Ikan Talapia Goreng Berlada
7:11 PTGCerita tentang talapia .... teringat zaman persekolahan dulu-dulu.... setiap kali berurusan ke Klinik Pelajar atau ke Bank Bumiputera di belakang bangunan pentadbiran berhampiran dengan Dewan Tunku Cancellor, kami melalui satu lorong singkat... dan terdapat sebuat tasik di situ. Kalau tidak silap, ada rumpun bambu dan seekor biawak besar berehat menjemurkan diri di tepi tasik. Apa yang sangat menarik perhatian ialah apabila air beriak-riak dengan sekumpulan ikan talapia hitam yang sangat banyak dan besar2..... tidak tahu sekarang ini masih ada lagi atau sebaliknya tasik itu sebab kali terakhir saya mengunjungi UM pada tahun 2007, tempat tersebut sudah bertukar rupa. Saya sempat menunaikan solat zohor di surau berhampiran kafetaria dan menjamu selera di situ. nampaknya salah satu menu yang masih sama seperti 20 tahun yang lalu...iaitu talapia goreng berlada. Dulu... seekor talapia itu berharga RM1..... nostagia.... huk huk huk.... saya ada ikan talapia dan oleh kerana memori lalu sangat menggamit rasa, hari ini saya masak talapia goreng berlada sambil mengenang segala cerita yang indah-indah saja selama 4 tahun menjadi warga UM....
Sebenarnya, talapia goreng berlada saya tidaklah sama dengan talapia di kafetaria UM yang menggunakan lada merah sepenuhnya. Bila saya ke dapur, cuma ada 4 biji lada merah dan selebihnya banyak lada hijau. Jadi saya campurkan kedua-dua warna lada, jadilah seperti warna di atas... tenggelam warna merah, yang hijau pun tak nampak. Tak apalah, kalau asyik fikirkan semua bahan mesti lengkap dan sama, alamat tak jadilah masakan saya dan matilah kreativiti saya. Kita lihat apa bahan yang saya gunakan untuk masakan ikan talapia goreng berlada ini.
Bahan-bahan:
5 ekor ikan talapia
minyak
garam /serbuk pati ikan bilis
hirisan bawang besar
1 sudu kecil pati asam jawa (bancuh dengan 1/2 cawan air)
1 batang serai dititik
gula
Bahan untuk dikisar: (jangan terlalu lumat = biarkan kasar sedikit)
10 biji lada (merah + hijau)
4 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
sedikit belacan
Cara:
1. Goreng ikan talapia hingga masak. Angkat dan ketepikan.
2. Tumis semua bahan kisar hingga naik bau. Masukkan serai.
3. Masukkan bancuhan air asam jawa. Biarkan seketika.
4. Masukkan garam / serbuk pati ikan bilis dan gula. Jika kurang masin, masukkan secubit gara.
5. Masukkan hirisan bawang besar.gaul seketika dan angkat.
6. Tuang sambal di atas ikan talapia goreng.
7. Siap untuk dihidangkan.
0 comments