Kerabu Pucuk Ubi Dengan Daun Kencur (Cekur)
9:01 PTGHujan siang, hujan malam, hujan pagi dan hujan petang.... dingin membeku di sana sini, termenung dan terkenang entah apa-apa... teringat bonda yang jauh di sana....entah apa bonda sedang buat, masihkah duduk di tangga menanti sesiapa yang kunjung datang... anak cucu dan menantu ke. Dulu, bonda tidak punya masa untuk berehat, membantu ayah di kebun untuk menyara kami sembilan beradik. Tapi bonda tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai suri rumah. Sesibuk mana dan seletih mana, kami tetap duduk berkumpul mengelilingi hidangan masakan bonda... apalagi jika musim hujan begini, berbagai-bagailah jenis makanan kampung yang bonda hidangkan... dari ubi, keladi, keledek, jagung hinggalah ke cendawan dan segala sayur-mayur. Setiap kali menghadap hidangan, memang tidak pernah bersisa, tidak pernah berbaki... habis licin... itu dulu, bukan hari ini....justeru...rasa rindu yang teramat sangat pada bonda dan kenangan itu, petang ini semangkuk kerabu pucuk ubi terhidang di atas meja. Hanya saya dan suami yang memakannya, anak-anak sedikit pun tidak menyentuhnya, barangkali memandang pun tidak. Ahh...kami membesar dengan sayur-sayuran kampung, tetapi anak-anak kami.... rasa melankolik pulak dah... He he he...kalau bonda buat kerabu, baunya harum sebab bonca campur dengan daun kencur dan kelapa parut mentah. Bonda gunakan lada kering tapi saya ganti dengan lada merah dan cili padi... walaupun semangkuk kerabu pucuk ubi tidaklah seberapa harganya tetapi nostalgia itu tetap tiada tara nilainya.....
Bahan-bahan:
1 cekak pucuk ubi (dicelur)
1 cekak pucuk paku tanjung (dicelur)
5 helai daun kencur (dimayang halus)
2 cawan kelapa parut
2 biji limau kasturi
Bahan untuk ditumbuk:
3 biji bawang merah
sedikit belacan
3 biji lada merah
7 biji cili padi
1 sudu kecil pati asam jawa
garam & perasa
Cara:
1. Gaulkan semua bahan tumbuk dengan kelapa parut hingga sebati.
2. Masukkan pucuk ubi, pucukpaku tanjung dan daun cekur. Gaul lagi.
3. Jika suka rasa masam, perahkan air limau kasturi.
4. Siap untuk dihidangkan.
Setakat ini, saya rasa masakan bonda ini tidak dapat saya tandingi.... rasa kerabu pucuk ubi yang bonda hasilnya jauh lebih sedap, kerana kelapa parutnya yang segar dan manis, sedangkan kelapa parut saya..... keluar dari peti sejuk.... sebentar lagi selesai saja n3 kerabu ni, saya akan telefon bonda saya.
0 comments