭
    Didoakan agar arwah anakanda Aizat ditempatkan di kalangan para solihin aamin 🤲
    Mudah-mudahan diberi kesabaran dan kekuatan buat seluruh keluarga utk menghadapi ujian berat ini. Semoga mendapat keadilan yg sewajarnya buat arwah dan keluarga.

    BalasPadam
  9. Al-Fatihah untuk Allahyarham Muhammad Nazmi Aizat. Moga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

    Salam takziah buat keluarga arwah. Moga ada kesedaran untuk semua pihak dan tiada lagi kejadian sebegini berlaku. Sedih dan sebak sangat...

    BalasPadam
  10. Allahuakbar..... Al fatihah buat arwah. Kejam sungguh mereka yang membelasah Arwah. Bukan sikit berbelas pulaknya. Semuga pelaku Allah tunjukkan dan menerima balasan atas perbuatan mereka. Semuga keluarga Arwah tabah hadapi dugaan di bulan ramadan ini. Saya yang membaca pun menangis apa lagi ibunya yang hadapi. Berat sungguh dugaan ini.

    BalasPadam
  11. Sedihnya. Salam Takziah untuk keluarga.

    BalasPadam
  12. Allahuakbar... keluarga terdekat Amie rupanya Allah.... Ana sekeluarga pon sedih wlu hanya mengikuti kisah di berita saja, apatah lagi ibu kandung arwah sendiri.. Allahuakbar moga ibu arwah diberi kekuatan utk menempuh dugaan maha berat ni di bulan Ramadhan ni.. Allahuakbar sebaknya rasa T_______T

    BalasPadam
  13. Takziah buat seluruh keluarga arwah. Kuatkan semangat. Semoga kematian arwah dapat pembelaan sewajarnya.

    BalasPadam
  14. Sedihnyer
    Semoga roh arwah dicucuri rahmat
    Al-Fatihah

    BalasPadam
  15. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apatah lagi Aizat anak yang baik rapat dengan ibunya dan adiknya. Semoga seluruh keluarga arwah diberikan kekuatan dan kesabaran. Semoga kematian arwah mendapat pembelaan yang sewajarnya dan pelaku²nya mendapat balasan yang setimpal. Kes buli banyak sudah berlaku dengan berakhir dengan kematian. Kes lalu tak cukup memberikan pengajaran agaknya kepada pelaku² tu.

    BalasPadam
  16. Sambung lagi menangis baca kat sini.
    Allahu.. sedihnya.
    Remuk hati ibu Aizat, tak dapat sentuh pun anak sendiri di kala anak itu terbujur keseorangan.
    Semoga ibu Aizat dan seluruh keluarga diberi kesabaran dan ketenangan.

    BalasPadam
  17. Semoga 15 orang pelaku tu dapat balasan yang setimpal dengan apa yang mereka dah buat, tak terbayangkan seksaan yang arwah hadap dibelasah lepas tu di campak dari tingkat 2, mmg zalim dan kejam betul mereka itu.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe