Hati Ayam Kukus
3:09 PTGRasanya sudah terlalu lama tidak makan hati ayam kukus. Dulu, rajin mengunjungi SCR, sebuah restoran yang (pengusaha Cina - disahkan halal oleh JAIS) memang menyediakan khas untuk menu nasi ayam sahaja. Untuk pesanan tambahan, pelanggan boleh memilih pelbagai masakan lain seperti tofu, sayur dan termasuklah hati ayam kukus. Oleh kerana sudah sedia ada 1/2 kilogram hati ayam yang masih segar di peti sejuk, saya gunakan sebahagian daripadanya untuk menu tengahari ini.
Sebenarnya saya hanya menganbil idea hati ayam kukus sahaja, yang selebihnya adalah kreativiti saya sendiri termasuk sos atau sambalnya. Bagaimanpun,hasilnya tidaklah jauh berbeza dengan yang pernah saya makan di restoran tersebut. Kita lihat di bawah, apa bahan yang saya gunakan dalam masakan saya kali ini.
Bahan-bahan:
250 gram hati ayam
1 sudu serbuk pati ayam
1 sudu kecil serbuk lada putih
sedikit halia muda (dihiris halus)
minyak bijan
Cara:
1. Didihkan air dalam pengukus.
2. Gaul serbuk pati ayam dan lada putih bersama hati ayam.
3. Taburkan hirisan halia muda di atas hati ayam.
4. Kukus selama 25 minit.
5. Keluarkan hati ayam dan potong ikut suka.
6. Siram sedikit minyak bijan.
Bahan untuk sos:
1 biji lada merah
3 biji cili padi
3 biji bawang putih
sedikit halia
2 biji limau kasturi
1 sudu besar gula
secubit garam
Kisar semua bahan untuk sos kecuali limau kasturi. Perah air limau kasturi dan gaul rata.
0 comments