Ketam Goreng Sos Lemon
9:27 PTG Setelah siap masak ketam sos lemon, tiba-tiba saya teringat seorang kawan lama (waktu bujang dulu) suka mengajak saya datang ke rumahnya dan beberapa kali menghidangkan ketam rebus. Katanya, kalau nak makan ketam sepuas-puasnya, jangan masak dengan macam-macam cara, rebus saja dan ratah tanpa nasi. Betul...memang puas saya makan dengan cara begitu. Insya-Allah, selepas ini saya akan ikut saranannya, cuma mungkin rebus ketam dan cecah dengan sos tertentu. Tak apalah, kita cerita tentang ketam goreng sos lemon yang saya sediakan kali ini...
Bahan-bahan:
1 kg ketam
1 biji telur
4 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh garam
minyak
Bahan untuk sos:
2 sudu besar mentega
1 sudu tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
1 biji lemon (ambil jusnya)
1 sudu besar gula (larutkan bersama jus lemon)
Cara:
1. Salut ketam dengan telur serta taburkan sedikit garam dan lumurkan dengan tepung jagung.
2. Goreng ketam hingga masak. Ketepikan.
3. Panaskan mentega. Masukkan jus lemon yang telah dilarutkan bersama gula.
4. Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau rata.
5. Masukkan ketam dan gaul rata. Tutup api.
6. Ketam goreng sos lemon sedia untuk dihidangkan.
0 comments