ADSENSE

Isnin, 31 Januari 2011

Jenahak Bakar Sambal Petai

Petang kelmarin kami sempat keluar ke bandar walaupun hampir senja dan hujan pun masih turun renyai-renyai. Niat di hati nak cari sayur mayur, terutama sayuran kampung yang dijual di tepi pasar besar (macam2 ada di situ), tapi sebab hujan, tak adalah yang menjual di situ. Terpandanglah pula di sebuah gerai tepi laut, ada benda bergantung-gantung... rupanya petai. Ha... apalagi, bukan senang nak dapat petai di sini sebab penduduk tempatan tak berapa gemar makan petai. Beli sajalah 2 kilo. Nampak gayanya hari-hari mendatang penuhlah blog masakan saya dengan petai. Memang puas hati dengan buah petai yang saya beli. Jenuhlah saya kupas kulitnya, melihat isinya yang cantik tak diusik ulat dan bulat-bulat montel. Orang kata kalau petai yang kecut dan tidak bulat, khasiatnya tidak tinggi. Dan orang kata lagi... antara khasiat biji petai boleh merawat sakit jantung, kencing manis,mencuci buah pinggang, dan mengeluarkan cacing terutama kanak-kanak yang mengalami masalah kecacingan. Walau apa pun khasiat petai, bagi saya ia sangat baik untuk cuci perut kita... he he he... banyaknya khasiat yang tersembunyi di sebalik bau dan rasa yang adakalanya tidak digemari oleh sesetengah orang! Cerita tentang ikan bakar dengan sambal petai ni, saya pilih ikan jenahak untuk dijadikan sajian malam sekeluarga....mari kita lihat satu persatu proses membakar ikan dengan sambal petai mengikut kepala saya....



Bahan-bahan:
1 ekor ikan jenahak seberat 700gram
2 papan petai (buang kulit)
daun pisang (pembungkus ikan bakar)
2 batang lidi (penyucuk daun)

Bahan kisar:
7 biji lada merah (cili kering lebih baik)
7 biji cili padi
5 biji bawang putih
1 labu bawang besar
sedikit belacan
1 sudu kecil pati asam jawa
garam & perasa
minyak

Cara:
1. Bersihkan ikan dan kelar-kelar. Ketepikan.
2. Tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Layurkan daun pisang di atas api.
4. Letak ikan di atas daun pisang dan bubuh bahan yang ditumis serta petai.
5. Bungkus ikan dengan daun pisang dan bakar atau panggang selama 30 minit atau sehingga masak.



dah tepek sambal atas ikan, susunlah biji-biji petai pulak (gambar susun petai atas ikan dah ter'delete').... yang di bawah ni ikan yang dah dipanggang tapi saya belum terbalikkan.... kira okeylah kan... nampaklah gambaran ikan bakar @ ikan panggang sambal petai saya....



ikan di atas ni baru setengah masak... matanya pun belum terbeliak (tersembul keluar - tanda dah masak), saya saja keluarkan nak tengok dan kemudian bungkus semula, panggang untuk bagi masak bahagian atasnya pula... selamat mencuba... wangi tau bau petai panggang ni...

Tiada ulasan: